Malaysia memiliki Perdana Menteri tertua kat dunia, mesti orang Malaysia berbanggakan? Baru-baru ni Finland dapat Perdana Menteri termuda pulak, dan menariknya PM yang paling tua ada bagi nasihat ke PM yang paling muda. Benda tu pulak dapat perhatian dari PM New Zealand. Benda ni lawaklah sebenarnya, dah macam filem – orang saling berbalas-balas komen.
Finland cipta sejarah, lantik PM termuda kat dunia…
Perdana Menteri baru Finland, Sanna Marin, angkat sumpah jawatan pada minggu lepas, kalau ikut laporan agensi berita Turki Anadolu, dia pemimpin paling muda pegang jawatan tu kat dunia. Anggota parlimen Finland telah pilih Sanna yang berusia 34 tahun susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Antti Rinne selepas rakan kongsi utama gabungan menarik balik sokongan kerana hilang kepercayaan terhadapnya.
Sanna yang sebelum ni pegang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi dalam pentadbiran sebelum ni, dah bentuk kerajaan baharu yang terdiri daripada 12 menteri wanita dan tujuh menteri lelaki.
Pada awal tahun ni, dia dilaporkan cuba beri tekanan ke atas seorang pegawai di Kementerian Luar untuk bawa pulang kanak-kanak rakyat Finland yang ibu bapa diorang adalah anggota Daesh dari kem pelarian al-Hol di Syria.
Maria Ohisalo, pemimpin Parti Liga Hijau, akan terus berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri yang merupakan pihak berkuasa paling berpengaruh mengenai isu-isu imigresen.
Ville Skinnari, wakil Parti Demokratik Sosial (SDP) Finland yang terkenal dengan sokongan kepada calon Turki serta pendekatan sederhana dalam hubungan dengan Turki, telah dilantik sebagai Menteri bagi Pembangunan Kerjasaman dan Perdagangan Luar.
Tun Mahathir kata PM muda ni perlukan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman…
Perdana Menteri kita, Dr Mahathir Mohamad nasihatkan Sanna Marin supaya bertanya ‘orang lama’ untuk dapatkan nasihat diorang.
“Walaupun kami percaya kepada idealisme anak-anak muda, adalah penting juga bagi mereka untuk mengambil kira pengalaman orang-orang tua. Apabila ada gabungan kedua-duanya, ia lebih baik,” Tun Mahathir, dalam wawancara bersama Reuters.
Marin catatkan peningkatan pantas dalam politik Finland sejak ketuai Majlis Perbandaran Tampere pada usia 27 tahun. Dia ambil alih pimpinan kerajaan di tengah-tengah mogok pekerja selama tiga hari yang dibimbangi mengganggu pengeluaran di beberapa kilang utama.
PM New Zealand kata tak perlu pun dapatkan nasihat, orang muda boleh memimpin
Perdana menteri termuda dunia, Sanna Marin tak perlukan nasihat daripada pemimpin dunia lain, demikian kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
“Lihatlah, beliau tidak memerlukan nasihat (pemimpin lain). Ini salah satu isu apabila segelintir pihak beranggapan kerana anda muda, anda tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran. Saya sudah melihat beliau menjadi menteri dan sudahpun menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan. Apa yang saya boleh katakan adalah ia dilakukan dengan baik,” – Jacinda Ardern, seperti yang dilaporkan oleh Reuters
Macam yang dah cakap tadi, Dr Mahathir percaya kepada idealisme anak-anak muda, namun adalah penting bagi kumpulan pemimpin berkenaan untuk mengambil kira pengalaman orang-orang lama.
Asal-usul ‘OK boomer’, dan maklumat tentang perbezaan generasi…
Setahu kami perkataan ‘OK boomer’ jadi viral selepas Chloe Swarbrick, ahli Parlimen New Zealand, yang berusia 25 tahun gunakan kalimat tu ketika ia balas ahli politi yang lain kerana mengejeknya ketika tengah berpidato tentang perubahan iklim.
Ayat tu terakam kat video yang kemudiannya popular – dijadikan meme bertema pandangan orang tua yang kolot kepada anak muda.
“Ini adalah bentuk jawapan singkat dan sederhana namun tak agresif dari Generasi Z kepada Baby Boomer yang sering tidak mau mendengarkan anak muda.”
‘OK boomer’ jadi jawapan Gen Z dari perkataan ‘snowflakes’ yang selama ni sering diutarakan oleh Baby Boomer kepada Gen Z.
‘Boomer’ adalah singkatan untuk Baby Boomer, istilah yang digunakan untuk gambarkan orang yang lahir setelah Perang Dunia II. Maksudnya, sesiapa yang lahir di antara tahun 1946 dan pertengahan 1960an.
Generasi Z secara umumnya merujuk pada mereka yang lahir setelah 1997. Generasi Millennial, juga dikenali sebagai Generasi Y, menggambarkan kelompok yang datang sebelumnya – mereka yang lahir sekitar tahun 1981 dan 1996.
Usia cuma angka, tak semestinya orang tu tua dia pandai…
Kita selalu dengar – usia ni cuma angka. Maksudnya; walaupun seseorang tu dah tua, tak semestinya dia tu lebih pandai. Satu lagi benda yang kena ingat – setiap generasi ada peluang dan cabaran yang tersendiri. Sebab tu orang-orang yang lebih tua tak boleh bandingkan diri diorang masa muda-muda dulu dengan anak muda yang ada sekarang.
Untuk generasi muda macam kita (ehem-ehem), kita pun tak boleh bandingkan diri kita dengan diorang masa muda-muda. Sebab benda tu akan jadi tak adil. Apa-apa pun, kita saling memerlukan di antara satu sama lain – untuk berfungsi sebagai sebuah masyarakat yang gagah.