Ramai yang kenal Harith Iskander je, ini EMPAT lagi pelawak ‘stand up comedy’ yang power

F1

Selain dari kepelbagaian budaya, budi bahasa dan kemesraan rakyat, ada satu lagi benda yang orang luar suka dengan Malaysia; dunia komedi! Jika diperhatikan, industri seni kita banyak lahirkan para pelakon yang versatil dan serba boleh. Tak kurang jugak, wujudnya banyak program yang mengasah bakat komedi tanpa mengira bangsa, agama, negara dan jantina. Ye, program komedi untuk cari pelawak wanita macam Jihan pun ada. Jadi kali ni, kami nak kumpulkan lima pelawak Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa…

1. Harith Iskander, pernah dinobat ‘Funniest Person in the World’…

Kalau korang masih ingat lagi, Harith Iskander ni antara pelawak Malaysia yang dah lama berkecimpung dalam dunia komedi tempatan dan antarabangsa. Malah, dia merupakan pelawak ‘stand up’ pertama di Malaysia, menjadikannya Godfather of Stand-up Comedy negara. Wow, gempaknya!

Harith Iskander Malaysia Godfather Pelawak
Via The Malaysian Times

Lahir pada 7 Ogos 1966, anak Johor ni mulai menceburi dunia komedi lepas kawannya cadangkan dia untuk buat persembahan kat lobi Subang Jaya Airport Hotel pada 1991. Kemudiannya, dia turut diberi peluang membintangi banyak filem tempatan macam Sepet (2004), Gubra (2006) dan beberapa filem lain. Phua Chu Kang, siri televisyen kegemaran rakyat Malaysia dari Singapura pun dia pernah bintangi pada 2009.

Populariti dia memuncak bila dia menang anugerah The Laugh Factory pada 2016, mengalahkan empat finalis pelawak terkemuka seluruh dunia seperti Chris Rock dan Dave Chapelle. Untuk pengetahuan korang, The Laugh Factory ni platform Amerika Syarikat ye, menghimpunkan banyak nama pelawak seantero dunia.

Kemenangannya dalam The Laugh Factory buktikan bahawa orang Malaysia ni pun pandai hiburkan orang jugak. Sesuailah apabila tahun yang sama, dia diangkat oleh Datuk Seri Nazri Aziz sebagai ikon duta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

S1
Via Medium

Selain dari tu, dia turut ada ‘talk show’ sendiri iaitu Obviously Harith (OHI) yang menampilkan banyak tokoh dari pelbagai latar belakang. Antara tokoh yang pernah ditemubual dalam OHI adalah Musa Hitam, Tuanku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail dan Nurul Izzah. Kepetahannya turut memberikannya peluang siaran rancangannya sendiri kat Netflix, iaitu I Told You So pada 2018.

2. Jason Leong, ‘Ken Jeong’ Malaysia dan mirip Jho Low?

Kalau korang adalah peminat filem The Hangover atau pernah tonton Crazy Rich Asians, korang mesti kenal wajah Ken Jeong kan? Sebenarnya kita pun ada jugak ‘Ken Jeong’ versi Malaysia, bernama Jason Leong. Kami gelarkan Jason Leong ni Ken Jeong Malaysia sebab dua perkara: mereka ni pelawak yang sangat berbakat, dan mereka adalah bekas doktor yang memilih karier untuk jadi seorang pelawak.

Jason Leong Pelawak Malaysia
Dr. Jason Leong… tapi ada kata dia ni mirip Jho Low pulak dah. Via R.AGE

Kisah peralihan arus kerjaya hidupnya pun hampir sama dengan Ken Jeong, untuk beberapa tempoh, mereka cuba imbangkan kerja doktor perubatan dengan kerja sebagai pelawak. Kata Jason Leong;

“Untuk tiga tahun saya bekerja, saya usahakan (buat) komedi dan perubatan, dan ia sudah sampai ke satu tahap dimana saya kena pilih salah satu daripadanya… Pilihan paling mudah yang pernah saya lakukan. Tiada kekesalan.” – seperti yang dilaporkan oleh South China Morning Post pada 12 Mei 2019

Tak macam Harith Iskander, namanya meningkat naik lepas dia menang ‘7th International Hong Kong Comedy Competition’ pada 2013. Dia merupakan pemenang pertama dari Malaysia, dan kini merupakan pelawak pertama dari Malaysia yang buat persembahan sepenuh masa kat Laugh Factory dan Gotham Comedy Club di Amerika Syarikat. Seperti Harith Iskander, gaya persembahannya banyak sentuh dari pemerhatian sekelilingnya termasuklah apa yang dia nampak kat Malaysia.

https://www.youtube.com/watch?v=-owdHRqCjeE

3. Pelawak wanita tu wujud, Joanne Kam buktikan bakat tak kira jantina…

Jarang kita nak jumpa pelawak profesional wanita, apalagi yang dah sampai antarabangsa dan selalu buat persembahan komedi depan orang ramai. Maka dengan tu, kami kena cerita sikit pasal Joanne Kam. Dia adalah bukti hidup bahawa bakat komedi yang terpendam ni tak kira jantina. Kalau Harith Iskandar dipanggil ‘Godfather’, Joanne Kam pula menggelar dirinya ‘Diva Queen’ ataupun ‘Queen of Stand-Up Comedy’ di Malaysia.

Joanne Kam Pelawak Wanita Malaysia
Joanne Kam tengah beraksi…Via Astro Awani

Seorang lagi anak Johor, dia membesar di beberapa tempat seperti Ipoh, Pulau Pinang dan Johor kerana bapanya selalu berpindah randah. Namun begitu, lepas pemergian kedua-dua ibu bapanya, dia bawa diri ke Singapura untuk bekerja di sana. Pada 1990-an, dia perlahan-lahan ceburkan diri dalam ‘stand-up’ comedy di Kuala Lumpur dan terus berkembang aktif hingga kini.

Setakat ni, dia turut berlakon dalam beberapa siri komedi di NTV7 seperti Kopitiam, Spanar Jaya dan “Ah Girl”. Pada tahun 2018, peluang berlakon di platform antarabangsa HBO dalam siri Grisse ‘bagaikan bulan jatuh ke riba’.

Via Giphy

Selain dari berlakon kat filem, dia pun aktif berlakon kat teater musikal dan pernah jadi pengacara radio untuk Mix FM, Capital FM dan kini, turut menjadi hos radio untuk Red FM. Menjadi pelawak wanita dalam dunia yang didominasi oleh lelaki, banyak cabaran yang harus ditempuhinya sebagai seorang wanita lagi dengan saiz fizikalnya yang sedikit besar dan merupakan ibu tunggal.

4. Percaya pada proses kreatif untuk hasilkan lawak, Keren Bala Devan kongsi tips…

Nak buat lawak ni bukanlah suatu kerja yang senang. Bakat je tak cukup, sebab nak buat lawak turut meliputi proses kreatif untuk menghasilkan lawak yang menghiburkan para penonton. Keren Bala Devan merupakan pelawak yang menceburi dunia komedi ‘stand up’ lepas kawan-kawannya cadangkan dia untuk cuba buat persembahan kat Kuala Lumpur pada 2010.

Keren Baladevan / Comedian
Via New Straits Times

Dalam temu bualnya dengan New Straits Time, dia banyak berkongsi mengenai perjalanannya sebagai seorang pelawak ‘stand up’. Tak macam beberapa pelawak yang dah kami sebut tadi, buat masa ni kariernya lebih fokus dalam peringkat tempatan dan kolaborasi dengan barisan pelawak tempatan. Selain tu, dia pun dah beberapa kali buat persembahan kat Comedy Central Stand-up, Asia!

Dia turut berkongsi bagaimana proses cipta jenaka lucu, dan usahanya nak mantapkan lagi kemahirannya berlawak. Baginya, kunci proses kreatif yang terbaik adalah sentiasa gabungkan ilmu pengetahuan artistik dengan sains.

“Pertama, anda kena ada premis idea. Anda bina idea asal anda menggunakan pengetahuan kreatif pasal benda tu. Itu adalah proses artistik di sebaliknya. Kemudian, datangnya bahagian sains pula adalah bila anda kembangkan idea tersebut menjadi sebuah jenaka. Anda fokus pada teknik penulisan jenaka, pemasaannya dan persembahannya. Anda gabungkan semua tu dan begitulah cara anda boleh jadi lebih baik.”- Keren Bala Devan, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times pada 9 April 2017

5. Papi Zak pelawak Melayu yang suka makan, berlawak…

Mungkin korang akan kenal nama Papi Zak kalau korang jenis suka tengok rancangan The Halal Foodie. Mohd Zakry Kamal, atau lebih glamer dipanggil Papi Zak, merupakan pelawak ‘stand-up’ Melayu walaupun dilahirkan di Mesir dan dibesarkan kat beberapa negara seperti Amerika, Jepun dan Jerman.

Bapanya merupakan diplomat Malaysia, namun hatinya masih lagi anggap dirinya sebagai orang Melayu dari Malaysia. Aktif buat persembahan komedi ‘stand up’ sejak 2003, dia boleh dikatakan sebaris dengan Harith Iskander, Douglas Lim dan Jit Murad.

Papi Zak Pelawak Makanan Malaysia Foodie Halal
Via The Rakyat Post

Pada 2016, dia turut terlibat dalam filem Special Female Force dan seperti Keren Bala Devan, dijemput dalam Comedy Central Asia! Selain tu, dia diberi peluang untuk menjadi hos dalam rancangan yang mengetengahkan tempat-tempat makanan halal serata dunia iaitu The Halal Foodie. Satu lagi rancangan yang menampilkan dirinya bersama seorang lagi hos Razif Hashim, Happy Endings pula memaparkan kepelbagaian budaya negara Asean termasuklah keadaan masyarakat yang kurang bernasib baik di negara lain.

Bakatnya tak terhenti dari sekadar menjadi pelawak dan pengacara rancangan televisyen. Berganding dengan Joanne Kam, dia turut menjadi pengacara bersama di Red FM.

Bakat anak Malaysia perlu dikenali, beranikan generasi muda mencuba suatu yang baru…

Kami pasti banyak lagi para pelawak di luar sana yang tak termasuk dalam senarai ni, dan ni tak bermakna mereka tak bagus. Di ORANGKATA, kami sentiasa percaya pada kebolehan anak muda dan keperluan masyarakat mengizinkan ruang serta platform untuk mengembangkan bakat serta potensi diri.

Malahan, industri komedi di Malaysia sebenarnya agak luas untuk sesiapa je yang suka menghiburkan orang lain dan berkongsi pengalaman lucu secara profesional. Jika korang nak jadi pelawak profesional, boleh je bertatih buat persembahan secara kecil-kecilan. Kelima-lima ni bermula dari buat persembahan ‘stand-up’ jugak, tapi kerana usaha dan kebolehan mereka untuk berbahasa Inggeris, mereka dapat peluang yang lebih besar dalam peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *