Tanzania haram penggunaan plastik, denda 1 bilion Tanzania bagi yang ingkar

Tanzania kini telah haramkan penggunaan beg plastik, tatkala Afrika berusaha gigih untuk kurangkan arus lambakan sampah berasaskan plastik di seluruh dunia, yang turut mencemarkan lautan. Tanzania kini haramkan pengimportan, pengeluaran, penjualan serta penggunaan beg plastik, dan menjadi negara Afrika ke-34 yang melaksanakan larangan tersebut, menurut Program Alam Sekitar PBB (UNEP). Langkah ni diumumkan oleh Naib Presiden negara tersebut, Samia Suluhu Hassan pada bulan April lepas.

Sesiapa yang gunakan beg plastik akan didenda sebanyak satu bilion Tanzania, banyak oh…

Larangan yang bermula pada bulan Jun 2019 ni dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan, sesiapa yang didapati menggunakan bahan plastik, akan dikenakan tindakan yang keras. Sesiapa yang didapati menghasil atau mengimport beg dan bungkusan plastik boleh didenda satu bilion shillings Tanzania (U$D430,000) atau berdepan hukuman penjara selama 2 tahun. Sesiapa yang menyimpan atau menggunakan beg plastik pula akan didenda sebanyak $87 atau dikenakan hukuman penjara selama 7 hari, atau kedua-duanya sekali.

Tanzania terkenal dengan hidupan liar sebagai tarikan pelancong, turut mengeluarkan notis kepada para pelancong bahawa mereka perlu menyerahkan beg plastik milik mereka sebelum memasuki negara tu. Hal ni dilakukan bagi memelihara alam sekitar, selain memastikan negara itu bersih dan indah, tanpa sampah berasaskan plastik.

Risiko timbunan sampah daripada beg plastik adalah banyak haiwan – seperti burung dan hidupan laut yang sering tersilap menyangkakan ia sebagai bahan makanan atau bahan untuk membuat sarang. Akhirnya, ia membawa kepada keracunan makanan, tercekik dan membawa kepada kematian. Memandangkan plastik ni tidak boleh dilupuskan, mereka kekal untuk tempoh yang sangat lama. Ada kajian yang menyebut, ia akan kekal selama 500 tahun. Mikroplastik daripada sampah ini juga akan membebaskan racun yang mencemarkan bumi dan bekalan makanan manusia.

Via Giphy

Bukan hanya Tanzania yang melaksanakan larangan penggunaan beg plastik

Di seluruh dunia, sebanyak 127 buah negara telah melaksanakan undang-undang berkaitan penggunaan beg plastik, di mana 91 daripadanya merangkumi larangan atau sekatan menghasil, mengimport serta mengedarkan bahan tersebut. 34 daripada negara tersebut terletak di benua Afrika, manakala 29 yang lain di Eropah. Dari segi keberkesanan perlaksanaan, dasar ini menyaksikan kesan yang berbeza berdasarkan negara. Di Rwanda, pengharaman beg plastik telah dilaksanakan sejak sedekad yang lalu, dan dianggap sebagai antara yang paling berjaya.

Namun, penting untuk korang tahu yang Rwanda mempunyai kelebihan tersendiri, sebabnya mereka tidak menghasilkan banyak bahan berasaskan plastik.

Di Kenya, penguatkuasaan terhadap larangan penggunaan beg plastik nampaknya berkesan serta memberi impak positif. Meskipun ada yang mendakwa peraturan ini dijalankan secara tergesa-gesa, ia telah diluluskan dengan matlamat membantu dan melindungi sektor pertanian, pelancongan dan perikanan di Kenya. Namun, masih ada plastik yang diseludup daripada negara jiran seperti Uganda. Larangan plastik di Kenya dilaksanakan pada 2017 bersama hukuman yang keras – denda sebanyak U$D38,000 dan empat tahun penjara. Sebaliknya, di negara-negara yang banyak mengeluar dan mengimport plastik sebagai satu industri, berdepan cabaran besar untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Hal ini kerana ia membabitkan banyak peluang pekerjaan yang terjejas akibat larangan tersebut.

Dunia kini menghasilkan lebih daripada 300 juta tan plastik setahun

Walaupun banyak tangkapan, denda serta hukuman penjara dikenakan, banyak juga kesan sampingan yang perlu diambilkira. Contohnya, ada sesetengah negara yang letakkan larangan sebelum memastikan terdapat alternatif yang sesuai kepada beg plastik. Selain tu, penguatkuasaan serta pengawasan dalam dunia realiti, secara praktikalnya tidaklah semudah yang disangka.

Dunia kini menghasilkan lebih daripada 300 juta tan plastik secara tahunan, dan saintis menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya terdapat lima trillion sisa plastik yang terapung di lautan. Kebanyakan bahan yang mencemarkan laut dan pemandangan sehingga menyebabkan kematian hidupan laut di sana, kebiasaannya dibuat untuk digunakan hanya sekali dan kemudiannya dibuang, seperti beg plastik, straw dan bekas makanan.

Via Giphy

Sehingga hari ni, kebanyakan negara di dunia masih gagal mencapai kata sepakat untuk membincangkan penggunaan plastik pakai-buang, namun hanya memberi fokus kepada mengurangkan pengeluaran bahan tersebut. Malah, Amerika Syarikat, Kanada atau Australia sendiri tidak mempunyai undnag-undang berkaitan larangan penggunaan beg plastik, meskipun ada negeri seperti Hawaii dan California yang melaksanakan larangan tersebut.

Pada Mac 2019, Kesatuan Eropah (EU) mengundi untuk menyekat penggunaan plastik pakai-buang bermula pada tahun 2021. New Zealand turut mengharamkan penggunaan beg plastik pakai-buang. Para pemborong yang gagal mematuhi peraturan ini akan berdepan hukuman denda sehingga NZ$100,000. Negara itu kini menggunakan 750 juta beg plastik pakai-buang setiap tahun, bersamaan 150 beg seorang. Timbunan beg plastik ini akhirnya akan mencemarkan alam sekitar khususnya kawasan terumbu karang serta maritim di negara itu.

Takkan nak tunggu macam ni baru nak berhenti guna plastik? Via PPC

Bangladesh jadi negara pertama yang haramkan beg plastik pada tahun 2002. China, Israel, Afrika Selatan, Belanda, Maghribi, Mauritania, Sri Lanka, Papua New Guinea, Vanuatu, Albania dan Georgia kemudiannya turut melaksanakan peraturan yang sama. Sejak bulan Oktober 2015, kedai-kedai di United Kingdom mengenakan caj 5 pence untuk penggunaan beg plastik dan pusat membeli-belah terbesar di Australia juga tidak lagi memberikan beg plastik percuma.

Sejak tu, kajian menunjukkan bahawa penggunaan beg plastik di United Kingdom telah berkurangan sebanyak lebih 80%. Ia juga mengurangkan kos pembersihan sampah berasaskan beg plastik sebanyak £60 juta. Tatkala pengeluaran plastik telah melambung sebanyak sekali ganda sejak 20 tahun yang lalu, adalah dijangka bahawa ia akan terus meningkat. Dunia kini mesti mengurangkan penggunaan plastik pakai-buang, bagi mengelakkan pencemaran yang lebih serius.

Mungkin cara proses semula plastik ni boleh membantu. Via Giphy

 Sebenarnya, ada tiga jenis plastik yang digunakan setiap hari iaitu beg plastik, plastik pembungkus dan botol plastik

Di Malaysia, plastik merupakan sampah yang paling banyak terkumpul di tapak-tapak pelupusan sampah (dengan kadar 70 peratus) berbanding bahan buangan lain. Ia juga menimbulkan masalah kebersihan serius kerana kebanyakan sampah sarap adalah plastik. Sebenarnya, terdapat tiga jenis plastik yang digunakan setiap hari iaitu beg plastik, plastik pembungkus dan botol plastik.

Plastik yang dijadikan bahan pembungkus diperbuat daripada bahan kimia polietilina, propilina dan polivinil klorida (PVC) yang dirawat dengan bahan pelembut (plasticizers).

Via Tree Hugger

Bagaimanapun, ramai yang tak tahu bahawa bahan-bahan kimia ni berbahaya kerana ia boleh mendatangkan kesan kesihatan seperti kanser kepada pengguna. Walaupun terdapat kebenaran oleh pihak berkuasa untuk menggunakan bahan ini pada kadar yang ditetapkan tetapi timbul pula kesan lain akibat penggunaan plastik iaitu pencemaran alam sekitar. Sistem pengaliran dan perparitan juga sering tersumbat akibat dipenuhi sampah plastik, selain bau yang busuk. Terdapat juga enjin bot yang rosak akibat tersangkut bahan plastik yang dibuang ke laut.

Justeru, kita perlu berwaspada dan berusaha mengelakkan penggunaan plastik secara meluas. Sudah banyak penyu yang menangis akibat pencemaran, dan kita tidak perlu terus menyumbang kepada pertambahan statistik kematian haiwan laut yang tidak berdosa itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *