Jumlah Harimau Malaya makin merosot, orang tempatan bantu pemburu haram

Malaysia Tiger Harimau Wikipedia

Harimau merupakan haiwan yang amat sinonim dengan Malaysia, bahkan kebanyakan pasukan sukan negara kita dikaitkan dengan Harimau. Contohnya pasukan bola sepak kita digelar Harimau Malaya. Seperti haiwan-haiwan lain yang jadi mangsa pemburuan haram, haiwan ni lama-kelamaan semakin diancam kepupusan. Cuba bayangkan apa terjadi kalau satu hari nanti Harimau akan pupus kat Malaysia? Takkanlah kita nak Harimau tu ada pada nama je, tapi hakikatnya ia dah pupus kat Malaysia…

Cuma tinggal 23 ekor Harimau Malaya kat Hutan Simpan Temenggor…

Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) anggarkan hanya ada 23 ekor Harimau Malaya yang mendiami Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di Ipoh. Pengurus Besarnya Mohamed Shah Redza Hussein kata bilangan tu berkurangan sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu lebih 60 ekor yang pernah direkodkan pada tujuh tahun lepas.

Via MalaysiaKini

Dia kata ancaman utama yang sebabkan populasi harimau tu berkurangan adalah berpunca daripada pemburuan haram yang dipercayai dilakukan oleh kebanyakan rakyat negara luar khususnya dari Vietnam, Laos dan Kemboja.

“Kalau kita tidak ambil tindakan dari sekarang, sudah pasti dalam masa dua atau tiga tahun daripada sekarang, kita akan hanya ada kurang 10 ekor. Populasi ini tidak mencukupi untuk membuat pembiakan harimau. Sekiranya perkara ini terjadi, bermakna dalam masa enam atau tujuh tahun akan datang kita akan hilang atau pupus Harimau Malaya terutama di Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor,” – Mohamed Shah Redza Hussein, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini

Mohamed kata dia turut akui kegiatan tak bermoral tu turut berlaku secara terancang disebabkan ia didalangi oleh orang tempatan. Pemburu haram luar ni dapat bantuan daripada orang tempatan. Mereka (orang tempatan) ni sediakan perkhidmatan logistik dan makanan disebabkan pemburu-pemburu ini terpaksa duduk lama dalam hutan untuk melakukan pemburuan. So tak boleh nak salahkan orang luar je semata-mata, orang kita pun tumpang sekaki nak hapuskan Harimau.

Dia kata bagi tangani pemburuan haram, pihaknya bersama Jabatan Perhilitan Negeri Perak sedang giat lakukan langkah pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh di hutan dengan menambah anggota rondaan daripada 16 orang tahun lalu kepada 32 orang untuk tahun ini.

Antara produk Harimau Malaya yang diburu secara haram. Via Giphy

Mengulas mengenai sambutan Hari Harimau Sedunia yang berlangsung, dia kata ia merupakan program penting dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai Harimau Malaya sebagai salah satu khazanah negara. Sambutan itu turut dimeriahkan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Kecil Besar Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Puteri Sultan Perak Raja Nazira Safya selain kehadiran selebriti tempatan Maya Karin.

Kita sasarkan untuk tambah lagi 500 ekor Harimau Malaya menjelang lima tahun akan datang…

Penemuan empat ekor anak harimau kat sekitar Taman Negara baru-baru ni beri harapan terhadap usaha kerajaan untuk memulihara spesies haiwan liar terancam tu. Dr Siti Hasmah yang juga isteri Perdana Menteri minta semua rakyat Malaysia supaya bekerjasama untuk jayakan program pemuliharaan hidupan liar yang hampir pupus tu.

“Penemuan anak harimau (liar itu) adalah harapan baru untuk kerajaan teruskan usaha memelihara Harimau Malaya daripada pupus. Harimau Malaya perlu dilindungi daripada kepupusan kerana haiwan itu terdapat di dalam lambang negara untuk melambangkan kekuatan,” – Dr Siti Hasmah, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini

Via BH

Siti Hasmah letakkan sasaran penambahan populasi Harimau Malaya meningkat menjadi 500 ekor dalam masa lima tahun akan datang. Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada 2016 hingga 2018, spesies Harimau Malaya diancam kepupusan dalam masa sepuluh tahun lagi.

Populasi haiwan tu kat habitat liarnya kini berada pada tahap membimbangkan dengan kurang 200 ekor sahaja yang dikesan. Selain tu, Dr Xaxier, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli kata kementeriannya sedang membangunkan Pusat Perlindungan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Lanchang, Pahang seluas 80 hektar bagi tujuan penyelidikan dan pemuliharaan semula Harimau Malaya sebelum dilepaskan ke hutan-hutan terpilih.

Via Utusan

“NTCC akan menyokong program pembiakan Harimau Malaya dalam kurungan sebelum dilepaskan ke habitat asal. NTCC dijangka siap pada penghujung tahun 2019,” – Dr Xaxier, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini

Tambahnya, Jabatan Perhilitan telah laksanakan operasi penguatkuasaan khas yang dinamakan Ops Belang melibatkan operasi kawalan dan rondaan penguatkuasaan sepenuh masa yang melibatkan seramai 200 orang anggota Jabatan Perhilitan di 20 kawasan habitat utama Harimau Malaya. Sambutan Hari Harimau Sedunia bermula sejak tahun 2010 sebagaimana dipersetujui oleh 13 pemimpin ‘Negara Dalam Kawasan Harimau’ yang menghadiri sidang Global Tiger Summit di St Petersburg, Rusia pada Oktober 2010.

Via Giphy

Bagi yang tak tahu, Harimau Malaya merupakan salah satu daripada enam spesies harimau yang masih belum pupus di habitat semula jadi. Selain itu terdapat lima lagi spesies iaitu Harimau Siberia, Harimau Bengal, Harimau Indo-China, Harimau China Selatan dan Harimau Sumatera yang kini cuma tinggal 3,300 ekor sahaja yang hidup liar.

Harimau Bali, Harimau Jawa dan Harimau Caspian telah pupus sepenuhnya akibat aktiviti pemburuan dan perdagangan haram.

Kita harus menyokong usaha untuk pastikan Harimau Malaya tak pupus…

Alam yang kita ada hari ni sebenarnya kita tengah pinjam daripada generasi akan datang. Diorang layak untuk menikmati dan melihat haiwan-haiwan yang ada pada hari ni. Jangan disebabkan ketamakan kita untuk dapatkan keuntungan, kita bersubahat dengan orang-orang yang tak bertanggungjawab memusnahkan alam. Kalau korang nampak ada usaha untuk membantu haiwan-haiwan yang terancam kepupusan, apa lagi, korang kena sokonglah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *