Mahu elakkan diri ditipu ketika membeli produk? Amalkan LIMA langkah ini

f1

Setiap hari kita akan melakukan keputusan-keputusan yang penting ketika membeli sesuatu produk atau servis. Ia boleh bermula daripada pembelian yang tak terlalu penting seperti perisa gula-gula apa yang perlu dibeli, sehinggalah perkara sepenting memutuskan produk perlindungan yang ingin diambil bagi melindungi keluarga tersayang. Untuk melakukan keputusan-keputusan yang kami sebutkan ni, ada beberapa elemen penting untuk dipertimbangkan.

728 X 90

Kali ini kami akan bawakan korang beberapa tips yang boleh digunakan untuk menjadikan keputusan yang diambil ketika membeli sesuatu produk atau servis lebih tepat. Mengapa? Kami pasti ada di antara korang yang selalu menyesal dengan sesuatu yang baru sahaja dibeli, kerana tak lakukan pertimbangan yang rapi.

1. Melihat siapa pengeluar produk, untuk memastikan ia adalah produk yang boleh dipercayai

Di antara kesilapan terbesar orang ramai ketika membeli adalah tidak melihat siapa yang telah mengeluarkan produk atau servis yang ditawarkan, lebih-lebih lagi kalau barangan yang nak dibeli itu penting. Contoh paling mudah adalah pembelian telefon bimbit, ramai yang suka main beli je; lebih-lebih lagi kalau ada jualan telefon murah dengan spesifikasi yang gempak, tapi jenamanya korang tak pernah dengar.

rok
Yang mana satu pilihan hati? Via MoneyCompass

Untuk beli telefon bimbit, korang kena lakukan perbandingan. Tentang harga, kualiti dan syarikat yang mengeluarkan telefon. Kami sarankan korang ambik telefon bimbit yang dikeluarkan oleh syarikat terkemuka. Membeli dengan ‘brand’ yang boleh dipercayai, pastinya akan membuatkan korang puas hati. Sebabnya mereka sangat menjaga kualiti dan servis akan lebih mudah didapati.

Ini benda paling asas, sebabnya telefon bimbit dah jadi macam sebahagian daripada diri kita. Sikap seperti ini perlu diteruskan dalam proses membeli barangan-barangan yang lain. Contohnya, kalau korang nak lakukan pembelian produk perlindungan. Korang kena pastikan yang syarikat pembekal produk perlindungan tu adalah syarikat yang kukuh dan telah diperakui kedudukan kewangannya.

Produk perlindungan ni tak boleh main beli je; sebabnya mudah – kalau syarikat tempat korang beli produk perlindungan tu gulung tikar, korang juga akan berkemungkinan tak dapat merasai faedah hasil ‘pelaburan’ korang. Oleh sebab itu kami sarankan korang untuk kaji dengan teliti siapa pembekal produk atau servis yang korang nak beli.

2. Kaedah pemasaran yang betul dan beretika, jangan percaya produk yang mempergunakan agama

Untuk menjual sesuatu produk atau servis, para penjual pastinya akan melakukan pelbagai kempen pemasaran untuk memastikan produk mereka diterima di pasaran. Malangnya, tak semua yang beretika dalam melakukan kempen-kempen pemasaran. Ada di antara mereka yang menggunakan kaedah pemasaran dengan cara memberitahu kelebihan dan manfaat produk/servis yang mereka jual secara berlebihan, bahkan ada yang sampai tahap menipu.

tyt
Pernah lihat? Via Blog Remaja

Kami pernah tulis bagaimana sesetengah penjual sanggup menggunakan agama untuk memastikan produk mereka laris. Selalunya produk yang disaluti agama ini terdedah dengan kelemahan; kalau mereka yakin produk yang dijual adalah produk yang baik dan berkualiti, mereka tak perlu gunakan sentimen agama untuk menarik minat orang ramai.

Keadaan ni pernah disebut sebagai fenomena jual agama; korang kena pastikan korang tak mudah terpedaya dengan kempen-kempen menjual agama. Korang juga kena ingat, kalau produk yang gunakan agama tu tak berkualiti, korang tak boleh salahkan agama, tapi kena salahkan orang yang menjualnya.

3. Kualiti produk melebihi segalanya, kalau kualiti produk tu rendah, apa jua kaedah pemasaran tak akan berguna

Kualiti produk adalah elemen yang paling penting dalam sesuatu produk/servis. Para penjual boleh gunakan apa jua jenis kaedah pemasaran yang ada, kalau kualiti produk tu sendiri yang rendah, memang tak akan berjaya. Ada banyak cara untuk melihat kualiti sesuatu produk yang ada di pasaran, lebih-lebih lagi jika produk itu telah lama wujud.

Kualiti adalah segalanya. Via Giphy

Cuma, untuk mengetahui kualiti sesuatu produk, penting untuk korang tahu secara mendalam apa jenis produk yang korang nak kaji. Kefahaman mendalam terhadap sesuatu produk akan memudahkan korang menguji kualiti produk tu. Yalah, macam mana korang nak kaji sesuatu produk kalau korang sendiri tak tahu secara mendalam apa fungsi produk tu kan?

Korang boleh mulakan dengan melihat pandangan-pandangan pengguna sebelum ini, melihat ‘review’ yang ada di Internet, kemudian mula mencuba produk tersebut. Setelah membeli, korang kena senaraikan kriteria-kriteria penting tentang produk tersebut, sebelum korang mengujinya. Kalau korang dapati produk tu berkualiti, bolehlah korang beli secara berterusan.

4. Melihat keperluan berbanding kehendak, jangan amalkan sikap yang suka membazir

Pengalaman tak dapat menghabiskan makanan yang dibeli merupakan salah satu bukti yang menunjukkan kita selalu membeli barangan melebihi keperluan. Bagi mereka yang beragama Islam, sudah tentu pengalaman membuang makanan ketika bulan Ramadan adalah sesuatu yang perlu dikesali. Setiap kali Ramadan, kadar pembuangan sampah domestik meningkat mendadak; kerana kita suka membazir.

tyt
Contoh pembaziran makanan yang berlaku. Via MYNEWSHUB

Sebelum membeli barangan, korang kena lihat keperluan dahulu. Apabila korang dapat menilai keperluan dengan betul – sudah tentu ia akan memberi kemudahan dalam proses membeli. Wajib diutamakan hal-hal yang penting; dan ketepikan hal-hal yang tak penting. Kalau diberi pilihan untuk memiliki kereta mewah atau membeli produk perlindungan kesihatan/nyawa; korang rasa mana yang lebih penting?

Oleh sebab itu kami nak beri penekanan kepada korang, sentiasa melihat prioriti dalam melakukan pembelian, sudah tentu korang tak akan menyesal!

5. Harga merupakan elemen yang penting, kita harus pastikan pelaburan kita berbaloi

Apabila kita bercakap tentang harga, sebenarnya ia melebih konteks harga murah atau mahal. Apa yang paling penting dalam persoalan harga ni; korang kena pastikan harga yang korang bayar tu setimpal dengan produk/servis yang korang dapat. Apa guna bayar sesuatu servis dengan murah kalau tak dapat digunakan? Sebab itulah ada yang sanggup membayar lebih sedikit, yang penting servis yang ditawarkan cemerlang.

Via Giphy

Kami perhatikan ramai je yang sanggup bayar lebih sedikit, mereka cuma nak apa dijanjikan akan ditunaikan. Dalam menilai harga ni, korang kena selalu buat perbandingan harga dengan elemen-elemen yang kami sebutkan sebelum ini. Selalunya korang akan dapat buat keputusan yang betul setelah melakukan perbandingan harga dengan apa yang korang bakal dapat.

Setiap benda yang kita beli adalah pelaburan, pastikan korang melaburkan wang dengan betul. Contohnya, pada produk perlindungan yang kami selalu sebutkan, kami rasa ada je orang yang tak kisah bayar lebih sikit, janji ketika menghadapi musibah, mereka akan dibantu tanpa banyak songeh.

Akhirnya sebagai pengguna, pilihan terletak di tangan anda. Pastikan anda membuat pilihan yang betul…

Kami boleh je membebel dengan berikan korang beberapa lagi elemen penting dalam proses pembelian, tapi pada akhirnya koranglah yang mempunyai kuasa untuk membeli. Macam yang kami kata awal-awal tadi, matlamat kami tulis artikel ni adalah memastikan korang selalu melakukan pilihan yang tepat dalam membeli. Korang rasa, apa elemen terpenting yang korang akan lihat sebelum membeli apa-apa produk/servis?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *