Tak perlu ambil insurans sebab dah banyak duit? Kenali mitos-mitos insurans

F1
Tak perlu ambil insurans sebab dah banyak duit? Kenali mitos-mitos insurans

Apabila kita bercakap tentang sesuatu yang jarang dibincangkan secara terbuka, kita akan berhadapan dengan pelbagai mitos. Hal ini takdelah terlalu mengejutkan kerana perbincangan dan perbahasan yang terhad akan menjadikan masyarakat kurang pengetahuan terhadap isu-isu tersebut. Sebab itulah kami secara prinsipnya gemar untuk lakukan perbincangan terhadap isu-isu yang jarang dibincangkan.

728 X 90

Sejak akhir-akhir ini kami kerap membincangkan isu berkaitan perlindungan untuk masyarakat Malaysia. Cuma, kami dapati kesedaran dan perbincangan berkaitan isu ini amat kurang; jadi kami pun ajak pembaca ORANGKATA untuk berbincang tentangnya.

1. Insurans hanya akan bazirkan duit, siap yakin hal kecemasan tak akan berlaku

Mitos-mitos perlindungan ni tak sah kalau kami tak tulis satu mitos yang hampir dikongsi oleh seluruh masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama. Membeli produk perlindungan dikatakan membazir wang. Salah satu sebab mengapa orang ramai ‘melarikan diri’ apabila dihubungi oleh wakil jualan ‘perlindungan’ – mereka beranggapan mengambil perlindungan adalah satu pembaziran yang sia-sia.

Bakar duit gitu. Via Giphy

Perkara ini berlaku kerana mereka percaya waktu-waktu yang memerlukan dan mendesak mungkin tak akan timbul dalam hidup mereka. Kalau muncul pun, mereka rasa masih mampu guna duit simpanan. Oleh sebab tu, mereka merasakan membayar premium (kadar bayaran bulanan) khidmat perlindungan adalah satu pembaziran.

Kami dah banyak kali menerangkan persoalan ini; secara ringkas, takde siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Konsep yang kami selalu pakai adalah sediakan payung sebelum hujan. Sebenarnya, kita akan membayar dengan harga yang lebih rendah , jika kita bandingkan dengan kos yang perlu dibayar apabila ‘musibah’ datang.

148897106 2871443169849229 4351604319159238381 O
Malang tidak berbau. Via KLXpress

Dengan pelbagai produk perlindungan yang ada di luar sana, korang boleh kira sendiri berapa kos bulanan yang perlu ditanggung untuk membeli perlindungan dengan kos sebenar yang perlu dibayar ketika tiba-tiba berada dalam kecemasan seperti kemalangan atau kematian. Sudah tentu ia jauh lebih rendah.

2. Disebabkan badan yang sihat, ada yang yakin mereka sukar untuk mendapat penyakit kronik

Mitos badan yang tak akan sakit dan harga perlindungan yang mahal turut popular. Badan yang sihat merupakan satu kurniaan Tuhan yang amat bermakna. Dengan badan sihat kita boleh melakukan pelbagai aktiviti. Keadaan kesihatan yang baik juga selalu memberikan kita keyakinan; sehingga ada yang yakin dia tak akan sakit.

148897106 2871443169849229 4351604319159238381 O
Kos perubatan semakin meningkat naik. Via Berita Harian

Walaupun bunyi ayat ni macam pelik, dari komentar pembaca ORANGKATA, kami dapati kepercayaan seperti ini masih wujud.

Lebih kurang dengan apa yang kami katakan pada mitos yang pertama tadi, masalah kesihatan – seperti mana keadaan-keadaan terdesak yang lain, ia datang tanpa diundang. Macam jatuh cinta gitu, tiba-tiba je ia datang. Oleh sebab itu penting untuk kita siapkan diri dengan perlindungan, memandangkan kos perubatan pun semakin meningkat naik.

Untuk harga produk perlindungan, korang sebagai pengguna kena banyak lakukan perbandingan dari segi harga dan kualiti. Korang perlu bandingkan beberapa jenis produk perlindungan dalam segmen yang sama. Contohnya nak beli produk perlindungan motosikal, carilah beberapa produk macam ini; kemudian bandingkan.

150057281 10157705604000952 7377701631025061930 N
Contoh kaedah perbandingan ringkas yang korang boleh buat ketika ingin membeli mana-mana produk. Via Edraw Max

Sebenarnya banyak je produk yang datang dengan harga berpatutan, tapi kena rajin korek maklumat dan lakukan perbandingan. Korang kena jadi pengguna yang aktif; rajin bertanya dan mengkaji. Kalau korang dah mula ada perangai macam ni, pastinya korang tak akan menyesal lagi ketika membeli apa-apa produk.

3. Persoalan Takaful dan konvensional, pengguna harus fokus pada kualiti

Salah satu persoalan yang paling besar dalam industri perlindungan di Malaysia adalah persoalan insurans konvensional dan Takaful. Kami pun tak nak ulas banyak pasal benda ni – korang boleh rujuk artikel-artikel kami sebelum ini. Apa yang kami nak beri penekanan dalam hal ini adalah persoalan kualiti.

Ada yang kata Takaful lebih berkualiti dari insurans konvensional, dan ada pulak yang kata sebaliknya. Untuk benda ni, kita tak boleh digeneralisasikan (pukul rata) dan main suka-suka je cakap macam tu. Sebabnya, ada banyak syarikat Takaful dan insurans konvensional dalam dunia ni.

Apa yang paling penting korang kena lihat struktur dan kestabilan syarikat yang korang pilih sebagai pembekal perlindungan. Korang kena ingat, ada sesetengah produk perlindungan tu akan mengambil masa yang cukup panjang untuk dituntut manfaatnya. Cuba bayangkan kalau korang ambik dekat syarikat yang baru dan diragui prestasinya, ada potensi korang tak akan sempat merasa manfaat tu kerana syarikat pembekal perlindungan tu gulung tikar.

Sekali lagi, elemen kajian dalam hal ini penting. Sebelum nak beli apa-apa, ambil sedikit masa untuk memikirkan keadaan syarikat pembekal perlindungan, dan produk yang bakal diambil. Moga korang akan melakukan pilihan yang tepat.

4. Gaji banyak tak perlukan insurans? Duit yang banyak boleh digunakan ketika simpanan

Ada juga yang berpandangan mereka tak perlu mengambil apa-apa produk perlindungan hanya kerana mereka memiliki gaji yang tinggi. Perlindungan yang kami katakan ni bukan setakat untuk kemalangan dan kesihatan je, tapi termasuklah perlindungan pendapatan.

Kalau korang ada kuasa macam ni, tak apalah. Via Giphy

Apa maksudnya? Kami percaya perkara yang paling menakutkan untuk kebanyakan orang adalah kehilangan pendapatan bulanan. Ketika pandemik ni, korang boleh nampak betapa ramainya orang hilang pekerjaan.

Dibuang kerja bukanlah satu-satunya cara seseorang tu boleh kehilangan pendapatan. Dalam kes-kes tertentu, ada orang yang terpaksa kehilangan pekerjaan kerana mengalami cacat kekal sehingga mustahil untuk dia bekerja seperti biasa lagi. Terutamanya mereka yang bekerja dalam sektor-sektor yang berisiko tinggi seperti pembinaan atau kilang-kilang yang mempunyai mesin yang tajam.

148897106 2871443169849229 4351604319159238381 O
Contoh kawasan kerja yang berisiko tinggi. Via Blog Bakong

Ketika keadaan ini berlaku, produk perlindungan akan memberikan sejumlah bayaran untuk memastikan mereka yang bernasib malang mempunyai wang untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang baharu. Ia amatlah diperlukan, sebelum mereka mula beradaptasi dengan keadaan fizikal yang baharu.

5. Tidak boleh sama sekali ambil konvensional, lebih baik takde perlindungan langsung

Kami dah tulis satu artikel tentang persoalan ini, tapi penting untuk kami terangkan semula. Seperti yang kami katakan pada mitos-mitos kat atas, pengambilan produk perlindungan merupakan sesuatu yang penting. Disebabkan perbahasan mengenai Takaful dan insurans konvensional ni hangat; ada yang sanggup tak ambik apa-apa perlindungan.

Sekiranya ada individu yang merasakan produk Takaful tidak menawarkan apa-apa produk dalam bentuk perlindungan tertentu, seperti motosikal yang dah tua atau had umur, dibolehkan ambik insurans konvensional. Ia lebih baik daripada takde perlindungan langsung.

Mesti ramai yang akan rasa terkejut kan? Via Giphy

Apa-apa pun, dalam hal ini kami akan serahkan kepada pembaca untuk lakukan penilaian produk mengikut keperluan, bajet, dan keselesaan masing-masing. Benda ni mudah, kembali je kepada konsep asas pemilihan produk iaitu banyak melakukan perbandingan dan kajian.

Sebenarnya ada banyak lagi mitos berkaitan insurans yang perlu dibincangkan dan didebatkan

Sebenarnya ada banyak lagi mitos yang ada tentang dunia insurans, kami tak dapat untuk tulis semuanya. Kami dah kata awal-awal tadi, apa yang paling penting dalam isu ‘tertutup’ ini adalah lebih banyak perbincangan perlu dibuka. Bagi korang, apa isu terpenting yang perlu dibincangkan secara terbuka apabila kita bercakap tentang insurans ni?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top