займ срочно

Malaysia dikatakan syurga ‘predatory journals’, kami jelaskan keadaan yang berlaku

F1
Malaysia dikatakan syurga ‘predatory journals’, kami jelaskan keadaan yang berlaku

Nampaknya isu-isu terkait dengan pendidikan menjadi tema perbualan hangat untuk beberapa minggu ni. Salah satunya ada kaitan jugak dengan institusi pengajian tinggi kita. Namun kali ni, kami tak bincang mengenai  penuntut universiti, sebaliknya dengan tenaga ahli akademik tempatan. Kami jarang nak bincang pasal ahli akademik tempatan ni, tapi yang pasti, kami rajin rujuk kajian-kajian tempatan bila nak membawakan perbincangan serius-santai untuk korang.

728 X 90

Heboh seMalaysia apabila sebuah artikel ni mendakwa membuktikan bahawa ahli akademik Malaysia ni banyak terlibat dengan ‘predatory journal’, memetik kajian terbaharu dari Vit Machacek & Martin Scholec. Oleh demikian, kami pun nak jugaklah baca sendiri apa sebenarnya yang dilaporkan dalam kajian Machacek & Scholec ni.

Jurnal Predator
Via Nature.com

Jurnal predatory ni banyak je, dahulunya diletakkan dalam sebuah senarai yang mengundang marah hingga terpaksa ditutup

Pertama sekali, kita kena tau apa benda sebenarnya jurnal ‘predator’ ni. Jurnal ‘predatory’ ni bermaksud sesebuah jurnal yang dikatakan tak mempunyai panel berwibawa yang benar-benar wujud di belakang penerbitan sesebuah jurnal ilmiah. Selain tu, boleh jadi bahawa sebenarnya jurnal ‘predatory’ ni adalah jurnal yang memerlukan seseorang ahli akademik tu untuk bayar je mereka untuk diterbitkan kajian mereka. Sama ada takde panel di belakangnya, ataupun ada panel yang fokusnya nak pastikan kajian tu diterbitkan tanpa ada pembetulan.

Biasanya untuk seseorang ahli akademik, mereka dialu-alukan untuk hantar kajian mereka khususnya yang dah bentang dalam sesebuah seminar untuk diterbitkan dalam sesebuah jurnal. Memang ada je jurnal yang mintak bayaran, lebih kurang sama seperti bila orang nak bentang dapatan kajian mereka dalam sesebuah persidangan atau seminar. Kemudiannya, sesebuah jurnal ni akan wujudkan barisan panel yang teliti dapatan kajian tu dan beri komen pembaikan agar dapatan tersebut boleh dimurnikan lagi. Tu namanya peer-reviewed journals.

Bukan predator yang ni ye… Via Giphy

Walaupun begitu, ada sesetengah jurnal ni main terbit je bila para penulis kajian tu memenuhi syarat bayaran mereka tanpa ada panel yang semak dulu dan cadangkan pembetulan. Benda sebegini tentunya boleh mengakibatkan penerbitan kajian-kajian yang nampak saintifik, tapi masih boleh diragui keabsahan dapatan tersebut (pseudo-saintifik).

Kajian Machacek & Scholec ni banyak terinspirasi dengan senarai Beall atau Beall’ List. Senarai ni heboh diperkatakan dulu pada 2015-2017, sehinggalah pencipta senarai tersebut, Jeffrey Beall ni tutup blognya. Ye, betul lah apa korang baca tu. Jeffrey Beall mendakwa terdapat ribuan jurnal yang beliau kenalpasti merupakan predatory journals dan senaraikan nama mereka dalam blognya. Meletuplah dunia akademik, sebab ada jugak jurnal yang ‘mata duitan’ dan tak pegang semangat jitu memelihara ilmu.

Beall Predatory
Beall’s List… Via Academia.edu

Mengikut da Silva (2017), tindakan Beall ni ada rantaian implikasi lain. Jefrrey Beall ni anggota saintis pustaka (library scientist), jadi orang masih boleh percayalah kredibilitinya di awal penemuannya. Tapi lama-kelamaan, dia dah jadi makin pelik sebab senarainya terus menambah lebih banyak jurnal yang kurang dikenali khususnya jurnal akses terbuka (open access) tanpa sebab atau bukti kukuh atas kemasukan jurnal-jurnal ni.

Ni turut mencalar imej ramai lagi ahli akademia yang lain, terutamanya yang pernah terbitkan kajian mereka dalam jurnal-jurnal yang kurang dikenali. Metodologi Beall ni pun bermasalah sebenarnya, sebab dia semacam pilih je mana yang dia rasa boleh dianggap predatory open access journals (POAJ). Takkanlah hanya kerana orang lain boleh akses jurnal tersebut tanpa perlu langgan apa-apa, maksudnya seluruh penerbitan jurnal tu palsu dan penuh penipuan?

Beall List Image
Via IGI Global

Kerana kontroversi tersebut, Beall sendiri dijauhi oleh ramai ahli akademik. Lagi-lagi yang retak reputasi dan kerjaya mereka atas dakwaan Beall ni, walhal senarai ni diterbitkan kat blog je pun. Memandangkan si Beall ni pun kakitangan Universiti Colorado, dia dipaksa untuk tutup blog tersebut pada 2017. Beall langsung tak beri ruang untuk ahli akademik yang terkesan ni membela diri, dan dia jugak tak memberi sebarang penjelasan mahupun permohonan maaf untuk kalangan ‘mangsa’ dakwaan tersebut.

Walaupun Malaysia disenaraikan dalam penemuan predatory journal, istilah tu sebenarnya masih lagi diragui

Kami perhati je reaksi dan gelagat ramai sesudahnya artikel Faisal Tehrani disiarkan oleh FMT. Artikel tersebut dapat reaksi marah, sekaligus memberi prasangka negatif terhadap ilmuwan kita. Korang jangan salah faham; kami tak sokong sekiranya benar ada perbuatan para ahli akademik yang jelas niatnya nak cari nama dengan terbitkan je kajian separuh masak. Walaupun begitu, kita kena faham jugak apa sebenarnya kajian ni nak sampaikan.

Negara Scopus Predatory Jurnal
Semakin gelap warna peta tu, semakin banyak POAJ.. -via kajian Machacek & Srholec (2021)

Maka kami buru artikel tersebut dan baca 2-3 kali. Artikel ni sebenarnya nak bagitau 1 benda je; POAJ ni berleluasa seluruh dunia. Menariknya, para pengkaji tu sendiri akui kajian mereka takdelah sempurna sangat dan tak bermakna seluruh sistem kajian dalam sesebuah negara tu gagal serta rosak. Metologi mereka pun semuanya pakai carian data dari komputer, iaitu dengan melayari pangkalan data Scopus.

Beberapa kriteria utama yang pernah Beall gunakan dulu seperti meneliti latar belakang kakitangan editorial, cara mereka pasarkan jurnal tersebut, bagaimana mereka kekalkan kewujudan mereka (termasuklah pautan dan laman sesawang rasmi), kesalahan tatabahasa dan ejaan serta lain-lain. Oleh disebabkan kriterianya agak umum serta kelonggaran istilah tersebut, kajian mereka tak bolehlah diambil sebagai data yang benar dan mutlak. Mereka nak buktikan POAJ wujud je.

Data Scopus Kajian Predatory
Via kajian Machacek & Srholec (2021)

Ditambah lagi dengan cabaran utamanya iaitu nak buat kajian rentas negara dalam pangkalan data Scopus, para pengkaji sendiri kata mereka berhadapan dengan 2 lagi kekangan. Data Beall ni lama dah sebenarnya dan mungkin tak relevan lagi memandangkan ada sesetengah penerbit POAJ ni tutup dah. Selain tu, ada kemungkinan yang tinggi berkenaan kecenderungan Beall sendiri terhadap penerbitan dalam Bahasa Inggeris.

Ada 2 dapatan besar melibatkan Malaysia – Malaysia berada dalam tangga kelima di seluruh dunia, manakala dalam tangga kedua untuk bidang sains sosial. Ni bermakna Malaysia turut berhadapan dengan krisis POAJ, meskipun tak dikenalpasti sebagai negara paling teruk dilanda penerbit jurnal tak bertanggungjawab.

Sains Sosial Malaysia Journal Predatory
Via kajian Machacek & Srholec (2021)

Memandangkan kajian ni bukanlah berfokuskan kepada Malaysia, masih banyak perkara yang boleh kita tanyakan menerusi dapatan ni. Oleh disebabkan kajian ni fokuskan dalam bahasa Inggeris, sedangkan banyak jugak jurnal kita ni diterbitkan dalam bahasa Melayu. Adakah wujud jugak jurnal tak bertauliah dan tak bertanggungjawab ni dalam bahasa Melayu?

Dapatan seterusnya patut kami kongsikan, iaitu beberapa negara seperti Bhutan, Chad dan Korea Utara ni tak dikenalpasti terlibat dalam penerbitan jurnal predatory ni. Faktor utamanya mungkin sekali kerana jumlah kajian yang dikeluarkan oleh para pengkaji di sana agak sedikit, membuatkan POAJ ni takde sebab untuk wujud kat sana. Banyak kajian tak bermakna tinggi kualiti, haa macam tu lah…

Kembali semula kepada artikel Faisal Tehrani tu, dia ada sebut pasal kegelojohan para ahli akademik kita ni untuk keluarkan kajian sebagai pra-syarat nak cepat naik pangkat. Oleh sebab tu, ramai ahli akademik ni terpaksa bayar je mahal-mahal untuk pastikan kajian mereka cepat diterbitkan supaya mampu kejar syarat yang dikenakan oleh pihak universiti. Konsep publish or perish ni buatkan para pengkaji tak lagi mengejar kualiti, sebaliknya kejar kuantiti. Yang penting bayar je.

Naib Canselor nafikan syarat penerbitan paling utama, tak jawab langsung pasal impak terlalu kejarkan penerbitan

Menjawab spekulasi ramai lepas hadirnya dakwaan Faisal Tehrani baru-baru , Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar kata syarat penerbitan bukanlah satu-satunya penentu naik pangkat seseorang ahli akademik. Katanya kepada Bernama, kriteria lain yang turut dilihat merangkumi amanah pengajaran, penyeliaan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu serta kepimpinan akademik dan pengurusan.

Dr Aeini
Prof Dr Aeini.. -Via Bernama

“Calon perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan, pengarah institusi atau pusat masing-masing dan jika ia disokong oleh ketua jabatan berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti, pusat atau institut itu akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon.

Sekiranya calon gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti. Namun, apabila permohonan dibawa ke jawatankuasa penapis di peringkat universiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf profesor”- Seperti yang dilaporkan Bernama

Penjelasan Dr Nor Aeini turut sentuh isu predatory journal, yang mana sekiranya penerbitan yang disenaraikan dalam permohonan seseorang calon tu tak dapat disahkan atau tak terindeks oleh Scopus atau WOS, artikel tu akan ditolak. Dengan ni, apa-apa artikel yang diterbitkan dalam mana-mana predatory journal akan jejaskan permohonan tersebut. Walau bagaimanapun, dia tak sebut apapun perihal isu publish or perish ni, sedangkan isu ni membelenggu lanskap penerbitan jurnal ilmiah. Misalnya pada 2018, kegusaran ni pernah dinyatakan oleh Dr Nurkhamimi dalam artikel siaran New Straits Times.

Predatory Journals
Via Nature

Sekarang ni kita dah pasti bahawa keadaan dan desakan penerbitan ilmiah di Malaysia memerlukan paradigma baharu. Kita kena tau apa sebenarnya yang kita nak kejarkan… kita nak kejar kuantiti ke nak kejar kualiti? Boleh je nak kejar dua-dua, tetapi dunia ilmiah tak semudah tu. Lain kajian, lain bidang, lain jugaklah cabaran yang harus dihadapi oleh para pengkaji. Masalah kita sekarang adalah masalah sistem, dan prioriti kita terhadap apa yang kita nakkan sebenarnya untuk akademia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top