Minggu lepas kami lepak dengan Ketua Pegawai Eksekutif Biotropics Malaysia Bhd, Tengku Shahir Tengku Adnan untuk bincang tentang isu paten tongkat ali. Siapa yang tak kenal dengan tongkat pak cik ali ni kan? Tumbuhan yang sinonim sebagai ubat kuat dalam kalangan rakyat Malaysia. Sampai-sampai je kat ofis diorang kami diberikan secawan tongkat ali, memandangkan kami belum kahwin; laju-laju kami kata takpe kami belum kahwin. Terus bos Biotropics tu kata – inilah benda yang ramai orang salah anggap, tongkat ali untuk tenaga batin je…
Sebenarnya ada kebaikan tongkat ali selain daripada digunakan untuk memperbaiki tenaga batin, cuma sebelum tu, mari kita cerita tentang masalah paten yang berlaku awal bulan lalu…
Bagi yang tak tahu cerita, Parti Sosialis Malaysia khuatir tentang paten tongkat ali Biotropics…
Cerita dia macam ni, PSM berang dengan amaran perundangan yang dibuat oleh anak syarikat Khazanah Nasional (Khazanah) terhadap syarikat pengeluar produk lain tongkat ali. Biotropics Malaysia Berhad (BMB) ada daftarkan paten untuk komponen bioaktif tongkat ali. BMB dimiliki sepenuhnya oleh Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd yang dikuasai secara total oleh Khazanah.
Paten tongkat ali ni pulak dimiliki bersama oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT). Ia meliputi ekstrak air dari tongkat ali untuk kegunaan saintifik dan produk baru. Macam yang kami kata awal-awal tadi, tongkat ali adalah tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional. Minuman dari tongkat ali mengandungi ekstraknya dipasarkan secara meluas sebagai pemberi tenaga atau herba makanan tambahan.
Mengikut notis tu, mana-mana pengeluar dan penjual produk tongkat ali yang tidak mendapat kebenaran daripada kementerian, MIT dan BMB akan langgar undang-undang paten dan boleh didenda sehingga RM15,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.
“Penduduk tempatan Malaysia telah mengiktiraf sifat-sifat perubatan Tongkat Ali dan telah menggunakannya untuk peningkatan kesihatan untuk peringkat umur. Ini jelas sekali satu lagi kes ‘memagarkan rakyat marhaen’ dengan menggunakan undang-undang paten Malaysia,” – Wakil PSM, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Jeyakumar kata PSM tak mempunyai masalah dengan BMB yang memasarkan produk tongkat ali dengan teknologinya tapi ia tidak sepatutnya melanggar hak pengeluar tradisional lain yang mungkin menggunakan kaedah yang lebih mudah. Dia menggesa kerajaan untuk kaji kes tu dan cadangkan pengeluar tongkat ali lain supaya bersatu dan membawa kes mereka kepada kerajaan.
Tapi, sebenarnya ada beberapa benda yang kami pun baru tahu dalam kes ni…
Biotropics Malaysia Bhd dalam kenyataan balasnya ada jelaskan hak paten tu babitkan bahan bioaktif eurycoma longifolia – atau juga dikenali sebagai tongkat ali.
“Paten itu tidak meliputi sebarang ilmu tradisional atau dakwaan tradisional berkaitan tongkat ali yang diketahui seperti sebagai tonik, sumber tenaga, tenaga batin atau peredaran darah, sama ada sebagai dalam bentuk makanan tambahan, makanan dan minuman yang ada di pasaran,” – Tengku Shahir Tengku Adnan, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini
Benda paling simple yang kena difahami semua orang adalah – tongkat ali ( secara tumbuhan) tak boleh dipatenkan. Sebab ia adalah benda yang sedia ada, wujud sejak dari dahulu lagi. Maksudnya kalau korang pergi masuk hutan, kemudian ambik tongkat ali dan proses ia jadi produk; korang tak akan dikenakan tindakan undang-undang oleh Biotropics. Paten ni adalah bukti penemuan sesuatu yang baru, dan proses untuk dapatkan paten ni agak lama. Contohnya, paten tongkat ali ini didaftarkan pada tahun 2000 dan diterbitkan pada tahun 2007.
Satu lagi yang menarik, produk keluaran Biotropics tak bersaing secara terus dengan produk-produk yang dibuat oleh pengilang atau pengeluar biasa. Harga produk yang dikeluarkan oleh Biotropics lebih tinggi berbanding produk tongkat ali yang ada di pasaran. Jadi tak berlaku persaingan secara langsung di antara produk diorang dengan produk yang sedia ada.
Kalau macam tu, buat apa nak patenkan benda alah ni?
Mesti ada yang tertanya-tanya, kalau diorang ni tak target pengeluar kecil tongkat ali – buat apa sebenarnya diorang nak patenkan benda alah ni? Sebenarnya, diorang lebih fokus nak target pengeluar moden yang hasilkan produk yang hampir sama dengan diorang. Dia macam ni; diorang dah habiskan banyak masa untuk lakukan kajian dan temui penemuan baru, tiba-tiba ada je orang main rembat hasil kajian diorang. Benda tu yang diorang tak nak berlaku, macam kalau ada orang ambik sijil-sijil korang dan pergi mintak kerja guna benda tu, mestilah korang sakit hatikan?
Satu lagi, ada dua terma yang korang kena tahu; ‘dakwaan tradisional’ dan ‘dakwaan saintifik’. Untuk dakwaan tradisional ni; ia seperti produk-produk tongkat ali yang ada kat pasaran sekarang ni. Kuatkan tenaga batin contohnya, benda ni tak memerlukan apa-apa kajian teperinci untuk diletakkan kat label produk. Untuk dakwaan saintifik pulak, korang kena lakukan kajian yang diperakukan oleh pakar. So apa yang Biotropics lakukan ni adalah untuk wujudkan ‘dakwaan saintifik’.
Jadinya apa-apa dakwaan tradisional seperti yang wujud pada produk sedia ada, benda tu tak akan kena saman. Lainlah kalau tiba-tiba ada orang nak buat dakwaan saintifik guna kaedah kajian Biotropics, itu boleh kena saman. Masa kami sembang dengan bos Biotropics ni, dia kata – kat Malaysia produk tak boleh lagi buat dakwaan saintifik. Setakat ni diorang gunakan kajian ni untuk pasaran antarabangsa. Contohnya, produk diorang sangat terkenal di Amerika Syarikat. Untuk pasarkan produk diorang dengan dakwaan saintifik, diorang perlukan paten ni.
Diorang turut beritahu kami, misi diorang adalah untuk mengkomersialkan herba-herba yang ada kat Malaysia. Menariknya, 80% daripada keuntungan diorang datang daripada export keluar negara. The American Botanical Council (ABC), kumpulan industri yang terkenal di Amerika Syarikat dah iktiraf Biotropics sebagai syarikat perintis dan berada di barisan hadapan dalam produk tongkat ali. Powerkan?
Jadi, pengeluar tongkat ali pada skala kecil tak perlu risau…
Daripada perbualan kami dengan bos Biotropics ni, kami rasa pengeluar tongkat ali yang ada kat pasaran tak perlu kot risau. Sebab produk-produk yang ada di pasaran kebanyakan guna dakwaan tradisional je, so diorang tak perlu risau pasal paten yang dimiliki oleh Biotropics. Satu lagi, korang kena ingat – tongkat ali ni bukan untuk tenaga batin je, ada banyak lagi kelebihannya.