Tak dapat melancong keluar negara kerana Covid-19? Datanglah ke Sabah

F1

Umum mengetahui bahawa negeri Sabah merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan tempat perlancongan yang menarik dan mempunyai kepelbagaian daya tarikan yang tersendiri. Kalau korang nak tahu, selain Gunung Kinabalu sebenarnya terdapat banyak tempat lain yang boleh korang pergi untuk melihat keindahan alam yang terdapat di Sabah ni. Kali ini kami akan kongsikan kepada korang tentang lima tempat menarik yang ada di Sabah yang mungkin selama ni korang tak pernah tahu tentang kewujudannya.

1. Taman Laut Tunku Abdul Rahman, pulau yang terasing menjadi lima bahagian

Jutaan tahun dahulu telah berlakunya satu fenomena alam yang mana ais telah pun menjadi cair sehingga mengubah paras laut dan telah memberikan kesan kepada kawasan daratan yang telah mengakibatkan ianya terbahagi kepada beberapa buah pulau yang terasing yang kini diberi nama sebagai Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. Kesemua pulau ini adalah merupakan pulau yang mana telah membentuk Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Tunku Abdul Rahman National Park Image
Via scubahive.com

Kalau korang nak tahu, daripada kelima-lima pulau tersebut sebenarnya hanya empat pula sahaja yang sering menjadi tumpuan dan tarikan kepada para pelancong yang datang ingin bercuti; iaitu Pulau Gaya, Sapi, Manukan dan Mamutik. Antara aktiviti menarik yang korang boleh lakukan kat sini adalah seperti “berisland hopping”, snorkeling, sea walking, menyelam skuba, berkelah dan banyak lagi.

Bagi korang yang meminati keindahan alam, ini adalah antara tempat yang wajib ada dalam senarai tempat yang korang nak pergi. Kalau korang nak ke pulau ni, korang boleh mendapatkan perkhidmatan bot daripada Jesselton Point yang mana ianya terletak di bandar Kota Kinabalu. Tapi sebelum korang nak ke sana, kami nasihatkan agar korang membawa bekalan makanan yang cukup kerana makanan kat sana agak mahal sedikit tau.

2. Peti surat dalam laut, antara tarikan di Pulau Mataking. Boleh hantar surat kepada yang tersayang

Sekitar 40 minit dari Semporna, terletaknya sebuah pulau yang sangat menarik dan cukup sempurna keindahannya yang diberi nama sebagai Pulau Mataking. Pulau Mataking ini terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Mataking Besar dan Pulau Mataking Kecil. Pembahagian antara dua pulau ini terjadi kerana jujuran pasir pantai yang kecil dan hanya akan tenggelam di saat air laut sedang pasang.

Jika korang tidak bercadang untuk melakukan aktiviti seperti menyelam skuba atau membasahkan badan di lautan, korang boleh melakukan aktiviti lain yang tidak kurang juga banyaknya seperti aktiviti mencanting batik, mendapatkan rawatan spa di Jamu Spa, berkanu, junggle trekking atau singgah ke Pulau Mataking Kecil yang hanya mengambil masa dalam 20 minit sahaja berjalan kaki daripada Pulau Mataking Besar.

Selain daripada keindahan flora dan fauna, apa yang menarik di sini ialah jika korang hendak menghubungi orang yang tersayang semasa bercuti, korang bolehlah menggunakan pejabat pos dalam air di Mataking ni. Ya, korang boleh tinggalkan surat yang telah diletakkan dalam beg vakum ke dalam mailbox yang disediakan di kapal kargo yang telah ditenggelamkan ke dasar lautan. Unik bukan?

3. Bagi mereka yang meminati sejarah, Agnes Keith House adalah tempat yang wajib korang pergi

Agnes Keith House yang terletak di atas bukit sepanjang Jalan Istana dan hanya mempunyai jarak 1KM daripada pekan Sandakan adalah sebuah rumah yang telah diubah suai menjadi sebuah Muzium yang diberi nama Agnes Keith House. Korang mesti tertanya-tanya siapa sebenarnya Agnes Keith ni kan? Agnes Keith ni sebenarnya seorang penulis yang terkenal semasa zaman Perang Dunia Kedua.

Agnes Keith House
Via Agnes Keith House

Salah satu buku yang pernah dihasilkan oleh Agnes Keith ialah “Land Below the Wind” pada tahun 1939 yang mana bukan sahaja telah menjadikan dirinya terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa malah ianya juga telah membuka mata ramai pihak tentang negeri Sabah. Jika korang seorang yang meminati sejarah ataupun barangan antik zaman dahulu, korang bolehlah menjadikan Agnes Keith House sebagai salah satu destinasi percutian yang korang wajib pergi kerana di dalam Agnes Keith House ini korang akan dapat melihat pelbagai barangan antik zaman dahulu seperti mesin taip, pen, buku, barangan hiasan, dan perabot.

Selain itu, korang juga berpeluang untuk melihat banyak gambar lama berkaitan dengan keluarga Agnes bermula daripada tahun 1873 sehinggalah tahun 2004 (generasi Keith terkini) berserta dengan beberapa artifak perang yang turut dipamerkan di dalam rumah ini.

4. Taman Bukit Tawau, tempat paling sesuai menikmati keindahan flora dan fauna

Taman Bukit Tawau adalah merupakan salah sebuah tarikan alam semula jadi yang terdiri daripada lima buah sungai utama iaitu Sungai Tawau, Sungai Merotai, Sungai Kinabutan, Sungai Mantri dan Sungai Balung. Secara keseluruhannya, taman ini memiliki keluasan mencecah sehingga 27,972 hektar.

Di dalam hutan ni, korang akan dapat melihat pelbagai kekayaan flora yang banyak dan indah. Antara tarikan utama yang terdapat di dalam Taman Bukit Tawau ni adalah pokok hutan tropika yang tertinggi di dunia yang mana mencecah hampir 90 meter, kawasan air terjun yang menarik iaitu Air Terjun Table dan Air Terjun Bukit Gelas, taman botani dan kolam air panas.

Selain kekayaan flora, kekayaan fauna yang terdapat di Taman Bukit Tawau juga sangat menarik dan memukau setiap pelancong yang datang ke sini. Dikatakan, Taman Bukit Tawau memiliki hampir 70 spesis haiwan mamalia, 9 spesis monyet, 54 spesis reptilia dan 108 spesis kupu-kupu. Bagi korang yang meminati aktiviti memerhati burung, kat dalam Taman Bukit Tawau ni direkodkan terdapat sehingga 204 spesis burung yang ada tau. Rugi kalau korang tak pergi terokai sendiri kan?

5. Kawasan Pemulihan Lembah Danum (Danum Valley Conservation Area), kawasan tumpuan produksi antarabangsa

Berkeluasan 440 KM persegi, Kawasan Pemulihan Lembah Danum yang terletak di Lahad Datu adalah merupakan sebuah tarikan yang sering menjadi tumpuan dan perhatian para pelancong asing untuk dijadikan pilihan sebagai rakaman dokumentari antarabangsa. Kalau dah begitu menggoda pada pandangan mata pihak produksi luar negara, mesti banyak khazanah yang menarik tersimpat di dalamnya kan?

Danum Valley Conservation Area
Via Danum Valley Conservation Area

Untuk pengetahuan korang, Lembah Danum merupakan sebuah habitat bagi kebanyakan spesis hidupan liar dan ini termasuklah seperti orang utan, gajah Borneo, monyet Belanda, tupai terbang, ungka dan banyak lagi spesis hidupan liar yang hampir pupus ada kat sini. Apa yang menariknya kat sini, jika korang berada dalam ekspedisi penerokaan hutan ini bersama dengan renjer, korang turut berpeluang untuk melawat tapak pengebumian purba etnik Kadazan-Dusun.

6. Monsopiad Cultural Village, jadikan kepala lanun sebagai hiasan siling rumah

Pada suatu ketika dahulu, terdapat sekumpulan lanun telah datang dan cuba untuk merompak daripada kawasan perkampungan suku kaum Monsopiad. Menyedari akan hal tersebut, ketua kampung suku kaum Monsopiad telah menangkap dan membunuh lanun-lanun tersebut serta menjadikan kepala mereka dijadikan sebagai hiasan pada pagar di sekeliling kampung bagi tujuan menakutkan lanun yang lain.

Monsopiad Cultural Village Sabah
Via Skypod Hostel

Kini, korang boleh melihat segala tengkorak-tengkorak tersebut digantung pada siling rumah panjang di kampung warisan Monsopiad. Selain tengkorak yang sering menjadi daya tarikan pelancong, korang juga berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana budaya kehidupan sebenar masyarakat Monsopiad seperti makanan tradisional mereka, anutan kepercayaan, tarian dan juga pakaian tradisi mereka.

Apa yang paling menariknya, jika korang nak ke Monsopiad Cultural Village ni, korang berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman meniup sumpit yang mana menjadi senjata utama masyarakat Monsopiad dalam menyerang musuh mereka.

Kalau korang seorang kaki travel, rugi kalau tak pernah jejak kat tempat negeri Sabah tau

Sebenarnya, banyak lagi tempat menarik yang korang boleh lawat kat negeri Sabah ni, tapi kami hanya senaraikan beberapa sahaja. Kalau kami senaraikan semua, risau akan jadi buku teks sejarah pulak kan? Tapi, kalau korang jenis kaki travel, kami cadangkan agar korang datang ke negeri Sabah dan terokai sendiri kesemua tempat menarik yang ada kat sana. Mesti korang tak akan menyesal dan akan rasa berbaloi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *