PAS puji Menteri PAS sebab kata kes Adib masih dalam siasatan, tapi benda ni dah diketahui

F1

Kes kematian Adib merupakan di antara kematian yang dapat liputan meluas, kami pun pernah tulis artikel tentang kes ni. Kami selalu gesa untuk kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan, sebab kalau kita semua nak bawak kepala sendiri, sampai bila-bila kes ni tak akan selesai. Apa yang menyedihkan dalam kes kematian kontroversi seperti ini, ia selalu digunakan sebagai modal politik, terutamanya memperlihatkan tragedi melibatkan dua kaum yang berbeza.

Di Malaysia, cukup mudah untuk mempengaruhi undi rakyat. Kebanyakan rakyat kita pada hari ini masih termakan dengan propaganda dan kempen perkauman ahli politik. Selagi mentaliti seperti ini tak dibuang, selagi itulah kita akan dimanipulasi oleh ahli politik. Namun, ia tak bermaksud kematian Adib ni tak perlu dibela, ia harus disiasat secara rapi dan penjenayah-penjenayah yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

Perkembangan terkini kes Adib, polis masih dalam fasa untuk lengkapkan siasatan

Beberapa hari lepas, Peguam Negara dikatakan masih tunggu laporan siasatan daripada pihak polis berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk tindakan susulan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan kata, sehingga hari ini – proses siasatan lanjut masih berjalan.

“Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali. Justeru, pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes berkenaan sebelum Peguam Negara mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan. Untuk kes jenayah, kita tidak memberikan tempoh tertentu untuk mendapatkan hasil laporan berkenaan,” – Takiyuddin, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro

659932
Ketua Polis Negara konsisten jugak kata akan siasat siapa dalang disebalik pembunuhan Adib. Via MalaysiaKini

Sebelum ni, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia selepas cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November 2018, harap kematian anaknya dapat pembelaan sewajarnya. Mohd Kassim Abdul Hamid nak lihat pelaku yang bunuh anaknya ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Apa yang dikatakan Peguam Negara ni, sama je dengan apa yang dah diperkatakan oleh Tommy Thomas dulu

Pada zaman Pakatan Harapan (September 2019), Jabatan Peguam Negara pernah bagi jaminan akan berusaha sedaya upaya untuk meneliti dan teruskan prosedur undang-undang berhubung kes kematian Adib Mohd secara profesional selepas menerima kertas siasatan.

659932
Tommy Thomas. Via The Edge Market

Tommy Thomas yang ketika itu jadi Peguam Negara kata masih ada banyak spekulasi dan maklumat yang salah dibangkitkan berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner, Rofiah Mohamad, pada penghujung inkues yang dijalankan ke atas kematian Adib. Selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh pihak polis, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

“Pada peringkat itu tugas jabatan ini (Jabatan Peguam Negara) bermula. Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis, dan mendakwa individu-individu yang terlibat. Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang. Jabatan ini akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan diserahkan kepada jabatan ini,” – Tommy Thomas, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Ohhhh, macam tu rupanya. Via Giphy

Thomas turut kata Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador dah berikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat. Oleh sebab tu pihak polis perlu diberikan masa dan ruang untuk jalankan siasatan mereka. Pihak polis ada sumber dan kepakaran untuk jalankan tugas-tugas diorang di bawah undang-undang.

PAS puji Menteri PAS sebab cakap benda yang dah diperkatakan dari dulu lagi

Menarik, dalam masa yang sama PAS menyambut baik komitmen kerajaan untuk meneruskan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad kata, komitmen tu sebenarnya melegakan rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan kes tu.

659932
Kamaruzaman Mohamad. Via Sinar Harian

“Kita menyambut baik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap kes kematian Allahyarham Adib,” – Kamaruzaman Mohamad, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Dia kata, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara, inkues terhadap Allahyarham Adib jadi tanda tanya dan diragui. Sehubungan tu, Pas berpuas hati dengan keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rafidah Mohamad yang putuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah individu tidak dikenali. Kami rasa brother ni tengah mabuk kot, sebab keputusan inkues tu dikeluarkan semasa PH masih lagi jadi kerajaan.

659932
Via MalaysiaKini

PAS yakin PDRM, Peguam Negara dan kerajaan Perikatan Nasional akan ambil tindakan seadilnya terhadap kes tersebut dengan mencari dan menghukum mereka yang terlibat. Mentang-mentanglah Takiyuddin Hassan tu adalah menteri yang bertanggungjawab dengan undang-undang diorang boleh main saling memuji pulak. Benda ni lebih kurang macam sesetengah menteri Pakatan Harapan dulu, diorang suka kerap melawat di antara satu sama lain, lepas tu buat hantaran kat sosial media – seperti ia satu pencapaian besar.

Bukan semua benda perlu dipolitikkan, berkenaan kes jenayah, kita perlu serahkan kepada polis dan Peguam Negara

Sebagai ahli politik, selain daripada ada tanggungjawab untuk menaikkan “nama” atau “parti politik”, ada tanggungjawab besar yang perlu dipukul; iaitu menjadi ahli politik yang tak sengaja tiup api perkauman atau agama yang ada di Malaysia. Disebabkan nak mengkritik pihak lawan, selalunya sentimen perkauman seperti ini akan digunakan bagi mengaburi fakta sebenar – polis sedangkan lakukan siasatan, dan siasatan polis diperlukan oleh Peguam Negara untuk dakwa pesalah.

Dalam situasi ni cukup jelas, PAS bersikap tak adil. Sepatutnya PAS berikan kredit kepada kedua-dua kerajaan atau Peguam Negara – mereka beri jaminan setelah siasatan polis selesai, mereka akan teruskan pendakwaan. Cuma yalah, dalam politik memang macam tu; kalau geng kita buat, semua boleh. Kalau lawan kita pulak yang buat, semua salah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *