Azmin umum 14 kerusi Parlimen yang jadi punca konflik, UMNO kurang senang

f1

Beberapa hari lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) mengatakan – siapa yang kata darurat dikuatkuasakan kerana Perikatan Nasional telah hilang majoriti boleh dianggap sebagai penyebar berita palsu. Kami tak nak dituduh sebagai penyebar berita palsu, jadi kami nak kata kerajaan Perikatan Nasional dalam keadaan paling kukuh di seluruh dunia.

728 X 90

Untuk mengukuhkan kedudukan mereka yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang telus dan berwibawa, mereka akan bincang kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Cuma, keadaan ini telah membawa kepada peristiwa yang boleh menjadi mereka lebih ‘kukuh’…

Azmin kata ada 13 kerusi Parlimen yang menyebabkan berlakunya konflik di antara UMNO dan Bersatu

Semalam, dikatakan Perikatan Nasional (PN) ajak UMNO untuk kembali ke meja rundingan untuk bincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang dikatakan jadi punca masalah dalam PN. Menurut Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, UMNO tak patut musnahkan kerajaan yang dibina bersama sejak setahun lalu.

linkedln
Azmin. Via MalayMail

“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (UMNO) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi? Apakah kerana 13 ini kita mahu runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina bersama? Maka saya ingin ambil pendekatan, jika itulah isunya, ayuh mari kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi ini. Itu pendekatan yang patut diambil,” – Azmin, dalam wawancaranya bersama Sinar Harian

Azmin kata tak wajar untuk korbankan sebuah kerajaan dan kerjasama politik hanya disebabkan perbalahan tersebut. Mengenai rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azmin dikatakah dah ada formula. Diorang mengaku dah ada kerangka untuk agihan kerusi dijalankan. Diorang bagi contoh, kerusi Parlimen Pagoh telah dimenangi oleh Bersatu, jadi ia semestinya mesti kekal milik Bersatu.

Kerusi mana yang korang rasa paling sesuai? Via Giphy

“Kerusi Marang yang dimenangi Pas, maka kekal untuk Pas. Soal calon, itu hak parti masing-masing. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada satu formula pengagihan untuk dimulakan. Mungkin kerusi-kerusi yang belum dimenangi, kita bawalah ke meja rundingan. Kita lihat kekuatan parti masing-masing,” – Azmin, dalam wawancaranya bersama Sinar Harian

Di bawah ni kami senaraikan 13 kerusi Parlimen yang dikatakan menjadi punca berbalahan di antara UMNO dan Bersatu. Sebabnya ia dahulu adalah kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14, tapi selepas acara lompat parti secara berjemaah, ia bertukar milik kepada Bersatu.

  1. JELI, Kelantan – Penyandang: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Bersatu)
  2. BAGAN SERAI, Perak – Penyandang: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bersatu)
  3. MASJID TANAH, Melaka – Penyandang: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu)
  4. LARUT, Perak – Penyandang: Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu)
  5. HULU TERENGGANU, Terengganu – Penyandang: Datuk Rosol Wahid (Bersatu)
  6. BUKIT GANTANG, Perak – Penyandang: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bersatu)
  7. MERSING, Johor – Penyandang: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Bersatu)
  8. TASEK GELUGOR, Pulau Pinang – Penyandang: Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu)
  9. SABAK BERNAM, Selangor – Penyandang: Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu)
  10. TANAH MERAH, Kelantan – Penyandang: Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Bersatu)
  11. BEAUFORT, Sabah – Penyandang: Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu)
  12. BELURAN, Sabah – Penyandang: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Bersatu)
  13. KUDAT, Sabah – Penyandang: Datuk Abd Rahim Bakri (Bersatu)
  14. LIBARAN, Sabah – Penyandang: Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu)

UMNO kurang senang dengan Azmin kerana mendedahkan strategi PRU15

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Azmin ni tak disenangi oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Dia kata, sepatutnya hal dalaman UMNO dan Bersatu perlu dirahsiakan terlebih dahulu sehingga perbincangan selesai dan kata putus dicapai kedua-dua parti.

linkedln
Mahdzir Khalid. Via The Star

“(Setakat ini) tiada bincang lagi, kalu nak bincang (perlu secara) dalaman, dia sama dia. Kalu nak bincang, biar kita (UMNO dan Bersatu) bincang dahulu, tak payah cerita kat orang,” – Mahdzir Khalid, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Selain tu, UMNO maklumkan tak ada sebarang perubahan terhadap keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk PRU15. Hal ni disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Sinar Harian pada Ahad.

“Keputusannya serupa sahaja. Tidak ada apa-apa perubahan terhadap keputusan itu. Yang ahli-ahli MKT komen, itu tidak rasmi. Lihat kepada kenyataan media rasmi UMNO yang saya keluarkan,” – Ahmad Maslan, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dia kata macam tu berhubung pelawaan Azmin untuk bincang 13 kerusi Parlimen yang kami ceritakan tadi. Bagi yang dah lupa, pada 4 Mac lepas, UMNO menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Ahmad Maslan menyatakan tak akan bekerjasama babitkan parti itu dengan Bersatu untuk PRU15. Dalam kenyataan tu, UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Ramai yang ternanti-nanti Parlimen dibubarkan, tapi kita masih tak tahu apa yang akan terjadi

Buat masa sekarang, kami pun tak tahu bila lagi Parlimen akan dibubarkan atau bersidang. Sementara menunggu keadaan ini berlaku, kita dah nampak ada ramai ahli politik yang sedang lompat-melompat, sesuatu yang sebenarnya tak sihat untuk amalan demokrasi kita. Kami pun tak nak cakap panjang-panjang, kang dituduh sebarkan berita palsu. Apa yang pasti, rakyat sedang menunggu kerajaan yang benar-benar mampu membantu mereka untuk menghadapi pandemik Covid-19.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *