Setelah wujudnya Dual Language Programme, untuk apa kita nak buat PPSMI lagi?

F1
Setelah wujudnya Dual Language Programme, untuk apa kita nak buat PPSMI lagi?

Sejak Dr. Maszlee ‘memulangkan’ semula jawatan Menteri Pendidikan kepada Dr. Mahathir, ramai sebenarnya yang dah mulai risau jika dasar pendidikan berubah lagi. Pada Jun 2019, Dr. Maszlee ketika tu menolak implementasi semula PPSMI dan melihat ia sebagai polisi yang dah lama berlalu. Nampaknya kerisauan tu berasas jugak, apabila Dr. Mahathir kata nak perkenalkan semula PPSMI dalam sistem pendidikan negara awal tahun ni.

Pulak dah… Via Giphy

Reaksi rakyat berbelah bahagi, ada yang sokong kerana potensi…

Bila kita imbau semula, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ni dilaksanakan pada 2003 secara berperingkat iaitu dimulakan dengan pelajar tahun satu, tingkatan satu dan pelajar tingkatan enam rendah serta diperluaskan penggunaannya hinggalah ke seluruh peringkat persekolahan. Masa tu, Dr. Mahathir jugak yang nak PPSMI ni.

Sekarang ni bila dia dah jadi Perdana Menteri untuk kali kedua, lagi-lagi ketika memangku posisi Menteri Pendidikan, idea lama tu muncul kembali setelah ia dimansuhkan secara berperingkat pada 2010. Banyak reaksi telah kami lihat di media sosial, dan boleh disimpulkan bahawa masih ramai yang berbeza pendapat pasal ni. Ada yang sokong, ada jugak yang tolak, dan ada jugak yang tak peduli.

Mana-mana jer lah…Via Giphy

Daripada kelompok yang kami sebut tadi, kami hanya bandingkan dua je iaitu mereka yang sokong penggunaan PPSMI, dan mereka yang tolak PPSMI ni. Antara hujah utama mereka yang sokong PPSMI ni boleh dikatakan mereka yang rasa bahasa Inggeris tu penting bukan setakat untuk kerja, tapi untuk nak betul-betul faham ilmu Sains dan Matematik. Dr. Mahathir kata;

“Ia (Sains dan Matematik) datang dari luar … kebanyakannya datang ke negara ini melalui medium Bahasa Inggeris dan atas sebab itu kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik… Itu bermaksud kita tidak akan mengelirukan rakyat kerana kita mendapati mereka yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan di tempat Bahasa Inggeris digunakan,” – Seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 31 Januari 2020

Est Subjek
Subjek baharu yang diperkenalkan lepas PPSMI dimansuhkan dulu. Via Hot Courses Abroad

Pendapat ni dikongsi jugak oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang bangga dididik di bawah sistem pembelajaran PPSMI. Katanya, pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tu mudahkannya untuk menguasai bahasa Inggeris serta kefahamannya terhadap kedua-dua subjek tu relevan sehingga kini.

Selain tu, Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) turut sokong pelaksanaan PPSMI kerana penggunaan bahasa Inggeris dilihat boleh melonjakkan kadar pelaburan luar dalam bidang sains dan industri-industri inovatif.

“Dengan ini, kita boleh meningkatkan lebih banyak lagi bakat STEM dan mereka kelak boleh menjadi tunjang untuk mengembangkan lagi inovasi, kreativiti dan penyelesaian pelbagai masalah,”- Datin Noor Azimah Abdul Rahim, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 1 Februari 2020.

Pendidikan Stem Di Malaysia
Sampai sekarang, STEM masih lagi jadi keutamaan kita. Via Cikgu Hailimi

Bukan setakat tu je, negeri Sarawak merupakan negeri pertama yang dah pakai semula PPSMI ni dengan tempoh percubaan enam bulan pertama. Menurut Menteri Penyelidikan Sains dan Teknologi Sarawak, Michael Manyin Jawong;

“Ya, kita sudah menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik berkuat kuasa bulan ini… Jadi untuk kami (Sarawak) tiada isu. Saya ragu sama ada dia (Dr Mahathir Mohamad) boleh meyakinkan ibu bapa (negeri lain) seperti yang dia lakukan pada masa lalu”  – Seperti yang dipetik oleh Malaysiakini pada 2 Februari 2020

Ada yang keras tolak, bantah PPSMI untuk lindungi bahasa Melayu…

Wujud juga sebahagian rakyat yang tolak implementasi semula PPSMI ni dari dulu sampai sekarang. Antara alasan yang dikemukakan adalah PPSMI tambah sukarkan para pelajar nak faham dan kuasai subjek Sains dan Matematik kerana kurangnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Tambah lagi, kajian terdahulu membuktikan bahawa PPSMI adalah suatu dasar yang gagal. Kata Prof Datuk Awang Sariyan, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia;

“Kajian DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembina mengesahkan PPSMI gagal sebelum dimansuhkan 2012 dan tidak patut kerajaan sekarang mengulangi semula kesilapan… Penguasaan Bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri. Pelajarilah dari negara lain melaksanakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan mereka sendiri sebagai bahasa penghantar seperti Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun dan Korea,”- Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 12 Mac 2019

Keratan Buku Sains Buku Teks China1
Keratan buku teks Sains yang digunakan di China. Betullah, mereka pun guna bahasa mereka sendiri…Via Quora

Barisan tokoh Sasterawan Negara kita awal-awal lagi dah menolak penggunaan PPSMI ni iaitu sejak 2009. Mereka berpendapat ia menghakis kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu. Malah, penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang terpilih secara automatik akan jauhkan jurang persefahaman antara mereka yang kuasai bahasa Inggeris dan sains, teknologi dengan mereka yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera serta sains sosial.

Kebanyakan penentangan ni datangnya dari golongan intelektual, dan tak ramai pulak yang datang dari ahli kerajaan sendiri. Jika Syed Saddiq sokong PPSMI; Nik Nazmi pula antara ahli kerajaan yang berani bersuara mengkritik tindakan pengenalan semula PPSMI. Dia tegaskan bahawa daripada membangkitkan semula polisi lama tersebut, ada baiknya jika Dual Language Programme (DLP) diperkasakan lagi.

Program DLP lebih sesuai, biar ibu bapa dan sekolah pilih mana yang terbaik…

Mungkin tak ramai yang perasan kewujudan Dual Language Programme (DLP) ni, namun program ni antara program utama yang menekankan kuasa autonomi pentadbiran sekolah. Program Dwibahasa dah diperkenalkan sejak 2016, dan ia berbeza dengan penerapan sistem PPSMI. Pihak sekolah diberi pilihan sama ada nak sertai atau tak, dan ni bergantung pada kesesuaian infrastruktur dan staf guru sedia ada. Tak macam PPSMI, kuasa memilih terletak kat tangan pihak ibu bapa dan sekolah.

Pelajar Sekolah Guru
Via Disted

Memetik penjelasan kat portal rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor;

Pelaksanaan DLP bertujuan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris secara tidak langsung. Dengan pengukuhan dwibahasa seseorang murid, DLP boleh memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses, penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat global serta meningkatkan kebolehpasaran murid di alam pekerjaan

Sejak 2016, mana-mana sekolah yang berminat nak implementasikan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bahasa Inggeris akan disenaraikan terus dalam rekod data terbuka negara. Tu pun untuk beberapa subjek terpilih je seperti Matematik, Sains, Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan. Dengan ni, ibu bapa pun boleh tengok dan pilih sendiri sekolah-sekolah yang tawarkan program tersebut.

Buku Teks Matematik English Dlp
Contoh buku teks Matematik untuk pelajar DLP. Via Shopee

Setakat 2018, lebih dari 1,300 buah sekolah seluruh negara yang dah turut serta dalam program tersebut. Sesebuah sekolah perlu lulus beberapa syarat utama terlebih dahulu jika nak laksanakan program DLP ni. Antaranya adalah;

  1. Sekolah kena ada sumber yang mencukupi dari segi infrastruktur.
  2.  Pengetua/Guru Besar ada perancangan nak buka satu kelas DLP.
  3. Sekolah kena terima sekurang-kurangnya 15 permohonan secara bertulis dari ibu bapa/penjaga.
  4. Peratus pencapaian Tahap Penguasaan Minimum Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan USPR serta gred purata mata pelajaran (GPMP) Bahasa Melayu SPM sekolah kenalah menyamai atau lebih baik dari pencapaian yang ditetapkan oleh KPM.
Dlp Timeline
Pihak KPM menafikan informasi yang dikongsi oleh Cikgu Nurul dalam blog peribadinya. Via PAGE Malaysia

Benda ni pun pada awalnya dapat tentangan dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan, misalnya dari NGO Tamil dan gerakan nasionalis bahasa Melayu, tapi lama-lama dah ramai yang faham bahawa program tersebut tak melibatkan semua sekolah, serta ia memerlukan persetujuan dari pihak ibu bapa sendiri. Kalau tak puas hati, korang boleh lawan kat mahkamah sepertimana yang dah berlaku kat SRJK Vivekanda (T) Petaling Jaya pada 2017.

Apa-apa keputusan, harus dapatkan pandangan para pelaksana dan ibu bapa…

Walaupun hasrat Dr. Mahathir tu dah diketahui umum, kita masih tak begitu pasti sejauh mana seriusnya kerajaan PH nak implementasikan semula PPSMI. Macam kes elaun kritikal dulu yang dah ditunda, rancangan PPSMI 2.0 dikatakan masih belum diputuskan lagi.

Mahathir Ppsmi Malaysiakini
Via MalaysiaKini

Suara para pelaksana, khususnya dari pihak sekolah, guru dan ibu bapa perlu diambil kira untuk memastikan sistem pendidikan tak terlalu ‘terpisah’ dengan realiti sebenar pentadbiran sekolah dan guru. Ibu bapa pun harus mainkan peranan untuk bersama-sama membincangkan isu ni demi kepentingan anak-anak.

Program DLP ni pun kami perhatikan, ada baiknya jugak kerana ia beri peluang untuk pihak sekolah dan ibu bapa memilih apa yang sesuai untuk keadaan sekolah masing-masing. Kerajaan PH mungkin boleh kaji semula bagaimana nak perkasakan DLP ni untuk golongan ibu bapa yang nakkan pendidikan STEM dalam bahasa Inggeris memandangkan ramai masih lagi menolak idea pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top