займ срочно

Banjir besar di Pahang, katanya disebabkan hujan luar biasa. Tapi sebenarnya…

F1
Banjir besar di Pahang, katanya disebabkan hujan luar biasa. Tapi sebenarnya…

Baru-baru ni kita sekali lagi didatangi musim tengkujuh, membawa air hujan yang akhirnya menenggelamkan sebentar sebahagian kawasan di beberapa negeri. Pahang antara negeri yang terkesan teruk dengan kejadian banjir ni, walaupun perkara ni dah boleh dianggap sseuatu yang biasa berlaku saban tahun. Mangsa banjir di negeri tersebut meningkat kepada 24,298 mangsa pada awal Januari tahun ni.

728 X 90

Dengan jumlah yang tinggi tu, kerajaan negeri ditekan untuk buat kenyataan. Namun kenyataan rasmi mereka agak mengejutkan kami, seolah-olah nak menolak punca banjir tu ada kena mengena dengan tangan manusia pulak. Adakah wajar kita salahkan alam semata-mata tanpa mengakui tangan kita pun bersalah jugak?

Banjir Sungai Tembeling Pahang
Aktiviti manusia di Sg. Tembeling rancak mematikan alam… Via Astro Awani

Isu banjir bukan main-main walaupun berlaku hampir setiap tahun, kerajaan negeri kata punca banjir adalah kadar air hujan yang luar biasa

Mangsa banjir di negeri tu tak hanya kehilangan rumah dan harta benda; ada jugak yang kehilangan nyawa. Pada 4 Januari 2021, dilaporkan sorang bapa dan anaknya hanyut dibawa arus deras ketika nak meredah banjir. Di negeri lain, ada jugak yang terkorban nyawa akibat banjir kali ni. Melihatkan perkara ni, kerajaan negeri Pahang dikecam oleh warganet kerana isu pembalakan yang tak terkawal menjadi punca banjir kali ni lebih teruk.

Mula tularlah gambar peta hutan yang ‘bercorak’ gondol dalam kawasan hijau, dikatakan merupakan sebahagian daripada hutan simpan di Pahang. Negeri tersebut memang dah banyak skandal pembalakan yang berleluasa dan seolah-olah takde tindakan dari pihak berkuasa. Tahun lalu misalnya, kami ada kongsikan dapatan berani daripada sorang bekas wartawan di Pahang pasal skandal pembelian geran tanah di Pahang. Katanya, sebenarnya mudah je nak beli hak tanah tu tanpa perlu lalui birokrasi… tapi kena bayar lebih kat beberapa individu penting dalam jabatan kerajaan negeri tu.

Kerajaan negeri kemudiannya keluarkan kenyataan ‘berani’ jugak, iaitu punca banjir kali ni adalah kadar air hujan yang diterima di negeri tersebut agak luar biasa. Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang kata perkara ni dah disahkan menerusi laporan awal jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Metereologi (MetMalaysia) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Angka-angka yang direkodkan itu membuktikan sememangnya hujan lebat secara luar biasa menjadi punca kepada berlakunya banjir di negeri ini dan bukan disebabkan aktiviti penerokaan hutan yang berleluasa seperti didakwa,”- Kenyataan rasmi daripada Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian

Kenyataan tersebut turut disambung dengan jaminan bahawa penerokaan dan pembalakan hutan simpanan sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC). Daripada 64.43% yang boleh dibalak, 35.57% lagi masih dipelihara kerana ia termasuk dalam bahagian kawasan tadahan air yang sangat sensitif. Jumlah seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Pahang adalah kira-kira 1.55 juta hektar, dan dilaporkan stabil setiap tahun.

Pokok Balak Ulu Tembeling
Spesis pokok balak berkualiti turut menarik perhatian pembalak haram… Via Astro Awani

Pengkaji tolak penjelasan tersebut, ternyata penggondolan hutan adalah penyebab utama banjir

Penafian yang dibuat oleh kerajaan negeri bertentangan dengan pandangan pakar geologi. Sekiranya aktiviti pembersihan hutan ni terus berleluasa tanpa kawalan dan tak peduli pada tumpuan nak wujudkan sistem tadahan air, risiko banjir hanya akan meningkat setiap tahun. Asasnya, kita harus mempunyai pokok yang cukup agar air hujan tu mengalir ke dalam tanah. Hasilnya, risiko banjir kurang berlaku sebab air hujan tu dah masuk ke dalam bekalan air dalam tanah tu.

Tiba masanya kerajaan negeri berbuat sesuatu untuk mengurangkan kesan penggondolan bukit, kata Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer.

“Penerokaan hutan di Pahang khususnya, semakin tidak terkawal. Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu, termasuk membina sistem saliran alternatif di kawasan tanah tinggi (hulu) bagi menyalurkan air (terutama di kawasan aktif gondol) ke kawasan landai (hilir) secara sistematik terutama ketika hujan lebat berintensiti tinggi atau berdurasi lama. Jika pembalakan berterusan seperti sekarang, kita jangka banjir tidak terkawal akan melanda setiap tahun dan bukannya lima atau 10 tahun sekali seperti berlaku sebelum ini.”- Seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kereta Tenggelam Banjir Pahang
Kereta tenggelam dek banjir di Jerantut… Via Facebook

Alternatif terbaik sentiasa ada dan boleh difikirkan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa Pahang kalau kerajaan betul-betul serius nak kurangkan lagi risiko banjir. Beberapa yang dapat kami cari berkenaan alternatif yang dah diperkenalkan adalah kesedaran simulasi banjir untuk tingkatkan tahap kesediaan rakyat. Operasi penguatkuasaan memburu para pembalak haram jugak giat dijalankan.

Lebih penting, kerajaan negeri pun tak boleh terus menyembunyikan masalah lain yang menyumbang kepada banjir. Nak sebut air hujan je tak cukup; kita kena jelas bahawa faktor pembangunan dan penggondolan hutan, sama ada haram atau di bawah kuasa kerajaan negeri ni turut menjadi penyebab banjir. Asyik salahkan alam je, bila nak salahkan diri sendiri?

Kena lagi pada musim pandemik ni, wujud jugak risiko penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir. Kalaulah perkara tu berlaku, ia bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hilang harta benda satu hal lagi, kena fokus untuk menyembuhkan diri dari COVID-19 pun satu hal jugak. Kami doakan agar mangsa banjir di seluruh Malaysia ketika musim tengkujuh ni dimudahkan urusan dan diberi keselamatan, kesejahteraan untuk menempuhi tahun baharu ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top