Angelina Jolie lawat kem pelarian Rohingya, kritik kerajaan Myanmar

Angelina Jolie lawat kem pelarian Rohingya, kritik kerajaan Myanmar

Siapa tak kenal Angelina Jolie? Walaupun tengah berhadapan dengan kemelut perceraian bulan lepas, pemenang Anugerah Oscar, Angelina Jolie tetap fokus melakukan apa yang disukainya – kerja-kerja kemanusiaan. Setelah dua tahun, ini adalah kali pertama gambar Jolie dan Pitt dirakam bersama, di mana mereka dilihat sedang berbual dalam keadaan yang tidak selesa dan saling berbalah. Terdapat spekulasi yang menyatakan ia berkaitan dengan hak penjagaan enam orang anak mereka. Salah-seorang anak Jolie (anak angkat), Maddox, dilahirkan di Kemboja.

Baru saja beberapa hari menemui bekas suaminya itu dalam suasana yang tegang dan kontroversial di Beverly Hills, Jolie dengan tenang terbang ke Bangladesh, menuju kem pelarian terbesar di dunia, Kutupalong di Cox’s Bazar, bagi melawat pelaraian Rohingya di sana. Terdahulu, pada Mac 2016, selebriti Hollywood yang juga Duta Khas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu, pergi ke Lubnan sempena 5 tahun berlangsungnya krisis kemanusiaan di Syria.

Jangan gaduh-gaduh, tak baik. Via OKMegazine

Walaupun tengah berhadapan kes cerai, dia selamber je pergi kem-kem pelarian

Beliau mengadakan sidang akhbar selepas melawat beberapa keluarga pelarian Syria di timur Bekaa, Saadnayel, Lubnan. Beliau menekankan berkenaan perlunya masyarakat antarabangsa mengenalpasti punca utama berlakunya krisis pelarian global masa kini. Dalam lawatan selama tiga hari ke Cox’s Bazar, Jolie telah melawat beberapa penempatan pelarian yang kini menempatkan ribuan orang Muslim Rohingya, yang kehilangan tempat tinggal. Jolie menzahirkan rasa bangga kerana dapat menziarahi para pelarian tersebut dan akan berusaha untuk membantu mereka dalam menghadapi krisis.

Dalam ucapannya kepada para pelarian di sana yang asalnya menyelamatkan diri mereka daripada keganasan di Myanmar, Jolie menyatakan;

“Saya menggesa pihak berkuasa Myanmar agar menunjukkan komitmen yang sebenar bagi mengakhiri keganasan, kehilangan tempat tinggal serta memperbaiki keadaan bagi kesemua komuniti di wilayah Rakhine, termasuk Rohingya.”

Via 4gif

Jolie mengkritik dunia kerana gagal menghalang tragedi kemanusiaan yang menyaksikan 730,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Ramai tak tahu masyarakat Rohingya adalah orang asal di Arakan

Hakikatnya, masyarakat Rohingya merupakan orang asal di Arakan dan bukan pendatang dari Bangladesh atau mana-mana negara. Sejak tahun 1433, bangsa Rohingya telahpun membentuk sebuah kerajaan sendiri di Arakan, yang diasaskan oleh Raja Sulaiman Shah (Narameikhla) di bawah Dinasti Mrauk-u, dengan bantuan Sultan Nasiruddin Shah dari Gour, Bengal. Pada kurun ke-15 dan 16, di bawah pemerintahan Zabuk Shah, masyarakat Arakan mula menerima agama Islam secara besar-besaran.

Kemakmuran Arakan mula dinodai pada tahun 1784, apabila Raja Burma, Bodaw Phaya menjajah wilayah tersebut, menyaksikan ramai umat Rohingya diseksa dan dibunuh dengan kejam. Arakan kemudiannya dijajah oleh British pada 1825 sehingga 1942, sebelum Burma Independence Army (BIA) di bawah pimpinan Bo Yan Aung melancarkan kempen pembersihan etnik terhadap komuniti tersebut. Sekurang-kurangnya 100,000 orang etnik Rohingya terkorban.

Masyarakat Rohingya. Via TC

Pemimpin Rohingya telah diketepikan daripada sebarang rundingan ketika tuntutan kemerdekaan Burma dibuat, termasuklah ketika penubuhan Kesatuan Burma. Asalnya, hak kerakyatan orang Rohingya diiktiraf dalam “Perlembagaan Burma 1947”, namun hak tu ditarik melalui “Undang-Undang Kerakyatan 1982” yang zalim dan menindas. Ini adalah bertentangan dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB.

Pada tahun 1978, seramai 300,000 orang Rohingya dihalau secara serta-merta ke Bangladesh, namun Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain, menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit. Pada tahun 1991 sahaja, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan etnik berkala oleh tentera Myanmar.

Sedih. Via DT

Banyak badan masyarakat yang simpati dan menghulurkan bantuan kepada Rohingya

Banyak Badan Masyarakat Madani (civil society organization – CSO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) konsisten menjalankan inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat; khususnya golongan belia tanah air, berkenaan kesengsaraan dan penderitaan hidup yang dialami oleh umat Islam Rohingya, atas kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah Myanmar/Burma. Mereka konsisten memperjuangkan hak umat Islam Rohingya yang dibunuh, diculik, diperkosa serta diusir keluar dari kampung halaman mereka.

Isu penindasan umat Islam Rohingya telah disiarkan dalam majalah “Risalah” terbitan ABIM sejak tahun 1982, apabila memuatkan temubual bersama Presiden Rohingya Patriotic Front ketika itu, Mohammad Jaafar Habib, berkenaan penindasan umat Islam Rohingya di Myanmar. Pelancaran Tabung Pelarian Islam Rohingya oleh ABIM dibuat pada tahun 1992, manakala penubuhan Pusat Informasi Rohingya dibuat pada tahun 90an.

Via AWANI

Penubuhan sekolah-sekolah untuk anak pelarian Rohingya seperti Rohingya Education Centre (REC) di Gombak, Klang, Kuantan, dan Permatang Pauh merupakan manifestasi penting kepada keprihatinan rakyat Malaysia terhadap keperluan memberikan harapan kepada masa depan mereka.

Kemenangan parti politik National League for Democracy (NLD) pada 2015 di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi juga dilihat bersifat hipokrit, kerana tidak mengiktiraf ratusan ribu rakyat etnik Rohingya yang mengundi. Malah, siri pembersihan etnik Rohingya dari bumi Myanmar terus dilakukan dengan kejam.

Via gif4u

‘Report of the Independent International Fact-Finding Mission on Myanmar’ yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Rohingya terutamanya di Rakhine. Sekitar Mei 2015, negara dikejutkan pula dengan penemuan 139 buah kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di Wang Kelian, Perlis. Ia kemudiannya membawa pula kepada laporan berita berkenaan aktiviti pemerdagangan manusia khususnya melibatkan etnik Rohingya yang tidak berdosa.

Kerajaan Malaysia perlu lebih bertegas untuk membantu etnik Rohingya

Justeru, Kerajaan Malaysia perlu bertegas dalam menangani krisis kemanusiaan etnik Rohingya termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya komuniti Asean untuk mengenakan tekanan diplomatik dan ekonomi ke atas Myanmar. Apatah lagi, Malaysia sendiri yang menyokong kemasukan Myanmar atau Burma sebagai anggota ASEAN pada 23 Julai 1997.

Kita tidak boleh melakukan solidariti terpilih dan bermusim sahaja. Jika selebriti seperti Angelina Jolie yang bukan Muslim pun boleh memperjuangkan isu Rohingya dengan berani, kenapa tidak kita? Semua rakyat Malaysia yang waras mesti terlibat dalam kempen membantu komuniti Rohingya supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan mereka, yang juga dikenali sebagai ‘rakyat Palestin di Asia Tenggara’ dan ‘manusia perahu’.

Perjuangan kita bukan untuk menentang agama Buddha, mahupun etnik Rakhine. Tetapi, menentang penghapusan etnik melalui kezaliman dan keganasan terhadap etnik Rohingya. Manusia yang normal dan rasional akan menolak sebarang kezaliman seperti ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Solidariti buat Rohingya!

“Selamat malam Rohingya
Meski lena mu di sisi mayat
Jangan menangis sahabat
Ini Tuhan mengujimu
Selamat malam Rohingya
Dunia sedang tidur lena
Kami doakan untuk mu
Sejahteralah selalu…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top