Sepanjang bulan Ramadan ni, mesti kita akan menghadapi pelbagai masalah dan cabaran kan? Ada yang sampai sakit teruk dan akhirnya tak boleh berpuasa. Hari tu kami ada beri tips untuk hadapi bulan Ramadan, tapi ramai kata takde hal, puasa tu benda senang. Tapi alih-alih ada orang yang pengsan. Oleh sebab tu kali ni kami nak beritahu kat korang beberapa cabaran puasa yang mungkin boleh terjadi kat diri korang sendiri.
1. Masalah dehidrasi sebab tak boleh minum air time puasa
Dengan hari puasa yang sangat panjang, penghidratan adalah sangat penting kerana air adalah penting untuk mengekalkan fungsi tubuh kita. Dehidrasi dalam bahasa mudahnya adalah tentang kehilangan ataupun kekurangan air dari tubuh kita. Untuk pengetahuan korang semua, lebih 70% dari komponen tubuh kita adalah air. Oleh itu, kehilangan air dalam tubuh badan akan merencatkan sistem komponen tubuh kita dari berfungsi dengan lancar.
Umpama sebuah kereta yang tidak dijaga dengan baik maka akan sering berlakunya kerosakan dan begitulah juga dengan tubuh badan kita. Sakit kepala dan sembelit adalah merupakan antara gejala dehidrasi. Oleh itu, sangat penting untuk mengekalkan penghidratan yang baik untuk mengelakkan kompilasi tersebut di samping meminum air yang cukup kira-kira antara 6-8 gelas sehari. Jadi lepas ni korang jangan malas nak minum air yang banyak ketika bersahur tau.
2. Letih dan susah nak tumpukan perhatian, selalunya kalau tengah kerja
Korang pernah tak rasa sangat letih dan kurang tumpuan semasa berada di bulan Ramadan? Benda ni biasa terjadi kepada orang yang bekerja dan juga para pelajar. Maklumlah bila dah penat bekerja seharian dan memerah otak, pasti badan akan menampung segala beban yang berat dan inilah yang mengakibatkan terjadinya keletihan dan masalah kurang tumpuan.
Masalah hilang fokus ni pada kebiasaannya berlaku disebabkan faktor yang membabitkan fizikal, mental dan emosi diri seseorang. Mungkin tak tahan sebab berpuasa dalam cuaca yang sangat panas kan? So kami cadangkan agar korang tak terlalu push diri bekerja agar badan kita semua mendapat rehat yang secukupnya. Barulah kita dapat bekerja dengan penuh bertenaga dan efektif. Betul tak?
3. Masalah penghadaman yang menganggu mood
Asid perut adalah sangat penting untuk pencernaan yang sihat. Pemecahan dan penyerapan nutrien berlaku pada kadar keasidan dalam perut berada pada tahap optimum. Refluks asid adalah keadaan yang mana pada kebiasaannya akan mempunyai rasa sakit yang membakar ataupun lebih dikenali sebagai sakit ulu hati, pencernaan asid atau pyrosis. Hal ini berlaku apabila beberapa kandungan dalam tubuh terutamanya pada bahagian perut penuh dengan asid dan makanan yang tidak dihadam dengan baik yang mana sehinggakan boleh menyebabkan berlakunya masalah pedih ulu hati.
Menurut American College of Gastroenterology, terdapat lebih daripada 60 juta warga Amerika yang mengalami masalah penghadaman dan pedih ulu hati sekurang-kurangnya sekali sebulan. Masalah ini sering terjadi di bulan Ramadan akibat daripada ramai yang tidak menghadam makanan mereka dengan baik serta makan secara tergopoh-gapah apabila masa berbuka puasa saja tiba. Hah, lepas ni korang nak makan laju-laju lagi tak?
4. Berpuasa boleh menambahkan berat badan…
Ketibaan bulan Ramadan pasti sangat dinanti kerana pada masa inilah kebiasaannya ramai orang akan memasang azam untuk jadi kurus tapi tak kurus-kurus pun. Pertambahan berat badan adalah sesuatu yang sangat kompleks dan dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah apabila kita tidak merancang dengan betul apa juadah berbuka puasa yang berkhasiat dan seimbang untuk tubuh badan kita selepas sehari suntuk berpuasa.
Ramai orang pada kebiasaannya akan berbuka puasa dengan mengambil makanan yang mempunyai kadar protein yang tinggi dan tidak sihat. Selain tu, pengambilan gula yang tinggi juga merupakan antara faktor yang terkuat yang mengakibatkan pertambahan berat badan seseorang itu walaupun berada di bulan Ramadan.
5. Kalau tadi boleh jadi gemuk, kadang-kadang boleh hilang berat badan
Perkara ni mesti semua pernah lalui. Kenyang awal adalah merupakan perkara yang sangat biasa berlaku lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Ianya adalah apabila kita merasa kenyang selepas beberapa gigitan makanan ataupun sebelum anda makan makanan yang “normal”.
Hal ini boleh menyebabkan pengambilan tenaga dan nutrien tidak mencukupi. Selain itu, hal ini juga boleh menghalang pengambilan protein , zat besi, dan vitamin B12 yang mana boleh menjejaskan tahap tenaga dan berat badan seseorang. Lepas ni korang boleh lah cuba untuk elakkan karbohidrat mudah dan makanan bergula sebab boleh menyebabkan korang kenyang awal tetapi menjadi kelaparan secara tiba-tiba selepas itu.
Ramadan patutnya jadi bulan yang menyihatkan
Bulan Ramadan sepatutnya jadi bulan untuk korang jadi lebih sihat gitu. Kalau korang dapati terkena masalah-masalah yang kami dah beritahu kat atas, cepat-cepatlah berjumpa dengan pakar. Sekali lagi, kami ucapkan selamat berpuasa, terutamanya kepada pembaca setia kami yang habiskan masa baca artikel sementara menunggu berbuka…