Mahathir sebagai perdana menteri hanya akan membawa kepada pergaduhan yang sama

F1

Nampaknya perang di media sosial di antara parti-parti yang berada di Pakatan Harapan dah bermula. Kami tengok ada macam-macam hujah dan naratif yang cuba ditampilkan, dan PH kini memiliki dua kem. Kumpulan pertama adalah mereka yang percaya Mahathir perlu diangkat semula sebagai perdana menteri. Kemudian, ada juga individu yang sudah tak percaya Mahathir akan serahkan kuasa kepada Anwar selepas tempoh “6 bulan” yang dah dijanjikan olehnya.

Selalunya kita kata gaduh-gaduh macam ini adalah gaduh-gaduh manja. Cuma, kalau gaduh-gaduh manja ni tak diuruskan dan ditangani dengan baik; ia boleh bertukar menjadi pergaduhan yang serius. Kami tak percaya benda ni akan berlarutan, dan berkemungkinan ia akan berakhir setelah Anwar beri jawapan tentang pendirian PKR berkenaan pelantikan Mahathir. Tanpa PKR, hampir mustahil DAP dan AMANAH akan jadi kerajaan sekali lagi, begitu juga sebaliknya. Diorang saling memerlukan.

Ya gaduh jangan tak gaduh! Via Giphy

Oleh sebab tu, apa jua keputusan yang akan diambil oleh PKR, kedua-dua parti politik (AMANAH dan DAP) sepatutnya akan terima dengan hati yang terbuka. Sukar untuk membayangkan DAP dan AMANAH akan meninggalkan PKR secara total – memandangkan mereka juga mengalami pengalaman yang buruk bersama Mahathir ketika berada dalam PH. Cuma, dalam politik macam-macam benda boleh terjadi.

Memberikan jawatan perdana menteri kepada Mahathir hanya akan membawa kepada pergaduhan yang sama

Semalam Anthony Loke ada cakap, mereka ada cara untuk pastikan Mahathir memberikan kuasa kepada Anwar selepas enam bulan jadi perdana menteri. Kami rasa, elok kita ambil masa seminit dua untuk berhenti seketika, dan ketawakan apa yang dia kata ini. Pemimpin Pakatan Harapan harus sedar, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk meneutralisasikan “aura” dan pengaruh yang ada pada Mahathir. Mereka acah-acah garang je, apabila dah dapat jawatan nanti, diorang akan jadi pemalu.

Mereka enggan belajar dari sejarah. Sebelum PRU14, ada pimpinan PH kata; ini bukan UMNO, Tun Mahathir tak boleh buat apa sahaja yang dia mahu. Setelah mendapat jawatan, semua jadi pemalu. Ayat yang dahulu garang, telah bertukar kepada;

“Kami ikut kebijaksanaan Tun. Beri ruang pada Tun. Kami percaya kepada pengalaman Tun.”

Keadaan ni menunjukkan jika Mahathir mengambil keputusan untuk buat benda yang sama ketika dia jadi PM dahulu, kemungkinan besar pemimpin PH kata yang “ada cara” ni tak akan mampu buat apa-apa. Keadaan ini akan menimbulkan konflik yang sama ketika PH dahulu. Sudah tentu pasukan Anwar akan menuntut perjanjian yang telah dilakukan, dan loyalis Mahathir pula akan mempertahankan Mahathir dan meminta dia diberikan ruang.

Sds
Kombinasi PH ni dah bagus dah. Kalau dulu diorang fokus tunaikan manifesto dan laksanakan pelan transisi kuasa yang teliti, sudah tentu diorang akan jadi kerajaan yang paling disukai ramai. Via Youtube

Akhirnya, akan lahirlah kerajaan yang tak stabil sekali lagi. Keadaan yang tak stabil sering diambil kesempatan oleh mereka yang gilakan kuasa. Biarlah Langkah Sheraton menjadi saksi betapa masalah transisi kuasa yang tak jelas dan perjanjian tanpa pelan susulan yang baik akan membawa bencana. Dengan keadaan pandemik Covid-19 sedang membocorkan tong beras rakyat, memiliki kerajaan yang tak stabil akan mengorbankan ramai pihak.

Skim enam bulan yang ditawarkan oleh Mahathir sedikit meragukan, dan pelik

Kami ada membaca hujah-hujah yang diberikan oleh pasukan menyokong Mahathir sebagai perdana menteri. Salah satu satu daripadanya adalah pasukan Mahathir dan Warisan dikatakan enggan menerima Anwar sebagai perdana menteri. Mengapa Anwar tak nak dipilih oleh Warisan dan pasukan Mahathir masih lagi menjadi tanda tanya. Kalau ikut kenyataan dari Setiausaha Agung PKR – Anwar dikatakan tak diterima kerana Presiden parti politik yang berbilang kaum.

Benda ini membawa kami kepada persoalan – apa yang membezakan Anwar selepas enam bulan (secara teorinya pada waktu ini dia akan diterima Warisan dan pasukan Mahathir) untuk menjadi perdana menteri? Persoalan ni agak menganggu kami. Apa yang tiada Anwar pada hari ini sehingga dia perlu menunggu enam bulan – selepas menunggu selama 22 bulan? Merujuk kepada video yang dikeluarkan oleh Astro Awani – nampaknya Mahathir juga memerlukan masa untuk menyelesaikan “masalah Muhyiddin”.

Satu perkara yang kita perlu terima – bukan Mahathir sahaja yang boleh menyelamatkan Malaysia. Hujah Mahathir dan penyokongnya sering berpaksi pada ayat – Mahathir memerlukan lebih masa untuk menyelamatkan dan memperbaiki Malaysia. Sebenarnya, tanpa menjadi perdana menteri pun, Mahathir boleh melakukan perubahan dengan banyak. Kami yakin je PH akan berikan Mahathir ruang untuk melakukan kritikan dan saranan kepada mereka.

Mengambil contoh situasi politik hari ni; jika Mahathir memujuk pasukannya dan Warisan untuk menerima orang lain selain dari dirinya, kami yakin diorang akan terima je. Lagipun Mahathir telah jadi PM selama 22 bulan di bawah PH, dan kami rasa – apa yang dia nak lakukan untuk memperbaiki Malaysia, telah pun dilakukan.

Untuk bergerak lebih jauh, Pakatan Harapan harus memikirkan situasi jangka masa panjang

Kami di antara orang yang selalu tulis artikel mengkritik kerajaan yang ada pada hari ini kerana diorang main bagi-bagi jawatan macam bagi gula-gula dekat majlis hari lahir. Kami jugak tak setuju kalau ada pemimpin politik yang disiasat kerana mempersoalkan sesuatu yang berkaitan dengan tugasnya sebagai wakil rakyat. Cuma, jika perancangan PH Plus ni cuma berakhir setakat mengambil Putrajaya dari Perikatan Nasional, kami tak rasa ia akan bertahan lama dan stabil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *