Filem James Bond tertangguh, Remi Malek setuju jadi antagonis dengan syarat

Daniel Craig
Filem James Bond tertangguh, Remi Malek setuju jadi antagonis dengan syarat

Daniel Craig terkenal dengan aksi lagak ngeri yang dilakukannya sendiri dalam filem-filem Bond yang dibintanginya. Dia  pernah mengalami kecederaan lutut ketika penggambaran ‘Spectre’ pada tahun 2015, sehingga sering berasa risau bahawa kecederaan serius yang dialaminya akan memberikan kesan kepada penggambaran filem terbarunya satu hari nanti. Craig juga pernah patah dua giginya ketika berlakon dalam ‘Casino Royale’, dan luka jarinya ketika ‘Quantum of Solace’.

Via Independent

Malangnya, pada bulan Mei 2019 lepas, Craig mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menjalani penggambaran filem ‘Bond 25’, sehingga menyebabkan ia perlu ditangguh, kerana dia perlu menjalani beberapa siri pembedahan. ‘Super-spy’ pun tak lari daripada mengalami kecederaan nampaknya.

Pelakon utama alami kecederaan, di samping nak bantu isterinya lahirkan anak pertama

Craig alami kecederaan tu ketika melakukan rakaman kat Jamaica. Dia ketika tu pakai sut dan melakonkan salah-satu babak terakhir kat negara tu. Dia terjatuh ketika sedang berlari laju, dan terseliuh sebelum jatuh. Craig dilaporkan marah ketika insiden tersebut, dan melempar sutnya ke tanah, sebagai tanda bengang. Dia kemudiannya kembali ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan serta melakukan X-ray.

Mujurlah dia kini nampaknya semakin sembuh. Laman media sosial rasmi Bond memuatnaik gambar Craig sedang melakukan senaman di gimnasium dengan kaki yang masih berbalut, tetapi akan menjalani penggambaran pada minggu depannya.

Sabar ye bang. Via Page Six

Filem yang diarahkan oleh Cary Fukunaga (pengarah ‘True Detective’, ‘Sin Nombre’, ‘Jane Eyre’, dan ‘Maniac’) ni turut mengalami masalah apabila berlaku tragedi kat dalam set pengambaran. Aksi lagak ngeri yang gagal dilaksanakan secara baik menyebabkan letupan yang menerbangkan sebahagian bumbung set tersebut, sehingga mencederakan beberapa orang kru penggambaran. Salah seorang kru yang bertugas turut dikejarkan ke hospital berdekatan. Set 007 itu terletak di Pinewood Studios, Buckinghamshire.

Bukan hanya kecederaan Craig yang menyebabkan filem ini tertunda produksinya. Ada laporan yang mengatakan bahawa para penerbit tak begitu tertarik dengan lakon layar Fukunaga bersama John Hodge. Ada juga khabar angin yang katakan dia pernah datang lambat ke lokasi, kerana sibuk bermain PlayStation. Lebih memburukkan keadaan, penggambaran dijalankan pada hari cuti, sempena Hari Bapa. Kat bawah ni ada video traile yang dibuat peminat.

Naskah ini juga menjadi lewat diterbitkan kerana Craig, 50 tahun mahu membantu isterinya, Rachel Weisz, yang melahirkan anak sulung mereka pada bulan September 2018. Dalam pada kelewatan itu, Craig juga sempat terlibat dalam satu projek, apabila melakonkan watak utama dalam filem pembunuhan misteri, ‘Knives Out’ di samping Ana de Armas pada lewat 2018.

Sejak Pierce Brosnan tidak lagi tampil sebagai ejen perisik rahsia pada 2005, Craig telah muncul selaku bintang yang sangat sinonim dengan Bond dalam kesemua 4 filemnya yang terdahulu. Selepas menyatakan tidak akan membintangi filem Bond lagi, pada Ogos 2017, Craig mengesahkan bahawa dia akan kembali melakonkan watak itu ‘untuk kali terakhir’ dalam naskah ke 25 Bond.

Rami Malek, hanya mahu memegang watak jahat kalau tak pegang watak pengganas dari arab

Naskah ini akan turut dibintangi oleh Rami Malek sebagai watak jahat, yang sebelum ini popular dengan filem ‘Bohemian Rhapsody’. Malek telah mendapatkan pengesahan daripada Fukunaga sebelum menerima tawaran tersebut, bahawa dia tidak akan melakonkan watak pengganas yang bertutur di dalam bahasa Arab.

Khabar angin menyatakan bahawa skrip asal ‘Bond 25’ adalah berdasarkan inspirasi daripada novel ‘Never Dream of Dying’, tulisan Raymond Benson (penulis AS) pada tahun 1999. Pada September 2017, terdapat khabar angin bahawa watak Bond (yang terkenal dengan sikap kaki perempuan), mengahwini Dr Madeleine Swann selepas berhenti daripada MI6. Namun, meskipun pelbagai khabar angin timbul, akhirnya filem ini didedahkan berkaitan dengan usaha menyelamatkan seorang saintis daripada tangan penjahat.

Rami Malek. Via Amazonews

Penerbit filem ni, Broccoli mengumumkan bahawa ia tidak akan lagi memaparkan Bond sebagai seorang yang berkhidmat untuk Permaisuri Elizabeth pada awal cerita. Sebaliknya, sebagai seorang yang meneruskan kehidupannya di Caribbean. Ia mengisahkan kehidupan Bond selepas meninggalkan MI6, di mana rakannya, Felix Leiter (dari CIA) memanggil dia untuk membantunya mencari seorang saintis yang hilang. Saintis tu kemudiannya didapati telah diculik, dan penjahat turut menggunakan teknologi terbaru, menjadikan filem ini penuh dengan aksi dramatik serta segar.

Via Giphy

Asalnya, filem ni dijadualkan akan ditayangkan pada 25 Oktober 2019, iaitu 4 tahun selepas ‘Spectre’. Ia mengalami kelewatan selepas pengarah asal, Danny Boyle, 61 tahun, menarik diri daripada projek ini, atas sebab ‘perbezaan pandangan kreatif’. Boyle dikatakan menarik diri kerana tidak mahu ‘membunuh’ watak Bond pada akhir filem tersebut. Craig dan Barbara Broccoli (penerbit) dikatakan mahu watak Bond mati dalam babak finale yang spektakular, tetapi dibantah keras oleh Boyle. Dia menyatakan bahawa idea itu adalah mengarut.

Bond akan pakai kereta Aston Martin Valhalla yang bernilai jutaan ringgit

Kereta Bond dalam filem terbaru ini adalah jenis Aston Martin Valhalla. Kereta hybrid ini dikatakan mampu bergerak ke kelajuan 60km/j dalam masa 3 saat, dan dikuasakan oleh enjin petrol V6 ‘turbocharged’ yang direka khas. ‘The Valhalla’ – yang menggantikan mdoel kereta yang digunakan dalam filem ‘Spectre’; dianggarkan berharga £1.5 juta, dan mengikuti tradisi Aston Martin yang menamakan keretanya dengan huruf ‘V’. Valhalla merujuk kepada mitologi Norse iaitu sebuah dewan besar dalam Asgard yang dijaga oleh Odin, dewa pertempuran dan peperangan.

Gempak gila. Via Motor1

Ia merupakan tempat penantian sebahagian golongan pahlawan yang terkorban sewaktu berperang di mana roh-roh mereka diiringi dewi khas iaitu ‘Valkyrie’. Golongan pahlawan yang dibawa ke dewan ini bersama beberapa tokoh terkenal lain yang turut terkorban dalam pertempuran, di mana mereka akan menunggu dalam persediaan mereka bersama Odin untuk suatu pertarungan terakhir bernama ‘Ragnarok’.

Nampaknya ramai yang suka melihat bintang yang diminati mereka bersungguh dan komited dalam ekspresi seni mereka. Ada yang sampai cedera bertahun-tahun. Jika benar watak Bond akan dimatikan dalam edisi ke 25 ini, terdapat banyak pandangan tentang apa yang akan berlaku jika filem ke 26 Bond diterbitkan kelak. Adakah watak baru akan muncul? Ataukah Bond sebenarnya tidak mati? Sama-sama kita nantikan tayangannya nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print