Takut kena kencing dengan ejen MLM? Pastikan korang ikuti langkah ni

Istilah MLM (Multi-Level-Marketingsecara umumnya akan dikaitkan dengan benda-benda yang tak baik, seperti penipuan atau penindasan. Lebih-lebih lagi, beberapa tahun dulu ada kenyataan dari Bank Negara tentang isu ni. Persoalan mengenai integriti operasi syarikat MLM akan sentiasa menjadi bualan. Satu lagi, kaki MLM ni selalunya akan cuba cari orang baru kat kedai makan, kalau korang perasan ada yang tengah bercakap kuat gila macam kedai tu mak bapak dia punya, dia berpotensi untuk jadi agen MLM.

Biasa tengok? Via Utusan

Tapi tak dinafikan, ada je syarikat MLM yang sah disisi undang-undang (yang beroperasi secara jualan langsung daripada mempromosi francais dan keahlian). Apa yang kami nak beritahu kat sini – tak ada jalan pintas untuk jadi jutawan seperti yang selalu diwar-warkan. Untuk elakkan korang jadi mangsa seterusnya, meh kami bagi beberapa tips berguna…

1. Pastikan diorang ada lesen perniagaan, bukan sembang gebang je

Korang kenalah tanya kepada orang yang tawarkan macam-macam tu – sama ada diorang ada lesen untuk jalankan perniagaan atau tidak. Kalau orang tu takde lesen, bolehlah korang chaw dari tempat tu awal-awal.

Cuma kena ingat, hanya bergantung kepada maklumat syarikat semata-mata mungkin tak cukup untuk buatkan seseorang tu percaya. Bagi sesetengah pihak yang mahir, diorang boleh palsukan maklumat syarikat dan lesen perniagaan. Sebab tu jangan terus percaya dengan hanya maklumat syarikat atau masa diorang tunjukkan lesen tu.

Bak sini lesen perniagaan! Eh? Itu lesen kereta. Via Giphy

Kalau diorang ada maklumat syarikat dan lesen perniagaan, korang kena ambil langkah kedua- semak butiran tu sama ada benar atau tak. Kalau korang tak tahu nak buat macam mana, korang boleh je hubungi pihak yang lebih arif. Contohnya, semak kat Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan dengan lesen perniagaan yang diorang tunjukkan tu.

2. Pastikan korang tahu tentang produk, bukan semata-mata nak join saja-saja je

Untuk ceburkan diri dalam perniagaan yang guna sistem MLM ni, korang perlu tahu keseluruhan dan selok-belok proses yang berjalan daripada awal penglibatan sampailah ke proses penerimaan imbuhan. Kalau bisnes tu tawarkan penjualan produk, maka korang kena tahu tentang produk yang akan dijual. Korang perlu tahu perincian produk tu. Kita boleh nilai kesahihan produk dengan menilai harga yang diletakkan bagi setiap barangan. Contohnya, mustahil produk kopi yang dijual diletakkan harga ratusan ringgit atau korang dikehendaki untuk bayar ribuan ringgit hanya untuk sepasang pakaian yang kononnya mampu untuk langsingkan badan.

Ada gak syarikat MLM yang merekrut korang semata-mata untuk kejar down line. Kalau diorang hanya cerita tentang down line dan ketepikan soal produk yang nak dijual, maka korang bolehlah lupakan hasrat nak ikuti diorang. Barangkali diorang cuma nak jadikan korang down line.

3. Pastikan jugak perniagaan yang korang ikuti tu patuh syariah, sebab pendapatan yang halal pun penting

Kalau korang adalah orang Islam, ada banyak perkara yang perlu korang ambil tahu dan waspada, terutamanya jika ia berkaitan dengan hasil wang melalui sistem MLM ni. Maka persoalan yang perlu kita tahu ialah – adakah perniagaan MLM tu mempunyai panel penasihat syariah? Jika jawapannya ya, korang perlu dapatkan nombor telefon dan butiran yang perlu untuk membuat pengesahan.

4. Ada yang kata perniagaan guna MLM ni takde risiko, tapi semua perniagaan ada risikonya yang tersendiri

Jangan percaya pada orang yang kata MLM tu takde risiko dan taburi janji-janji kosong. Kalau korang fikir secara logik pun, takkanlah wujud perniagaan yang takde risiko, kan? Sedangkan bidang pertukaran mata wang atau pelaburan pun ada risiko yang tersendiri. Apa lagi business guna sistem MLM ni, ia mempunyai risiko yang kalau tak diuruskan dengan betul akan bawak bencana.

Hmmm…sembang gebang, bolehlah! Via Giphy

Risiko ataupun cabaran terbesar adalah kena yakinkan pelanggan bahawa perniagaan tu bukan berbentuk penipuan. Itu belum lagi cerita beratus-ratus cerita orang yang ditipu sebab join MLM. Jadi korang kena lakukan analisis risiko kalau korang yakin MLM yang korang nak sertai tu sah di sisi undang-undang. Kalau dah tahu perniagaan tu kaki kencing, cepat-cepatlah korang tarik diri.

5. Pastikan korang dibayar dengan betul, selalu semak penyata bank

Setelah korang berkecimpung dalam MLM dan yakin dengan apa yang korang lakukan tu, jangan terus percaya 100% sehingga korang dapat bahagian korang. Semak penyata bank, tengok kalau korang dibayar pada kadar yang betul ataupun tak. Ada sebahagian orang yang tak dibayar dengan cara yang betul dan lebih malang apabila duitnya di dalam bank juga turut lesap. Benda macam ni yang kami tak nak berlaku kat korang.

Ingat, takde duit yang datang dengan segera. Semuanya kena usaha! Via Giphy

Akal adalah perlindungan terbaik untuk diri sendiri

Kami mungkin boleh berikan korang sampai sejuta tips untuk elakkan diri dari kena kencing, tapi kalau korang tak gunakan akal dengan betul, tak jadi jugak. Sebabnya – kemahiran berfikirlah yang akan jadikan korang selamat daripada ‘serigala’ yang tengah nak dapatkan mangsa kat luar sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *