Selamat jalan Iman, kini tiada lagi badak sumbu Sumatera di Malaysia…

S1

Selepas alami penderitaan penyakit kronik sejak lima tahun lalu, badak sumbu Sumatera terakhir, Iman dilaporkan mati pada jam 5.35 petang semalam. Berita kematian tu disahkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan medianya.

Dia kata, Iman sebelum ni disahkan menderita akibat masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan yang dikesan sejak bulan Mac 2014.

“Meskipun mengetahui (kematian) ini akan terjadi dengan cepat atau lambat, kita amat sedih dengan berita pemergiannya,” – Christina Liew, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Kematian Iman sebenarnya dah dijangkakan, sebab penyakitnya…

Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah kata, pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan Iman sebelum ini. Ia termasuklah menyediakan jagaan terbaik di Borneo Rhino Sanctuary, Lahad Datu, sebelum badak sumbu tu dilaporkan menderita penyakit kanser di bahagian uterus.

Untuk rekod, badak betina tu merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia selepas pasangannya yang dikenali sebagai Tam mati pada 27 Mei lalu, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman.

Sementara tu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya sudah menjangkakan kematian Iman memandangkan badak tersebut dikesan kesakitannya akibat kanser yang semakin merebak sejak kebelakangan ini.

“Ia dikesan menderita kerana kesakitan apabila kanser tersebut merebak ke bahagian pundi kencingnya. Pihak vertinari telah mencadangkan semalam supaya menggunakan morfin untuk mengurangkan kesakitannya apabila ubat penahan sakit dilihat tidak berkesan lagi,” – Augustine Tuuga, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Badak Sumbu Sumatera sudah tidak dijumpai…

Satu perkara lebih menyedihkan: populasi Badak Kerbau atau Badak Sumbu Sumatera (Dicerorhinus Sumatrensis) liar didapati tidak lagi dikesan di Sabah sejak 2015, berdasarkan kajian dijalankan di Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu. Selalu ditemui di kawasan berpaya dan hutan hujan, badak ini menjadi rebutan pemburu yang inginkan tanduknya. Dengan berat dalam lingkungan 500-800 kilogram, Badak Sumbu Sumatera yang berbulu halus merupakan yang paling kecil dalam keluarga badak.

Badak Sumbu. Via Astro Awani

Punca utama bilangan haiwan itu makin berkurangan ialah dibunuh oleh pemburu-pemburu haram yang mahu mendapatkan tanduknya. Walaupun tidak ada kajian saintifik yang menyokong dakwaan itu, namun badak-badak sumbu di seluruh dunia terus diburu dan dibunuh walaupun ada negara yang mengenakan hukuman cukup berat terhadap pemburu haram.

Aktiviti pemburuan haram itu antara lain didorong permintaan tinggi sumbu badak dalam perubatan tradisional Cina, selain dijadikan pemegang senjata di Yaman. Pada pertengahan kurun ke-20, populasinya berkurangan secara drastik disebabkan kehilangan habitat akibat penebangan hutan untuk pembalakan dan pertanian.

Ketika sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew berkata kementeriannya melalui Jabatan Hidupan Liar telah menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Borneo Rhino Alliance dan Tabung Alam Dunia (WWF) Malaysia. Menurutnya, kajian ini bermula sejak 1978 semasa ‘Faunal Survey of Sabah’ dimulakan dan masih dijalankan sehingga sekarang. Bagaimanapun, kajian tersebut tidak menemui kesan kaki dan merakam gambar badak sumbu Sumatera. Ini bermakna kawasan itu tidak lagi mempunyai populasi badak sumbu Sumatera.

https://www.youtube.com/watch?v=auw30E7QSkM

Beliau menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) yang bertanya laporan penemuan tapak kaki Badak Sumbu Sumatera selepas 2016 dan langkah yang dapat dilakukan untuk mengembalikan semula habitat hidupan liar itu. Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata berdasarkan kajian itu, Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin masih lagi sesuai sebagai habitat Badak Sumbu Sumatera.

Hari ini, badak sumbu sudah tidak dijumpai lagi dalam habitat semula jadi di Malaysia. Badak sumbu liar boleh dikatakan telah pun pupus. Usaha pembiakan dalam kurungan yang dimulakan sejak tahun 1980-an tidak berjaya dan semua badak yang pernah ditangkap untuk tujuan ini sudah pun mati. Hanya dua ekor badak yang masih hidup dan dijaga di dalam kurungan di negeri Sabah, seekor jantan dan seekor betina.

Usaha untuk mengatasi masalah ni dah berjalan sejak 1980-an lagi…

Sebenarnya, program pemuliharaan badak sumbu di Sabah telah berjalan sejak tahun 1980-an dan melibatkan banyak pihak terutama sekali Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan. Antara pertubuhan yang pernah terlibat dalam usaha penyelidikkan selain beberapa institusi pengajian tinggi awam adalah WWF Malaysia, SOS Rhino dan terakhir, Borneo Rhino Alliance (Bora).

Semenjak tahun 2009, lebih 30 pertubuhan telah bersama-sama membangunkan dana untuk program pemuliharaan badak di Sabah dan dana terbesar dibekalkan oleh Yayasan Sime Darby. Program tersebut diteruskan menggunakan dana daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah program pemuliharaan haiwan terancam di Sabah.

Via BebasNews

Terdapat lima spesies badak di dunia dengan tiga daripadanya badak Asia iaitu Badak Sumatera, Badak Sumbu Raya atau Badak Jawa (Rhinoceros Sondaicus), dan Badak Sumbu India (Rhinoceros Unicornis). Dua lagi spesies badak adalah badak Afrika iaitu Badak Sumbu Hitam (Diceros bicornis) Badak Sumbu Putih (Ceratotherium simum). Badak Sumatera diisytiharkan pupus di negara ini sejak 2015 kerana tidak lagi dijumpai di habitat liar, manakala Badak Jawa kini hanya terdapat di bahagian barat pulau Jawa, Indonesia.

Pada Mac 2018, Sudan, 45, satu-satunya Badak Sumbu Putih Utara jantan yang masih wujud di dunia, mati di Pusat Konservasi Ol Pajeta di utara Laikipia County, Kenya. Ia berdepan masalah kesihatan yang serius berkaitan usia sehingga membawa kepada perubahan degeneratif pada otot dan tulang selain mengalami luka besar di kulitnya.

Via Tenor

Terdahulu, pada 14 Julai 2018, lapan ekor Badak Sumbu Hitam mati di Kenya ketika dalam proses pemindahan yang dikendalikan oleh perkhidmatan hidupan liar negara tersebut. Badak-badak itu yang merupakan antara spesies paling terancam, mati di Taman Nasional Tsavo East. Siasatan awal oleh Wildlife Service (KWS) menunjukkan kesemua badak sumbu hitam itu mati akibat keracunan garam setelah meminum air di habitat baharu.

Sebelum ni Badak Sumbu Sumatera tinggal dua je, sekarang dah takde…

Sebelum kematian Tam dan Iman, di Malaysia, hanya dua Badak Sumbu Sumatera direkodkan masih hidup dan ditempatkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah, iaitu Tam dan Iman. ‘Tam’ atau ‘Kertam’ (badak jantan) ditangkap pada 2008, manakala ‘Iman’ (badak betina) ditangkap pada 2014.

Seekor lagi badak sumbu betina, ‘Puntung’ yang ditangkap pada 2011, terpaksa diberikan suntikan euthanasia (ubat untuk mempercepatkan proses kematian) pada 4 Jun 2017 selepas menderita barah sel skuamus atau barah kanser kulit yang serius.

Puntung yang ketika itu berusia 25 tahun, ditangkap pada tahun 2011 pernah cuba dibiakkan dengan seekor lagi badak jantan dinamakan Tam, namun gagal disebabkan masalah dalam sistem pembiakannya.

Via Mehmet Blog

Tam yang sudah berusia 30-an ialah badak sumbu jantan yang terakhir di Malaysia. Macam yang kami dah kata, Iman pula hidap penyakit pada bahagian rahim (tumor rahim leiomyoma). Badak Sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat kira-kira 35 tahun. Iman adalah badak sumbu betina yang terakhir di negara ini dan ditangkap di Lembah Danum sebelum dihantar ke Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu pada Mac 2014.

Selain Badak Sumatera, sebenarnya ada beberapa lagi spesis unik tetapi terancam di hutan Malaysia. Antaranya adalah Harimau Malaya, Black Shrew (tikus hitam), Tapir Malayan (spesis tapir terbesar), Kancil dan Orang Utan. Sekiranya kita tidak mengambil serius terhadap usaha pemeliharaan serta pemuliharaan flora dan fauna, pasti kita akan kehilangan lebih banyak spesis yang semakin terancam. Usaha untuk menukar laluan ECRL sehingga dapat menyelamatkan Permatang Kuarza Gombak adalah sangat wajar untuk kita hargai.

Sedih. Via Giphy

Namun, lebih daripada itu, usaha serius untuk menyelamatkan hutan serta alam sekitar kita perlulah lebih dipergiatkan. Dan, ia perlu bermula sekarang, tanpa perlu bertapi-tapi lagi. Kalau panda yang diimport boleh kita jaga dan santuni dengan kos yang sangat tinggi, peruntukan yang sama juga seharusnya dikeluarkan untuk menyelamatkan haiwan tempatan lain yang diancam kepupusan. Jam terus berdetik, dan masa semakin suntuk. Pilihan ada di tangan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *