Sukan bola keranjang hanya untuk bangsa Cina? Dua pemain ni buktikan sebaliknya

17517bolakeranjang
Sukan bola keranjang hanya untuk bangsa Cina? Dua pemain ni buktikan sebaliknya

Sukan bola keranjang berasal dari Amerika Syarikat. Di Malaysia, sukan ni dibangunkan oleh masyarakat Tionghua. Sebagaimana sukan bola tampar yang diasosiasikan dengan orang Cina dan sepak takraw dengan orang Melayu, sukan bola keranjang di Malaysia didominasi oleh satu kaum sejak ia diperkenalkan di Malaysia. Sama ada pengaruh persekitaran mahupun fasiliti sejak peringkat sekolah, dominasi ini menyebabkan ramai yang kurang minat untuk bergiat aktif dalam acara sukan tertentu. Namun, G. Dhayalan memecah tembok ini apabila menjadi pemain bukan Cina pertama dari negara kita.

Dylan dengan ketinggian 2.02 meter, memecah tembok dominasi perkauman

Dengan ketinggian 2.02m yang jarang dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia, Dhayalan yang lebih dikenali sebagai Dylan beraksi untuk Kelab Bola Keranjang GoStrong (sebuah kelab bola keranjang bukan Cina) yang berpengkalan di Subang. Kali terakhir dia beraksi dalam liga tempatan menyaksikan Dylan menjadi antara ‘blocker’ terbaik untuk musim tu. Banyak lagi aspek yang boleh diperbaiki oleh Dylan, namun potensi besarnya telah menarik minat Guangqi High School, juga dikenali sebagai Paul Hsu Senior High School di Taoyuan, Taiwan, yang menawarkannya biasiswa selama dua tahun. 

A debut for 17-year old, Dhayalan G (Dylan), he came out fearless defending the paint against much more experienced players in Westport Malaysia Dragons.

Posted by GoStrong Basketball on Isnin, 1 April 2019

Dia yang dah berada di Taiwan untuk beberapa bulan, dijadualkan akan beraksi untuk Guanggi dalam High School Basketball League (HBL) yang terkenal di sana. Terdapat lebih 30 buah pasukan yang bersaing dalam HBL, bersama jaminan penajaan yang lumayan kepada pasukan yang berjaya Tamatkan liga di kelompok teratas.  Sebelum ke Taiwan, ayahnya telah meninggal dunia, kami yakin benda ni akan berikan dia lebih motivasi untuk lakukan yang terbaik. HBL yang akan bermula pada Oktober ini akan memberikan peluang besar kepada kerjaya Dylan untuk berjaya sebagai seorang bintang bola keranjang. 

Kelab Bola Keranjang GoStrong (GoStrong) diasaskan oleh Razif Nasruddin, Muhammad Izzat Nasruddin dan rakan-rakan mereka, dan kini mempunyai lebih 90 ahli dalam kelab termasuk dari kalangan wanita. Pasukan ini terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan liga-liga tempatan. Mereka pernah layak ke peringkat separuh akhir National Community Basketball League (NCBL) Divisyen 3 2013, selain menjuarai Divisyen 3 & 2 dan menjadi johan Divisyen 1 pada musim 2018. Kelab yang dibarisi oleh pemain daripada pelbagai kaum dan latar belakang ini mempunyai motto tersendiri iaitu rajin, percaya, berani dan setiakawan (Hardwork, Trust, Fearless, Loyalty). 

Supersports Basketball Championship 2019Game 4:GoStrong lost to UCSI (50-61)

Posted by GoStrong Basketball on Jumaat, 16 Ogos 2019

Bukan senang nak jadi pemain bola keranjang profesional, apalagi bintang NBA di luar negara mempunyai ketinggian yang luar biasa. Meskipun ada pemain Amerika Syarikat (AS) yang rendah (untuk tahap NBA) seperti Calvin Jerome Murphy (1.75 m), ianya hanyalah kes terpencil. Sejarah mencatatkan bahawa pemain bola keranjang NBA yang juga selebriti terkenal, Yao Ming yang lahir di Shanghai, China – dengan ketinggian 2.29m; berdiri sama hebat bersama para pemain tinggi lampai seperti: Gheorghe Muresan (2.34m), Manute Bol (2.35m), dan Shawn Bradley (2.29m). 

Skuad Bola Keranjang Wanita pernah miliki kapten daripada bangsa Melayu…

Skuad bola keranjang negara pernah menyertai Kejohanan Dunia FIBA pada tahun 1986 di Sepanyol, masa tu kita menduduki tempat ke-24. Kita juga pernah menduduki tempat keempat dalam dua Kejohanan Asia ABC iaitu pada 1985 dan 1977, kedua-duanya dianjurkan di Kuala Lumpur. Malaysia sebenarnya pernah mempunyai pemain bukan Cina yang sering menyarung jersi skuad negara seperti Guganeswaran Batumalai dan Satyaseelan Kuppusamy. Masalah komunikasi mungkin jadi punca sukan ini kurang disertai oleh atlet berbangsa Melayu dan India. 

Skuad Bola Keranjang Malaysia. Via Utusan

Namun, lebih unik, Skuad Bola Keranjang Wanita Malaysia pernah mempunyai kapten daripada kaum Melayu iaitu Nur Izzati Yaacob. Dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya, kerana fasih berbahasa Mandarin, memandangkan dia bersekolah di SRJK Cina sejak kecil lagi. Dia menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Mun Yee, Gombak, Selangor; Sekolah Confucian, Kuala Lumpur; serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Gombak.

Nur Izzati mencipta sejarah tersendiri dalam arena bola keranjang negara apabila dilantik sebagai kapten berbangsa Melayu pertama skuad wanita pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura. Skuad tersebut juga pernah diperkuat pemain berbangsa India, R. Kalaimathi. Asalnya, Izzati menyertai sukan taekwondo, sebelum didorong oleh arwah bapanya, Allahyarham Yaakob Abdullah untuk bertukar kepada bola keranjang.

Via Giphy

Selain itu, baru-baru ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, Eman Ajmal Jamil berjaya mencuri tumpuan apabila muncul pemain Melayu tunggal dipilih dalam Pasukan Bintang Jr NBA Malaysia 2019. Dia bersama empat lagi pemain, Kong Yang Ee (Pay Fong High School), Lee Yong Ding (SMK Seri Mutiara), Siw Jin Huang (SMJK Kwang Hua) dan Phan Ji Xin (SM Tsu Jin) berjaya mengetepikan lebih 1,000 peserta. Jr NBA adalah program pembangunan remaja yang mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif serta kali keenam berturut-turut diadakan di Malaysia. 

Barangkali kekurangan gelanggang di kawasan penempatan masyarat Melayu dan India jadi penghalang…

Antara punca utama ketandusan pemain bukan Cina ialah kekurangan pendedahan terhadap sukan itu di peringkat sekolah rendah. Selain itu, punca utama ialah kekurangan infrastruktur seperti gelanggang dan dewan di kawasan luar bandar, khususnya di kawasan penempatan orang Melayu dan India. Usaha lebih giat perlu dijalankan bagi mengubah persepsi rakyat negara ini sukan itu bukan hanya untuk bangsa Cina. Selain menjadi platform perpaduan yang ampuh, sukan juga dapat membantu pembentukan sahsiah pelajar.

Via Berita Harian

Justeru, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) perlu menjalinkan kerjasama dengan banyak pihak bagi meningkatkan usaha menarik lebih banyak pemain bukan Cina untuk melibatkan diri dalam sukan itu secara lebih serius. Secara umumnya, terdapat 550,000 pemain bukan Cina terlibat dalam sukan itu pada peringkat amatur di seluruh negara. Realitinya, ramai pemain bukan Cina terlibat dalam kejohanan seperti ‘3 on 3’ tetapi jumlah mereka merosot dalam kejohanan terbuka, baik di peringkat negeri mahupun daerah.

Sesetengah individu menganggap faktor bahasa mungkin menjadi penghalang untuk berjinak-jinak dalam sukan bola keranjang, lebih-lebih lagi kerana ia didominasi atlet berbangsa Cina. Namun, kehadiran pemain seperti Izzati dan Dylan menghadirkan kesedaran kepada kita semua bahawa apa yang lebih utama adalah mencari solusi serta menggunakan setiap peluang yang ada, sebaik mungkin, untuk membuktikan kemampuan dan potensi masing-masing.

Izzati. Via OneSport

Perjalanan Dylan mungkin masih jauh, namun ia menjadi perintis kepada galakan untuk lebih ramai pemain muda mengejar impian dan harapan mereka. Semoga satu hari nanti lebih ramai pemain bukan Cina dari Malaysia yang dapat bersaing pada peringkat antarabangsa, termasuk di Jepun dan Korea Selatan, yang mempunyai persekitaran bola keranjang yang kompetitif.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top