5 bandar Asia yang mungkin tenggelam, kawasan Malaysia tahun 2050

Bandar Dalam Air

Kegusaran Greta Thunberg di United Nation beberapa bulan lalu ada benarnya. Walaupun kita dah disajikan dengan berita gembira bahawa lubang-lubang kat lapisan ozon kita dah semakin mengecil, namun lain pula hakikatnya dengan isu pemanasan global yang tengah-tengah berlangsung tanpa kita sedari.

Dah banyak sebenarnya kesan akibat isu alam sekitar sedunia ni, tapi kita macam tak pandai serik lagi sehinggalah ada laporan yang ramalkan jika kita tak tangani isu pemanasan global dengan lebih baik, akan tenggelamlah banyak kawasan daratan termasuklah beberapa bandar kat Asia ni.

1. Jakarta pun dah sedar, cadang nak pindahkan kota…

Baru-baru ni, Presiden Republik Indonesia Jokowi dah umumkan nak pindahkan ibu kota mereka ke Kalimantan Timur. Selain dari beberapa sebab sosioekonomi dan krisis kepadatan penduduk, Jakarta sebenarnya sedang tenggelam. Jakarta ni kawasan berdataran rendah, dan ditambah lagi dengan kadar kenaikan air laut memburukkan keadaan kat Jakarta sehinggalah perlu berpindah ke Kalimantan Timur.

Menurut BBC, secara puratanya tanah Jakarta dah tenggelam 1-15cm setiap tahun dan menurut model ramalan Heri Andreas pula, seorang pengkaji di Bandung Institute of Technology; 95% daripada tanah daratan Jakarta kini bakal tenggelam menjelang 2050. Jakarta Utara antara kawasan awal yang sudahpun ditenggelami air, dan dah banyak bangunan yang ditinggalkan kerana sudah tidak selamat untuk diduduki.

Jakarta Tenggelam
Via BBC

2. Bangkok yang terkenal dengan Pasar Terapung mungkin jadi bandar tenggelam…

Pasar terapung ni sentiasa jadi tempat tarikan para pelancong terutamanya macam mana mereka nak berniaga atas perahu antara satu sama lain. Boleh jadi perniagaan atas air ni adalah satu gambaran awal bagaimana rakyatnya nak teruskan hidup lepas Bangkok tenggelam nanti. Lepas banjir besar yang menimpa Thailand pada 2011, kerajaannya dah mula fokus nak selesaikan isu alam sekitar negara termasuklah potensi bandar utama mereka akan tenggelam.

Banjir Thailand
Via BBC

Setiap tahun, mereka dah tenggelam sehingga 2 cm dan kesan tersebut lebih dirasakan kat mereka yang berdekatan dengan Sungai Chao Praya yang semakin tinggi paras airnya. Ditambah lagi dengan musim hujan yang tidak menentu dan Greenpeace pula meramalkan paras air laut Gulf of Thailand semakin naik, iaitu sebanyak 4 mm setiap tahun. The Asean Post pula kata antara faktor yang mengundang risiko tenggelam adalah jenis tanah yang lembut dan pembangunan tu sendiri.

3. Filipina yang selalu ‘disebat’ ribut mungkin akan kehilangan Manila…

Kedudukan geografi Filipina yang berdekatan dengan Pacific Typhoon Belt jadikan negara tersebut sebagai salah sebuah negara yang paling cenderung dilanda ribut khususnya di Davao dan Luzon. Jadi, mereka dah biasa dengan kejadian-kejadian banjir terutamanya banjir kilat akibat dari curahan air hujan yang dibawa oleh ribut. Tapi pada 2009 selepas Taufan Ketsana, lebih 80 peratus dari kawasan Manila ditenggelami air dan benda ni timbulkan persoalan yang lebih besar: bagaimana kalau Manila benar-benar tenggelam?

Kenaikan paras air laut dah makin tinggi sejak usaha pembangunan giat dijalankan pada 1960-an, dan proses industrialisasi tu perlukan air yang banyak. Kerajaan Manila mula pam air bawah tanah untuk kemudahan infrastrukturnya, sehinggalah pengambilan air berlebihan ni pula yang jadi penyumbang kepada land subsidence. Inquirer.net kata, kenaikan paras air laut di Metro Manila jugak dianggarkan 10 cm setiap tahun malah South China Morning Post kata dah ada beberapa daerah kecil di Filipina yang tenggelam seperti Pampanga dan Bulacan.

4. Ho Chi Minh enggan peduli sampailah ada kajian khusus nak buktikan bahaya tenggelam…

Pada 2017, Vnexpress.net dah laporkan sebuah kajian yang diketuai oleh Le Van Trung yang tumpukan pada perubahan yang berlaku kat beberapa daerah kecil dalam kota Ho Chi Minh. Menurut dapatannya, banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan risiko kota tersebut tenggelam. Kawasan yang paling teruk terjejas iaitu Binh Chanh alami kadar tenggelam sebanyak 309 mm. Namun kajian ni hanya setakat 2016.

Satu lagi kajian dari 2014-2017 turut buktikan benda yang sama, kali ni mereka senaraikan masalah yang sama dengan apa yang berlaku di Manila; penggunaan air bawah tanah dan penggalian yang tak terkawal terutamanya di beberapa kawasan padat penduduk. Tak cukup dengan tu, terdapat beberapa bahagian kat Delta Mekong tu sudahpun tenggelam dan dijangka akan hilang sepenuhnya pada 2100. Kenaikan paras air laut jugak antara 3-4mm setiap tahun, jadi bukan je kawasan utama pertanian mereka hilang, malah bandar pun boleh tenggelam.

Ho Chi Minh Banjir
Via Asia News Network

5. Shanghai, bandar pesat perniagaan dan pelancongan boleh ganti bandar Atlantis…

Di China pula, Shanghai antara bandar utama yang turut berhadapan dengan risiko tenggelam selain dari Beijing. Punca utamanya tidak jauh berbeza dengan kota-kota Asia lain iaitu kerana kepadatan penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di atas tanah lembut Sungai Yangtze. Time melaporkan bahawa bangunan pencakar langit yang dibina dah beratkan tanah tersebut sebanyak 30 peratus. Korang bayangkan, sejak 2011 tu sudah 200 buah bangunan pencakar langit dan mencecah 800 buah pada 2016.

China Shanghai Malam Tenggelam
Via China Briefing

Belum kira lagi aktiviti tarik air dari bawah tanah untuk penuhi kuantiti air yang diperlukan di Shanghai. Sejak 1890 lagi, mereka dah guna kaedah ni dan kesannya tu terlihat pada 1921 dimana kawasannya dah mulai tenggelam. Tapi hanya pada 1995, barulah kerajaan mereka bertindak tegas nak kawal penggalian perigi dan dah pasang global positioning system (GPS) untuk tengok perkembangan tanah.

Macam di Filipina juga, ada beberapa daerah kecil dah teruk seperti Jiangsu dan Zhejiang namun Shanghai masih lagi di bawah pemerhatian kerajaan.

Bersyukur bukan tanda berhenti kisah…

Kita patut bersyukur sebab jika nak dibandingkan dengan kota-kota padat Asia ni, kita tak alami apa yang mereka dah alami terutamanya dari segi bencana alam. Kita tak selalu dilanda gempa bumi mahupun ribut taufan, dan setakat ni, ibukota Kuala Lumpur tak berdepan dengan risiko ditenggelami air.

Via Giphy

Namun ikut kajian terkini, ada beberapa kawasan kat negara kita yang berisiko tenggelam pada 2050 dan dijangka melibatkan 9 buah negeri di Malaysia! Perkara beginilah yang perlu kita ambil perhatian dan kena jalankan kewajiban kita untuk lebih giat usaha kurangkan pemanasan global. Paling kecil korang boleh buat adalah kurangkan pelepasan jejak karbon, dan paling besar pula adalah sedarkan orang sekeliling kita terutamanya wakil rakyat anda bahawa kelestarian alam sekitar pun penting juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *