Fenomena melatah, rupanya orang barat pun turut melatah…

S1

Kat Malaysia, ‘melatah’ ni dah naiktaraf jadi sebahagian daripada bahan hiburan kerana mampu buatkan penonton terhibur dengan aksi para pelatah. Ada yang tertepuk tampar, ada yang terbuat apa yang disergah-sergah oleh kawan yang lain, dan ada pulak yang sampai menari-nari tengah jalan. Jangan sangka kita je yang ada budaya latah; kat Barat pun ada ye!

Komuniti Perancis-Kanada Amerika dulu pun melatah…

Sebenarnya fenomena ‘melatah’ ni dah lama wujud kat Barat ye, bukannya mereka nak ajuk latah yang ada kat Malaysia ni. Fenomena “The Jumping Frenchmen of Maine” pertama kali dikaji secara saintifik oleh seorang ahli neurologis bernama George Miller Beard pada 1878. Dia perasan fenomena tersebut hanya berlaku kat sebuah komuniti tukang kayu Perancis-Kanada di Moosehead Lake, Maine.

Jumping Frenchman Latah Barat
Ni antara gambar lama komuniti tersebut. Via New England Historical Society

Bila dia nak kaji tu, dia memang duduk lama kat sana supaya nak faham bagaimana fenomena ni berlaku. Pelik juga sebab tak pernah lagi dia jumpa kat mana-mana komuniti di Amerika yang ada tindakan luar biasa ketika terkejut. Mengikut catatan diarinya;

“Salah seorang daripadanya terloncat ketika duduk di kerusinya dengan sebilah pisau di tangannya dimana ada orang menyergahnya untuk membaling pisau tersebut dengan cepat, lalu dilontarkannya berkali-kali… apabila ada arahan yang disebut dengan kuat, mereka akan ulangi arahan tersebut.

Jika disuruh pukul, dia pukul, jika disuruh lontar, dia akan lontarkannya tak kira benda apa yang berada di tangannya… keseluruhannya fenomena ini hanyalah sebahagian dari suatu keadaan umum dikenali sebagai ‘jumping’… “- G.M. Beard (1880a), sepertimana yang dipetik oleh Damn Interesting.com

Dia mendapati bahawa mereka yang mengalami fenomena ni tanpa sedar akan terloncat dan lebih kerap memberi reaksi kepada kejutan tersebut secara fizikal. Macam yang ditulisnya dalam diari tersebut, mereka boleh lontar benda kat sesiapa je kalau ada suara kuat tiba-tiba menyergahnya. Kalau disergah nak suruh mereka menari, mereka akan menari.

Jumping Axeman Maine Latah
Via Ozy

George Beard pun kata, elemen nak bagi mereka terkejut tak semestinya kena suara manusia. Apa-apa bunyi yang cukup kuat dan di luar jangka mereka dah cukup untuk buatkan mereka terloncat. Sebab tu, amat bahaya sebenarnya kalau nak suka-suka kejutkan mereka yang mengalami fenomena ‘jumping’ ni terutamanya yang tengah pegang pisau atau kapak.

 

“… Semua ‘jumpers’ ni setuju bahawa ia buatkan mereka penat kerana kerapkali dikejutkan, dan mereka tak suka, namun kalangan rakan masih lagi buat sedemikian…”- George Miller Beard (1880), sepertimana yang dipetik oleh Gizmodo.com

Via Giphy

Walaupun George Beard tinggal lama dan banyak perhatikan budaya mereka, tapi dia masih tak tau kenapa mereka boleh ada bertindak sebegitu sebagai reaksi terkejut. Beberapa sebab yang dikemukakan oleh para pengkaji lepas dapatan Beard ni adalah masalah genetik akibat masalah perkahwinan sesama keluarga, masalah neurologikal dan masalah psikologikal.

Orang Rusia pun pandai melatah juga rupanya…

Dalam dekad yang sama juga, baru ada orang catat kisah sebuah masyarakat kat Rusia yang memang kuat melatah. Sebuah catatan pada 1884 mengisahkan seorang krew kapal di sungai yang selalu dikejutkan oleh rakan-rakannya dan para penumpang walaupun krew tersebut merayu agar jangan buat macam tu. Dahlah krew kapal, bahaya pulak tu…

Via Giphy

“Ia nampak seperti dia mengalami sebuah penyakit mental atau saraf, yang memaksa dia untuk meniru segalanya yang dia boleh nampak. Jadi, bila kapten ketuk pendayung bot, dia terlihat terus meniru (bunyinya) dengan baik. Beberapa penumpang meniru bunyi khinzir, atau menyebut nama yang pelik; ada yang tepuk tangan mereka dan berteriak, melompat serta melontar topi mereka atas dek kapal, dan krew tersebut terkejut, akan menirunya semula dan kadangkala, lebih dari sekali…”- Dr. William Hammond, sepertimana yang dipetik oleh Gizmodo

Tak seperti George Beard, fenomena di Siberia ni memang dah ada nama tersendiri iaitu “miryachit”. Namun masih tak ramai yang kaji pasal ni jika nak dibandingkan dengan apa yang berlaku di Maine tadi. “Miryachit” ertinya ‘bertindak bodoh’, dan dikatakan ia suatu kebiasaan untuk mereka yang tinggal di Yakutsk, sebuah kawasan yang amat sejuk hingga dinobatkan sebagai ‘bandar paling sejuk di dunia’.

Yakutsk Latah
Tengok gambar pun dah tau sejuk yang amat. Via Independent.co.uk

Tak baik kacau orang melatah, nanti boleh berjangkit…

Walaupun ia bukanlah dikategorikan sebagai suatu penyakit yang bahaya, tapi kesannya terhadap para ‘pelatah’ ni yang bahaya. Sebab tu kalau orang latah, lebih baik tak memandu sebab dikhuatiri membahayakan diri dan orang lain. Populasi para pelatah ni pun taklah ramai, tapi ia wujud di beberapa tempat lagi selain Malaysia. Kami dah sebut dua iaitu di Amerika Syarikat dan Rusia, dan antara kawasan lain adalah di Filipina, Somalia, India dan Yaman.

Memang wujud kajian oleh D.J Lanska pada 2018 yang bandingkan ‘melatah’, The Jumping Frenchmen dan Miryachit yang menyimpulkan bahawa ia sebahagian dari sindrom hyperstartle yang dilihat mempunyai kaitan dari segi budaya dan komponen sosialnya. Tetapi persoalan dari mana ia datang masih lagi belum terjawab setakat ni. Hanya ‘latah’ tu je yang kita akui boleh ‘terjangkit’ dari orang lain manakala yang lain masih belum konklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *