займ срочно

Jawatankuasa ini yang sepatutnya nasihatkan Agong ketika darurat, Takiyuddin kata lain

f1
Jawatankuasa ini yang sepatutnya nasihatkan Agong ketika darurat, Takiyuddin kata lain

Sebelum ni, kita dah banyak berbincang mengenai sidang Parlimen yang tak pandai buka meskipun ahli Parlimen dah kena vaksin semuanya. Terbaharu, Azalina Othman Said merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut bersetuju sekiranya Parlimen dibuka semula semasa tempoh darurat. Walaupun begitu, perkara ni turut membangkitkan suatu lagi isu yang wajar dikupas: penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

728 X 90

Penubuhan jawatankuasa ni datangnya daripada matlamat yang murni, manakala pelantikannya jugak terdiri daripada ramai pakar kesihatan seluruh Malaysia. Secara idealnya, ni suatu yang baik… tapi ada pulak dakwa kerajaan sebenarnya tak terlalu kisah pun dengan peranan sebenar Jawatankuasa tersebut. Mungkinkah dakwaan ni ada asasnya, jika dibandingkan dengan perkembangan kes jangkitan masa kini?

jawatankuasa agong
Via Berita Harian

Jawatankuasa untuk nasihatkan Agong tentang darurat, tapi Takiyuddin kata jemaah menteri pulak punya peranan

Sejak pengisytiharan darurat pada awal Januari lalu, norma baharu kita ‘dibebani’ dengan pelbagai kesukaran lain yang muncul kerana darurat ni. Misalnya, kegusaran sebilangan para pelabur asing yang lain terhadap situasi kat Malaysia terutamanya tempoh darurat. Oleh disebabkan tu, ia sekaligus memperlihatkan bahawa Malaysia masih belum menangkap keyakinan para pelabur asing untuk datang kembali buat masa ni. Selain dari tu, kita jugak boleh melihat sendiri iklim politik sekarang… yang mana kita masih boleh merasakan percanggahan antara parti-parti kerajaan sendiri di bawah Perikatan Nasional.

Salah satu langkah untuk kita menguruskan ‘bencana’ pandemik ni adalah dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus untuk menasihatkan YDPA. Perkara ni tentunya suatu yang baik, iaitu apabila sebuah panel terdiri daripada ahli parlimen dan pakar kesihatan awam mampu fokus dalam memerhatikan perkembangan semasa. Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan pada Februari lalu, dengan ahli panel seramai 19 orang meliputi ahli parlimen pembangkang dan kerajaan serta barisan pakar kesihatan berpengalaman seluruh Malaysia.

bebas darurat 2021
Via Astro Awani

Ia ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan berperanan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya. Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pulak berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

Akan tetapi, kita jarang melihat jawatankuasa ni benar-benar efektif dan kurang mendapat perhatian awam sehinggakan tak ramai sebenarnya sedar, keputusan darurat tak semata-mata hanya tertumpu di tangan YDPA je. Salah sorang yang mungkin tak begitu sedar adalah Menteri kat Jabatan Perdana Menteri sendiri, iaitu Takiyuddin Hassan. Untuk pengetahuan, Takiyuddin adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam Hal Ehwal Undang-undang.

Dengan merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkenaan Proklamasi Darurat yang mungkin diangkat pada Ogos tahun ni:

“Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan,”-seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

Dalam kenyataan yang sama, dia jugak menegaskan bahawa jemaah menteri lah yang bertanggungjawab untuk nasihatkan YDPA tentang keputusan melanjutkan darurat atau tak. Namun begitu, kenyataan ni tak begitu menggembirakan sesetengah pihak.

Kalau kabinet menteri yang menasihatkan Agong, apa fungsi jawatankuasa khas darurat?

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang seolah-olah menafikan peranan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Sambungnya, kenyataan tersebut merupakan satu penghinaan kepada beliau selaku ahli jawatankuasa yang diperkenan oleh YDPA.

“Kalau Yang di-Pertuan Agong bertindak sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet, soalan saya kepada menteri, kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua? Adakah menteri merujuk pada kenyataan Perdana Menteri mengenai peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ?

“Saya minta menteri jelaskan apa sebenarnya peranan jawatankuasa ini. Mengapa menteri Perikatan Nasional (PN) suka buat kenyataan bercanggah dan ‘flip flop’ yang boleh mengelirukan rakyat?”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Takiyuddin menjawab soalan tersebut, dengan kenyataan yang sebenarnya jika dilihat, tak begitu memuaskan ataupun memenuhi intipati soalan. Dia kata kerajaan tak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dia kata kerajaan akan patuhi segala peruntukan undang-undang dalam laksanakan tanggungjawab semasa buat keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang. Ni ternyata tak jawab soalan pun…

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dah pernah bermesyuarat pada awal Februari lalu, tetapi kita tak lagi mendengar khabar jawatankuasa sejak bulan tersebut. Kita cuma mendengar semula nama jawatankuasa tu ke lautan media apabila cadangan mewujudkan semula Majlis Gerakan Negara (Mageran) oleh Dr. Mahathir diperkenankan.

Mengikut penjelasan pakar perundangan, Prof Datuk Dr. Abdul Halim Sidek, sekiranya Mageran diperkenankan oleh YDPA; jawatankuasa tadi terbatal serta merta. Dia turut bersetuju dengan pemerhatian kami, iaitu jawatankuasa darurat ketika ni memang dilihat kurang berfungsi terutamanya dalam membuat keputusan. Tak membantu lagi, kalangan pemimpin pun ada bercanggah idea dan pendapat sehingga akhirnya, keputusan yang dicapai dah bercelaru dan mengelirukan ramai.

Dalam hemat kami jugak, jawatankuasa bebas darurat ni perlu diperkasakan lagi dan mestilah bebas daripada campur tangan politik. Sekiranya Agong tak memperkenankan Mageran, yang dulunya pernah digunakan sebagai cara menyelamatkan situasi negara, maka jawatankuasa darurat tu perlu diberi ruang untuk memainkan peranannya sebagai barisan penasihat berwibawa kepada Agong khususnya tanpa campur tangan kerajaan.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top