Kenali Black Axe, organisasi sindiket mafia berkulit hitam dari Nigeria

blackaxe1

Pernah dapat panggilan atau ‘undangan’ cinta dari jejaka Awang Hitam? Dah tentu, scam cinta dan bermacam-macam lagi penipuan atas talian ni kerapkali dibincangkan ramai. Ada orang tetap terkena jua, manakala ada yang cepat-cepat sedar bahawa diorang ni dah kena tipu atau hampir ditipu.

Namun kali ni, kami nak kenalkan korang terhadap satu kumpulan antarabangsa ni – Black Axe. Black Axe ni organisasi mafia yang besar dan licik jugak. Sumber terbesarnya adalah dengan menipu wang di alam maya. Tetapi Black Axe turut kita perlu kenal, kerana sebahagian komunitinya sebenarnya hidup bersama-sama kita di Malaysia.

neo black black axe nigeria
Via Wikimedia

Hasil siasatan BBC ke atas Black Axe menemui diorang ni sindiket besar, aktif berkomunikasi di beberapa negara termasuk Malaysia

Black Axe bukanlah organisasi yang calang-calang. Sementara kita kat sini tak begitu merasakan kehadirannya, siasatan BBC membawa jejak komunikasi diorang kat negara-negara lain termasuklah Malaysia sendiri. Adakah ni bermaksud anggota mafia Black Axe ni memang wujud antara kita?

Black Axe ni boleh dikatakan adalah sayap bersenjata Neo-Black Movement (NBM) di Afrika dan dibentuk pada 1970-an di Universiti Benin. Benar, dulu Black Axe ni sebenarnya banyak dianggotai oleh kalangan mahasiswa. Sampai sekarang, diorang masih lagi aktif merekrut mahasiswa dan orang muda untuk melebarkan sayap diorang.

logo black axe
Logo Black Axe.. -Via Everything Explained

Dakwa BBC, NBM sebenarnya ada kaitan dengan Black Axe walaupun diorang taknak mengaku. Sementara NBM ni memang satu organisasi berkulit hitam yang sah wujud serata dunia, beberapa pemimpin tinggi NBM seperti bekas presiden diorang Augustus Bemigho-Eyeoyibo ni dijejaki ada operasi ‘scam’ yang sasarkan rakyat Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mengikut penyiasatan BBC ke atas beberapa maklumat yang diberikan oleh sorang pendedah maklumat, hanya dikenali Uche Tobias. Uche Tobias mulai menyiasat tentang Black Axe ni sejak dia dapat laporan daripada beberapa mangsa penipuan atas talian ni. Kalau kita tak fikir jauh sangat, kita terus akan simpulkan ni cuma sindiket penipuan biasa je.

uche tobias
Uche Tobias, antara pemberi maklumat kepada BBC.. -Via BBC

Rupa-rupanya, hasil sumber penipuan dan jenayah siber diorang ni dijadikan pendapatan melangsungkan operasi ganas diorang. Macam-macam diorang buat, berdasarkan maklumat yang berjaya Uche Tobias tu godam dan kumpulkan dari 2009 hinggalah 2019. Sedekad kumpul bukti bagi menjatuhkan Black Axe.

Maklumat ni terdiri daripada komunikasi peribadi, daripada ratusan anggota. Antara komunikasi diorang ni adalah pembunuhan dan penyeludupan dadah. E-mel diorang turut memperincikan penipuan siber yang sangat licik dan lumayan. Ia dijejaki dihantar dan diterima dari beberapa negara, seperti Nigeria, UK, Malaysia dan negara-negara teluk. Operasi diorang ni meliputi seluruh dunia…

kult mafia malaysia
Pertembungan mafia ni pun dikatakan berlaku di KL jugak.. -Via Within Nigeria

Mafia Black Axe ada tuhan diorang sendiri, tak dapat dipisahkan dengan politik di Nigeria

Ramai orang fikir, apa yang jadi kat negara lain akan terus kekal je kat sempadan diorang. Hakikatnya jauh dari apa yang disangkakan. Apa yang jadi kat negara orang, sebenarnya boleh dibawa ke negara lain termasuklah negara kita. Macam Black Axe ni – ia dianggotai oleh ramai warganegara Nigeria. Banyak sebab kenapa anak muda diorang pun nak sertai mafia ni.

Ada sesetengah anggota ni, berjaya ditemubual oleh wartawan BBC. Diorang kata, walaupun ramai antara diorang ni dipaksa atau terpaksa masuk ke dalam kultus mafia Black Axe… diorang masih lagi setia disebabkan ada elemen spiritual dalam proses kemasukan diorang.

tengkorak black axe
Via BBC

Diorang sembah satu tuhan ni, dinamakan Korofo, tuhan yang tak terlihat. Diorang gelar ‘laluan syaitan’ (devil’s passage) atau ‘bamming’ – mesti tahan kena pukul dengan kayu bambu, kemudian perlu merangkak dan minum titisan darah dari ibu jari diorang serta mengunyah kacang kola, sejenis kacang yang ada kafein dari Afrika Barat. Diorang ada panggilan khusus antara satu sama lain, “Aye Axeman”.

Ada orang masuk ke mafia Black Axe ni demi duit. Ada jugak nak balas dendam sebab bapa diorang dibunuh mafia lain. Ada jugak yang dipaksa atau diheret masuk je. Bagi sorang bekas anggota Axemen, Dr. John Stone; Black Axe ni banyak kaitan dengan politik Nigeria. Tak hairanlah, statistik pada laporan Indeks Jenayah Terancang 2021, Nigeria antara negara yang mempunyai kadar kes paling tinggi.

jenayah indeks 2021 nigeria
Nigeria di tangga ke-5 dalam laporan indeks jenayah global.. -Via GITOC

Sorang aktivis politik di Nigeria mendakwa, politik tak dapat dipisahkan dari mafia di Nigeria. Malah, Augutus Bemigho, yang memang dah terkenal dengan skandal penipuan serta kegiatan mafia ni pernah dilantik sebagai wakil rakyat dan berkempen untuk parti kerajaan parti All Progresive Congress (APC).

“Nigeria mempunyai politik mafia. Ahli poliitk kami, kerajaan di seluruh peringkat, menggalakkan anak muda ke arah kultus… mereka memberi senjata, mereka (ahli poitik) memberi mereka wang semasa pilihan raya, dan mereka janji akan berikan lantikan politik (kepada mafia)…” – Curtis Ogbebor, aktivis Nigeria, seperti yang dipetik BBC

Dalam kerajaan tu pun sendiri, kebanyakan pegawainya pun merupakan anggota Black Axe. Kegusaran negara-negara seperti Itali dan Kanada semakin tinggi apabila ada banyak kes jenayah berkaitan anggota Black Axe di negara diorang. Kat Itali, yang sememangnya ada mafianya, turut dihidupkan semula bagi mengekang aktiviti (dan pengaruh) Black Axe.

Mungkin kat Malaysia, kita tak begitu merasakan kehadiran Black Axe ni. Tapi ia tak bermakna kita tak perlu ambil pusing fakta macam ni, sebab boleh jadi para mangsa penipuan di Malaysia ni sebenarnya didalangi oleh anggota Black Axe ni sendiri. Pendedahan tentang Black Axe oleh BBC perlu diteliti semula dan didedahkan ke pengetahuan ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *