Lagu AMALINA yang dah masuk Malaysia Book of Records

Lagu AMALINA yang dah masuk Malaysia Book of Records

“Amalina… Oh Amalina…. Oh Amalina…. Oh Amalina….
Amalina… Amalina…
Kau satu kutidak punya dua
Satu dua tiga hanya kau sahaja
Walau bidadari datang menyerah

 Amalina…Amalina…
Biar dulu kita habis belajar
Kita juga sama-sama membesar
Nantikan orang tua kupinangkan…”

Jumlah tontonan kat Youtube dah hampir sama dengan penduduk Malaysia

28 juta tontonan, bukanlah satu jumlah kecil. Video klip rasmi lagu ‘Amalina’ dendangan Shantesh Kumar telah ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat sejak ia dimuatnaik ke Youtube pada Ogos 2018.

Klip video ini turut menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai video muzik berbahasa Tamil tempatan pertama mencecah satu juta tontonan di Youtube. Di dalam video tersebut, Fiera Fendi memegang watak sebagai gadis Melayu bertudung bernama Amalina.

Via MyLyrics

Lagu ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Room None ini mengembalikan nostalgia peminat kepada zaman kegemilangan penyanyi bukan Melayu dan pelbagai bangsa yang berjaya mencipta nama seperti Alleycats, Fransisca Peter, Royston Sta Maria, Ben Nathan, Kenny, Remy & Martin, Headwind, Freedom, dan The Revolvers.

Nama Alleycats mula meniti di bibir rakyat Malaysia apabila Jamal Abdillah, ketika itu peserta Bintang RTM 1979, membawakan lagu ‘Senandung Semalam’ dengan penuh dramatik serta penghayatan. Sejak itu, ‘Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi’, ‘Hingga Akhir Nanti’, ‘Andai Aku Pergi Dulu’, ‘Setahun Sudah Berlalu’, ‘Seribu Bintang’, ‘Nota Terakhir’ terus menjadi malar segar dalam minda serta jiwa rakyat Malaysia.

Sebagaimana uniknya suara Dato’ Thiagarajan K. R. Arumugam (David Arumugam) yang unik, begitu juga suara Santesh. Dengan unsur serak (Rock) dan mendayu, membuatkannya sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu Melayu yang mempunyai lenggok yang tersendiri. Santesh yang berasal dari Kapar, Kelang, Selangor itu, pada asalnya terlihat satu ‘posting’ yang dimuatnaik oleh Harry Khalifah, yang mencari penyanyi bagi lagu ‘Amalina’. Santesh menyanyikan lagu ‘Assalamualaikum Ustazah’, selain lagu ‘Amalina’ dalam bahasa Tamil selepas diterjemah dalam bahasa Melayu, dan akhirnya dipilih sebagai penyanyi bagi lagu tersebut.

Lagu Amalina dibuat khas oleh Harry Khalifah untuk anaknya, Mizan

Harry mencari penyanyi lain kerana komitmen persekolahan anaknya. Harry, pemain gitar utama kumpulan rock Khalifah bukanlah asing dalam mencipta lagu yang menjadi siulan ramai. Lagu seperti ‘Kasihnya Laila’ (Jinbara), ‘Hang Pi Mana’, ‘Assalamualaikum Ustazah’ dan ‘Cikgu Ayu’ (Khalifah), ‘Sedalam-Dalam Rindu’ dan ‘Melamar Rindu’ (Tajul) sangat popular khususnya dalam kalngan anak muda.

Asalnya, lagu Amalina menceritakan tentang kisah percintaan budak sekolah dan Amalina itu memang wujud di sekolah anaknya. Lagu ini menceritakan tentang sorang budak lelaki yang begitu mengagumi segala yang ada pada diri Amalina, daripada sifatnya yang berbudi bahasa hinggalah kepada begitu menghormati orang tua. Ia menceritakan tentang percintaan antara dua orang yang mempunyai agama dan kaum yang berbeza.

Ini ke Amalina. Via Youtube

Santesh yang mempunyai 12 orang adik-beradik, mula menyanyi sejak kecil kerana sering mengikut bapanya yang merupakan seorang pemuzik. Beliau boleh bermain keyboard, gitar dan dram, dan mula dikenali dalam kalangan peminat Melayu setelah menyanyikan semula (cover) beberapa lagu penyanyi seperti Awie, Saleem dan Alleycats sehingga menjadi tular.

Selain menjadi penyanyi, beliau juga seorang pencipta lirik dan lagu. Beliau pernah menyertai pertandingan Vaanavil Superstar 2011 dan Singapore Superstar Challenge 2013, di mana beliau muncul juara, apabila berjaya menewaskan peserta dari Singapura dan Sri Lanka. Selain menyanyi, Santesh juga aktif dalam bidang lakonan dan pernah berlakon dalam filem ‘Vaira’.

Semoga Santesh akan keluar dengan lagu-lagu yang power lepas ni

Anak muda yang lahir pada 16 November 1988 sudah lama bergiat sebagai anak seni, malah melibatkan diri dalam persembahan pentas sejak berumur 7 tahun. Telah berkahwin, beliau mula berkecimpung secara serius dalam bidang muzik pada tahun 2011 iaitu ketika merakamkan lagu pertamanya. Sehingga kini, beliau sudah mengeluarkan 5 buah album Tamil.

Via KOSMO

Selepas mempopularkan lagu Amalina dalam bahasa Melayu, Santesh kemudiannya tampil dengan versi Tamil yang turut mendapat jumlah tontonan yang tinggi. Beliau mengubah 30 peratus lirik asal lagu terbabit apabila ia diterbitkan dalam bahasa Tamil. Beliau kini hadir bersama lagu baru, ‘Mymuna’, iaitu kesinambungan kisah cinta lagu Amalina selepas mendapat permintaan pendengar.

Sebagaimana Alleycats, Fransisca Peter, Headwind dan lain-lain, Santesh adalah wajah anak Malaysia, yang berjaya menghiburkan pelbagai latar masyarakat dengan caranya yang tersendiri. Semoga kita tidak lupa dengan akar dan bahasa kita. Bak kata watak Nina (Susan Lankester) dalam filem Mekanik (1983), “Orang putih ke, orang biru ke, kita orang Malaysia kan?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top