5 benda yang patut dielakkan selepas makan sahur atau berbuka

Masa kita muda-muda ni, boleh dikatakan semua benda boleh masuk dalam mulut kita. Lebih-lebih lagi masa bulan Ramada ni, semua benda boleh masuk dalam perut. Sebenarnya banyak peraturan yang perlu kita patuhi jika ingin kekal sihat dan terhindar daripada sebarang penyakit. Selalunya selepas makan, pasti ada yang sudah terbiasa lakukan sesuatu yang kita suka.

Ada beberapa perkara yang perlu kita elakkan selepas makan. Jika ianya terus dilakukan, mungkin akan mengundang mudarat pada masa akan datang.

1. Tak elok untuk makan buah-buahan selepas makan

Mesti ramai yang menjadikan buah-buahan sebagai pencuci mulut selepas makan. Tetapi, tahukah anda, makan buah-buahan selepas makan sebenarnya tidak elok untuk kesihatan? Menurut Dr. Zamurrud Patel, seorang Konsultan Dietitian dari Global Hospitals Mumbai, memakan buah-buahan sejurus selepas makan sebenarnya bukanlah idea yang bagus.

Buah-buahan. Via Free Malaysia Today

Sebabnya nutrien yang terkandung di dalam buah tidak dapat diserap secara betul. Dan ia juga tidak dapat dihadam dengan baik. Beliau juga mencadangkan agar memulakan hari dengan memakan buah-buahan. Jadi boleh cuba buka puasa dengan buah-buahan (kurma pun buah ye), atau sahur dengan makan buah dulu.

2. Jangan suka hati je nak minum teh

Selepas makan, selalunya kita akan meluangkan masa bersama rakan atau keluarga untuk minum teh sambil berborak. Sebenarnya, pengambilan teh sejurus selepas makan tidak elok untuk kesihatan tubuh badan. Pengambilan teh sejurus selepas makan boleh mengakibatkan kekurangan zat besi di dalam badan. Teh mengandungi tanin yang boleh mengganggu proses penyerapan zat besi. Jika anda ingin minum teh, pakar nutrisi mencadangkan anda menunggu sehingga sekurang-kurangnya sejam selepas makan.

3. Merokok selepas makan, bukan rutin yang bagus

Sebenarnya merokok tu memang dah bahayakan kesihatan. Jika diperhatikan orang di sekeliling kita yang merokok, mereka ini biasanya akan merokok selepas makan. Namun, tahukah anda kajian mendapati orang yang merokok sejurus selepas makan sama dengan merokok 10 batang rokok?

Rokok lu. Via Tenor

Hal ini boleh menyebabkan mereka ini lebih berisiko tinggi terkena penyakit. Walau bagaimanapun, merokok sememangnya tidak elok untuk kesihatan. Adalah lebih baik jika anda berhenti merokok.

4. Selepas makan, apa lagi, tidurlah!

Selepas makan, perut kenyang, mata pun terasa layu dan mengantuk. Buat apa nak buang masa? Tidurlah. Sebenarnya, tidur selepas makan boleh mengganggu sistem penghadaman anda. Makan selepas tidur menyukarkan tubuh badan anda untuk menghadam makanan. Ini kerana tubuh badan anda sebenarnya lebih senang menghadam makanan jika anda berada dalam posisi tegak berbanding melintang (tidur).

Via Dingo

Anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 2 jam selepas makan jika anda ingin tidur. Jika anda mempunyai tabiat baring selepas makan, anda berkemungkinan terkena penyakit gastro-esophageal reflux (GERD), ini menyebabkan kerongkong bawah anda gagal untuk ditutup dengan sempurna selepas anda makan. Jadi, jangan baring dan tidur selepas makan!

5. Bersenam tu benda baik, tapi jangan bersenam lepas makan

Ada juga yang bersenam lepas makan sebab dia nak cepat bakar kalori yang dia ambik dari makanan. Ada jugak yang fikir sebelum bersenam, kita perlu makan supaya tubuh badan anda kekal bertenaga sewaktu melakukan pelbagai aktiviti mengeluarkan peluh.

Via Hello Doktor

Melakukan senaman sejurus selepas anda makan satu sajian berat sebenarnya amat tidak digalakkan. Ini kerana perut yang penuh akan membawa kepada rasa tidak selesa seperti tersedu dan loya. Kalau nak melakukan senaman selepas makan, seelok-eloknya tunggu sehingga 2 jam selepas makan.

Muda-muda ni sihat lagi, tunggu nanti dah tua

Perkara-perkara di atas pasti ada dalam kalangan anda yang biasa melakukannya. Ia mungkin tidak memberi sebarang kesan kepada anda sekarang, tetapi jika ia dilakukan secara berterusan, boleh membahayakan kesihatan anda. Ingatlah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Rujukan;

  1. https://doctor.ndtv.com/living-healthy/avoid-these-five-things-right-after-you-eat-1709009

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *