Jika kita menyokong kempen Black Lives Matter, kita patut sokong reformasi polis di Malaysia

F1

Sejak bulan lepas, beberapa bandar di seluruh dunia, terutamanya Amerika Syarikat terus menunjukkan bantahan terhadap “keganasan pihak polis dan rasisme” dengan tunjuk perasaan besar-besaran akibat kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam warga Amerika yang jadi mangsa keganasan polis. Ia juga rentetan dari pembunuhan warga Afrika Amerika yang lain seperti Breonna Taylor, Ahmaud Arbery, dan lain-lain. Protes ini hanyalah reaksi terbaru terhadap ketidakadilan perkauman dan masalah sosio-ekonomi di Amerika Syarikat.

Poster Normal
Kejadian yang sebabkan kemarahan orang ramai. Dalam sejarah, ada banyak benda macam ni terjadi, yang jadi “pencetus” kepada sesuatu gerakan yang baru. Via NYTIMES

Amerika Syarikat takde hak untuk ajar negara-negara lain macam mana nak jadi negara “demokrasi” sementara etnik minoritinya, warga pribumi, masyarakat yang terpinggir, penunjuk perasaan secara aman dan pelarian yang cari pertolongan di sana dianiaya menggunakan “alasan” penguatkuasaan undang-undang.

Ia adalah sesuatu yang hipokrit untuk marah dengan isu global, tapi tak lihat keadaan yang berlaku di Malaysia

Ramai rakyat Malaysia sedih dan marah dengan peristiwa yang membawa kepada protes George Floyd, dan kita berhak untuk marah. Cuma, kita juga mesti terima hakikat bahawa hak asasi manusia di negara kita, terutama berkaitan dengan hal kepolisan dan undang-undang – takdelah baik sangat. Hipokrit untuk kita mengutuk apa yang tengah berlaku di Amerika, sambil abaikan masalah yang ada kat negara kita.

Pasukan polis tak dapat berfungsi dengan berkesan tanpa kepercayaan dan keyakinan masyarakat, ia adalah kerjasama dua hala. Mangsa salah laku polis – termasuk insiden N Dharmendran dan Aminulrasyid Amzah – boleh ditemui dalam kalangan semua kaum.

Segala penyalahgunaan atau kesalahan mesti didedahkan dan diperbetulkan dengan segera untuk tingkatkan kewibawaan sistem perundangan di negara kita. Di Malaysia, kita beruntung kerana kita berbeza dengan Amerika. Tetapi apa yang tengah jadi di Amerika Syarikat adalah peringatan kepada Malaysia tentang apa yang boleh terjadi kalau kita terus mengabaikan atau melarikan diri dari masalah ini.

Institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak dapat penghormatan dan sokongan daripada kita. Diorang dah berkhidmat dengan penuh dedikasi, jujur, bahkan sanggup korbankan nyawa diorang dalam semua krisis yang dihadapi negara kita – termasuklah baru-baru ini dalam isu pandemik COVID-19. Kerja keras diorang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang patut dapat pujian. Semua pihak, terutamanya PDRM nak jadikan anggota polis kita lebih professional dan responsif kepada hak asasi manusia.

Poster Normal
Sekatan jalan raya di sempadan negeri sepanjang PKP hari tu. Via UO

Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin perlu diteliti, ambik mana yang baik dan realistik unutk dilaksanakan

Pada tahun 2004, Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, mantan Ketua Hakim Negara Malaysia yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong telah pengerusikan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Penemuan Suruhanjaya itu yang dikenali sebagai “Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin”, diterbitkan setahun kemudian dengan lebih dari 600 halaman dan 125 cadangan untuk jadikan PDRM lebih baik.

Poster Normal
Tun Dzaiddin. Via Wawasan Open Universiti

Objektif Strategik laporan tersebut berpendapat bahawa polis Malaysia:

“… perlu terus menegakkan undang-undang, menjaga keamanan dan memerangi jenayah tetapi dalam mencapai matlamat ini, PDRM mesti mematuhi hak asasi manusia, menggunakan kuasa-kuasa mereka dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Sebaliknya, PDRM harus melihat dirinya sebagai penjaga hak orang awam. PDRM juga harus menganggap dirinya sebagai badan yang “berkhidmat” dan bukannya yang “berkuasa”, walaupun sesetengah ciri separa tenteranya perlu dikekalkan. Akhir sekali, PDRM perlu bersikap lebih telus dan bertanggungjawab terutama kepada badan-badan bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan kepada rakyat.”

Laporan tu bincangkan tentang pendemokrasikan pasukan polis untuk libatkan semua pihak yang berkepentingan dalam masyarakat, sesuai dengan semangat PDRM “polis dan masyarakat berpisah tiada”. Ia juga akan jadikan perkhidmatan polis yang dihormati, yang bertindak untuk kepentingan nasional, bukan kepentingan individu atau kepartian dan bakal menikmati keadaan kerja dan kehidupan yang lebih baik.

Poster Normal
Via Astro Awani

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) merupakan salah satu daripada 125 cadangan Laporan Tun Dzaiddin. Usul ni jadi titik perdebatan utama yang timbul dari Suruhanjaya dan laporan diorang.14 tahun kemudian, RUU untuk jadikannya realiti akhirnya dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2019. Walaupun Bacaan Kali Kedua ditangguhkan, ia merupakan langkah ke arah yang betul. Semua pihak berkepentingan – termasuk kepimpinan PDRM – telah berpeluang memberikan maklum balas mengenainya.

Mekanisme yang ada seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mencukupi untuk PDRM. Kekurangan EAIC memang diketahui umum, termasuk hakikat ia takde kemampuan untuk menilai salah laku secara bebas.

Sesiapa pun yang jadi kerajaan, Perikatan Nasional, Muafakat Nasional atau PH Plus, diorang mesti teruskan usaha RUU IPCMC ni. Ia merupakan satu lagi urusan Parlimen yang mendesak, malangnya ia sedang diabaikan. Sudah tentu Ahli-Ahli Parlimen yang lain akan bahaskan Rang Undang-Undang tu dengan teliti apabila ia dibawa ke Parlimen untuk memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan dilindungi.

Bukan setakat IPCMC ni je, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperkasakan pasukan polis

Meningkatkan kualiti pihak polis di Malaysia tak hanya berakhir dengan penubuhan IPCMC ni, ia cuma salah satu daripada 125 cadangan Laporan Tun Dzaiddin. PDRM yang dapat jaga keselamatan rakyat Malaysia, serta bebas dari rasuah dan penyalahgunaan lain akan perlukan saranan laporan ni dilaksanakan, termasuklah cadangan mengenai pengambilan, latihan, kelengkapan dan peningkatan kesejahteraan anggota.

Desakan untuk melaksanakan cadangan Laporan Tun Dzaiddin secara holistik, bukan dalam hal IPCMC semata-mata, akan bantu memenangkan banyak pihak terhadap transformasi dalam perkhidmatan polis untuk mempersiapkan mereka untuk menghadapi abad ke-21. Protes George Floyd telah menghidupkan kembali perdebatan global mengenai peranan dan sifat kepolisian. Perubahan jelas diperlukan, termasuklah di Malaysia.


Artikel ini diambil dan disunting dari artikel Jalan Ke Depan Untuk PDRM tulisan YB Nik Nazmi Nik Ahmad, yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *