Piagam Muafakat Nasional, tanda ramai tak faham ‘ummah’ untuk apa…

131

Ketika kami mengulas tentang koalisi UMNO-PAS, dan cuba membawa perbincangan tu ke arah yang lebih kritikal; ada beberapa komentar yang mengatakan kami tengah ‘kepanasa’ kerana Melayu dan Islam dah bersatu. Tak kurang juga yang katakan kami sebagai ejen DAP. Sebenarnya kami nak sembang penyatuan ni dengan lebih kritikal; ia tak semudah – kalau Melayu dan Islam bersatu, semuanya bagus.

Banyak orang yang tak bertanggungjawab dah mengambil kesempatan atas ‘Melayu’ dan ‘Islam’; ia diizinkan kerana kepandiran sesetengah orang Melayu kerana terlalu ringkas dalam berfikir. Bunyinya agak kasar; tapi kadang-kadang kebenaran tu pahit.

Dahulu besi, sekarang parang; dahulu benci, sekarang sayang…

Dua hari sebelum 16 September yang merupakan Hari Malaysia pada tahun ini, tercipta satu sejarah – apabila dua parti yang turun-temurun berbalah, malah saling menuduh kafir dan sesat; PAS dan Umno berjaya menandatangani hubungan kerjasama. Walaupun usaha kerjasama dua parti tertua di negara ini telah dilakukan sejak tahun 2008 lagi – atas nama idea unity government – tapi perlaksanaan kerjasama ketika itu agak sukar terjadi.

Via BebasNews

Dari sudut ahli PAS pun, masih ramai lagi dari kalangan mereka yang agak susah nak terima cadangan tersebut. Apatah lagi, melihat kepada Umno yang terpalit dengan skandal kewangan negara seperti 1MDB.

Dengan itu, berlaku perlawanan dalaman parti, sehingga sebilangan besar figura besar PAS telah keluar dan menubuhkan parti baru – Parti Amanah Negara. Walau bagaimanapun, dengan keluar sebilangan besar figura besar itu, menjadikan usaha PAS mahu bergabung dengan Umno semakin lancar. Dengan itu, sejarah 14 September berjaya dilaksanakan.

https://www.youtube.com/watch?v=tCF-PKRmQDo

Menarik direnung, pada peringkat awal, ungkapan yang dipopularkan adalah “penyatuan Ummah”. Tapi, tak semena-mena dua parti yang berorentasikan kaum dan agama itu putuskan untuk tukar kepada ungkapan lain – Piagam Muafakat Nasional.  Ada pihak mendakwa, diorang tukar kerana ambil kira rakan taulan Umno turun temurun – MCA dan MIC.

Via 1media.my

Andai tindakan PAS – Umno menukar itu kerana faktor kewujudan bukan muslim, dan dianggap kalimah Ummah hanya fokus kepada muslim sahaja, ia adalah dangkal dan cukup tidak berilmu.

Wacana idea ummah centric yang pernah cuba dibukan oleh Menteri Pendidikan hari ini…

Jika diimbau ke tahun 2006 yang lalu, Dr Maszlee Malik yang kini menteri pendidikan, pernah melontarkan satu idea – ummah centric vs jemaah centric.

Ketika tu, Ustaz Wan Ji menjawat jawatan ketua Ulamak Pelapis Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, dia masih ingat bagaimana Ustaz Idris Ahmad yang ketika itu timbalan ketua pemuda PAS Pusat telah menolak wacana yang dibuka oleh Dr Maszlee.

Via NST

Bukan sekadar tolak, malah Ustaz Idris Ahmad yang dokong idea jemaah centric – dalam ucapan penutup muktamar Pemuda PAS Pusat itu, tanpa rasa bersalah menuduh Dr Maszlee Malik yang ketika itu adalah pensyarah UIA sebagai ejen Umno.

Ini bukan ejen UMNO, ini ejen 007. Via Giphy

Menarik untuk direnungi, kini Dr Maszlee Malik adalah salah seorang Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan yang dimusuhi Umno, sedangkan Ustaz Idris Ahmad pula pemimpin PAS yang kini memberi “siqah” atau kepercayaan penuh kepada kerjasama PAS – Umno.

Ummah dalam hadis tidak hanya menumpu kepada umat Islam semata-mata…

Bagi mereka yang sering dengar syarahan dan membaca tulisan ulama Arab berkenaan perbahasan kalimah “ummah” pasti akan tahu akan pemaknaannya yang sebenar. Ustaz Wan Ji beri cadangan agar ulama-ulama dalam PAS dan Umno perlu dengar kupasan daripada Syaikh Dr Said Ramadhan al Buti berkenaan hal ni.

Via Youtube

Dalam satu syarahannya, dijelaskan bahawa penggunaan kalimah ummah bukan sekadar merujuk kepada orang Islam sahaja, malah termasuk juga kepada orang yang tidak beragama Islam. Ini dihujah kepada dua dalil berikut:

Pertama, dalam Sahih Muslim, daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW ada bersabda:

“Demi nyawa Muhammad di tangan Tuhan, bahawa tidak ada seorang pun daripada kalangan umat ini, sama ada dia Yahudi atau Nasrani yang mereka mendengar (Islam) daripadaku (Nabi), kemudian mereka mati tanpa beriman kepadaku, maka dia sebagai ahli neraka.” (Hadis no, 153)

Syaikh Dr Said Ramadhan al Buti. Via Faizass

Daripada hadis ini kita akan faham bahawa Nabi telah menjelaskan bahawa Yahudi dan Nasrani – walaupun mereka tidak beragama Islam, mereka dikira juga sebilangan daripada kalangan ummah.

Kedua, dalam hadis lain Nabi SAW ada bersabda:

“Para Nabi terdahulu diutuskan untuk kaum tertentu, sedangkan aku diutuskan untuk semua manusia.” (al Bukhari, hadis no : 335)

Dengan hadis ni, Dr Said Ramadhan al-Buti jelaskan bahawa; ummah bukan dikhususkan untuk muslim sahaja, malah semua mereka yang tidak beragama Islam juga dikira daripada kalangan ummah.

Perubahan pentadbiran mengambil masa 40 tahun, nampaknya PAS ada tiga tahun lagi…

Dalam karya Muqaddimah, Ibn Khaldun ada membincangkan teori “tadawul” – perubahan jatuh naik sesuatu pemerintahan.

Ibnu Khaldun. Via IslamRahmah

Menurut pengamatan ulama sosiologi tu, sesuatu idea dalam sesuatu pentadbiran mengambil masa selama 40 tahun. Kemudian idea tersebut bergantian sehingga mencapai 120 tahun. Selepas 120 tahun, selalunya pemerintahan itu akan jatuh.

Melihat teori tadawul, mengingatkan kita pada permulaan idea kepimpinan ulama yang secara rasmi diterima dalam PAS semenjak 1982. Dalam kiraan itu, umur kepimpinan ulama kini sudah mencapai 37 tahun – berbaki tiga tahun lagi.

Via PAS

Dalam buku “Memoir Politik Asri: Meniti arus”, Datuk Asri Muda ada menulis bahawa sebelum kepimpinan Ulama PAS, idealisme yang PAS amalkan adalah semangat nasionalis yang disebatikan dalam fikrah Islam.

Namun, apabila berlaku revolusi Iran tahun 1979, idea Wilayatul Faqeh cadangan Ayatollah al-Khomeini yang bermazhab Syiah diterima oleh PAS. Ia diserap secara langsung dalam idealisme perjuangan PAS yang dijenamakan sebagai kepimpinan ulama.

Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh – yang pernah menjawat jawatan pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia – ada menulis bahawa idea kepimpinan ulama PAS merupakan pemikiran yang memisahkan fikrah Islam daripada semangat kebangsaaan Melayu.

Tahun 1983 merupakan titik akhir idealisme percampuran faham kebangsaaan Melayu dan Islam apabila gagasan yang dibawa beberapa tokoh besar dalam PAS seperti Dr Burhanuddin al Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Dato’ Asri tersingkir daripada kerangka idealismenya.

Asri Muda. Via Buletin Online

Menarik untuk direnung, apabila teori tadawul oleh Ibn Khaldun itu meletakkan batasan 40 tahun, sedangkan kepimpinan ulama yang tinggal beberapa tahun sahaja lagi akan mencecah umur 40 tahun; yang PAS pula pada kala ini sedang mengolah persetujuan ahli partinya agar menerima Umno sebagai rakan kerjasama dengan menggunakan istilah “ta’awun siyasi”, “matang dan sejahtera”, serta sedang membawa naratif yang amat berbeza dengan pendekatan PAS turun temurun – menyerang dan bermusuh dengan Umno.

Mungkin pada saat ini, PAS sedang berada dalam landasan perubahan idealisme politik mereka

Macam yang kami dah bincangkan tadi; ikut pengamatan Ibnu Khaldun, sistem pentadbiran akan berubah selepas 40 tahun. Nampaknya PAS mungkin akan mengubah kaedah kepimpinan mereka. dan ramai akan menyedari bahawa menolak idea yang dibawakan oleh Dato’ Asri Muda dahulu adalah satu kesalahan.

Apa yang kita tak ingin berlaku mungkin berlaku, iaitu apabila PAS mula melihat dan mengulas Islam dalam kerangka perkauman. Seperti ungkapan Presiden PAS yang tidak ingin Sarawak dikuasai oleh masyarakat Cina, ia tidak beri gambaran Islam yang sebenar.

Pandangan ini ditulis oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin yang menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Kini berkhidmat sebagai Pengarah Akademik di SAUDARA (NGO). Artikel asal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *