Prof Dr Bahari Belaton, Orang Asli pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Dekan

F1
Prof Dr Bahari Belaton, Orang Asli pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Dekan

Sebagai salah seorang alumni Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) , Universiti Sains Malaysia (USM), nama Prof Dr Bahari Belaton tidak asing lagi bagi saya. Beliau merupakan salah seorang professor yang dah lama berkhidmat di USM. Boleh dikatakan ‘otai’ bak kata anak muda sekarang. Iyalah, sudah lebih 20 tahun beliau menjadi pensyarah di fakulti kami.

Dr Bahari
Prof Dr bahari Belaton. Via FB School of Computer Sciences, USM

Ketika saya berada di tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer pada 2019, saya cuma berkesempatan bertemu beliau dalam sesi bengkel persediaan untuk pertandingan inovasi iaitu Novel Research & Innovation Competition (NRIC) pada tahun yang sama. Memandangkan beliau mengajar pelajar pasca-sarjana (postgraduate), maka saya tidak berpeluang mengikuti kelas-kelasnya kerana saya hanya pelajar ijazah sarjana muda. Untuk pelajar ijazah sarjana muda pula, hanya mereka yang mengambil tajuk Projek Tahun Akhir (FYP) di bawah seliaan beliau saja yang berpeluang menuntut ilmu secara langsung darinya.

B Pencen
Perlantikan Dekan baharu Pusat Pengajian Sains Komputer USM. – Via cs.usm.my

Walaubagaimanapun, sebagai sebahagian dari warga PPSK, saya tumpang bangga membaca berita di dada akhbar apabila beliau dilantik sebagai Dekan PPSK dan Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6), menggantikan Prof. Rosni Abdullah yang sebelum ini menyandang jawatan yang sama.

Prof Dr Bahari merupakan Orang Asli Suku Semai dari Perak, mampu jadi inspirasi kepada Orang Asli untuk menceburi bidang akademik

Saya juga baru tahu bahawa beliau berasal dari suku kaum Semai dari Kampung Orang Asli Tangkai Cermin, Perak. Tidak hairanlah mengapa tajuk FYP rakan-rakan sepengajian saya yang merupakan pelajar di bawah seliaan beliau berkaitan orang asli. Antara tajuk-tajuk projek mereka ialah “Pembangunan Sistem Kamus Digital Sebutan Bahasa Orang Asli Semai (Semaidict)” dan “Sistem Gerbang Maklumat Komuniti Orang Asli (OATC)”.

Via Giphy

Beliau merupakan anak kedua bongsu dari tujuh orang adik-beradik. Namun, adik beradiknya sudah meninggal dunia kecuali kakak sulungnya. Sebab-sebab kematian mereka tidak dapat dikenalpasti – kemungkinan disebabkan penyakit yang tidak diketahui. Beliau juga telah kehilangan ayah pada usia yang muda iaitu ketika berumur sembilan tahun.

“Di kampung kami tiada bekalan elektrik, mujurlah bekalan air bersih diperoleh dengan menumpang tuah kejiranan pekerja-pekerja perlombongan bijih timah yang kebetulan hanya di sebelah kampung. Itu pun tiga batang paip utama dikongsi dengan seluruh kampung.

“Namun itu semua bukan penghalang untuk saya meneroka ilmu,” – Prof Dr Bahari

Dibesarkan oleh ibu tunggal, kehidupannya tidaklah mudah seperti orang lain. Bagi ibunya yang buta huruf, pendidikan tidaklah menjadi keutamaan. Apa yang penting pada masa itu adalah mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Macam-macam kerja dilakukan termasuk mencari hasil hutan, mengambil upah dengan pengusaha tanaman kontan seperti sayur-sayuran dan pelbagai lagi.

Pun begitu, beliau tetap berbangga dengan ibunya kerana walaupun serba kekurangan, insan penting dalam hidupnya itu sentiasa menyokong penuh minat beliau dalam menimba ilmu dan sentiasa menyediakan segala yang mampu untuk memenuhi keperluan beliau termasuk pakaian sekolah, kasut, dan wang saku.

Whatsapp Image 2020 06 02 At 18.07.27
Via news.usm.my

Beliau turut mengakui, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) turut memainkan peranan penting sepanjang perjalanan hidupnya dan kanak-kanak orang asli yang lain dengan menyalurkan pelbagai sumbangan dan sokongan.

Berkat kecemerlangannya di peringkat sekolah, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Australia di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pada peringkat ijazah sarjana muda, beliau telah mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer di South Australian Institute of Technology, Australia (1989).

Disebabkan keperluan oleh JPA yang mengkehendaki individu yang ingin bekerja di sektor kerajaan memiliki ijazah kepujian (Honours), beliau kemudiannya menyambung pengajian selama setahun lagi di Flinders University, Australia (1991) untuk mendapatkan kepujian sebelum meraih ijazah doktor falsafah (Ph.D) di Leeds University, U.K. (1995).

Kajian terkini Prof Dr Bahari yang turut melibatkan Sains Forensik, boleh kenal pasti rupa dari tengkorak

Sudah cukup kita mengenali latar belakang beliau, mari kita terokai pula bidang kepakarannya pula. Beliau merupakan pakar dalam tiga bidang khusus dalam Sains Komputer iaitu Scientific Data Visualisation, Computer Graphics dan Network Security. Dari tiga bidang ini, yang paling menarik dalam portfolio beliau ialah Computer Graphics. Kenapa? Sebab dalam bidang ini juga, beliau bekerjasama dengan pakar dalam bidang Sains Forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM.

Example Of The Female Skull Model 3d Ct Scan Data And The Associated Facial
Antara kajian Prof Dr Bahari berkaitan Pengstrukturan semula wajah dari tengkorak. Via ResearchGate

Antara kajian terkini Prof Dr Bahari ialah “Computer-aided superimposition via reconstructing and matching 3D faces to 3D skulls for forensic craniofacial identifications (2019)”. Hasil dari kajian ini diaplikasikan dalam bidang forensik untuk mengenal pasti identiti tengkorak manusia.

Cabaran untuk mengenal pasti identiti mangsa yang hanya tinggal tulang rangka dan tengkorak ini sangat sukar jika sekadar bergantung kepada ujian DNA di makmal. Apatah lagi, wajah asal mangsa sudah tinggal tengkorak saja. Jadi, dengan kajian ini, struktur tengkorak itu akan diproses dengan software dan hasilnya, kita dapat menjana (generate) imej wajah asal mangsa.

Matlamat Prof Dr Bahari adalah untuk menyumbang kepada masyarakat

Menurut Prof Dr Bahari dalam laporan berita di portal rasmi Universiti Sains Malaysia, matlamat hidupnya adalah untuk berbakti kepada masyarakat.

“Matlamat hidup saya adalah ingin berbakti, memberi khidmat, mencurah tenaga kepada USM, pelajar-pelajar saya, komuniti saya dan keluarga saya,” – Prof Dr Bahari

Siapa sangka, seorang anak dari perkampungan Orang Asli yang selama ini cemburu dengan kejayaan orang lain, menjadi figura yang disegani dalam bidangnya pada hari ini. ‘Cemburu’ di sini bukanlah hasad dengki, tapi rasa termotivasi untuk turut berjaya dalam hidup. Itulah cemburu yang baik. Buat Prof Dr Bahari, selamat menjalankan tugas sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, USM.

 

Maklumat penulis: Maisarah Mohd Pauzi merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, tulisan ini tidak semestinya mewakili pendirian ORANGKATA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top