Tahun lalu adalah tahun yang agak suram untuk seluruh dunia. Di Malaysia, kita turut melalui banyak cabaran baik dari segi politik, ekonomi dan sosial. Yang lebih jelas pada 2020, kita boleh melihat sendiri bagaimana reaksi masyarakat dan kesediaan kerajaan menangani pandemik. Sektor ekonomi terpaksa dijana semula dengan sebahagiannya dah pindah ke alam digital.
Secara sosialnya pulak, kita melihat sendiri peningkatan isu sosial dan keperluan untuk berhubung dalam talian semakin tinggi. Kebergantungan kita terhadap Internet dan media sosial turut mencanak naik, tambah lagi apabila kita terpaksa duduk diam-diam kat rumah je. Jom tengok apa je orang Malaysia cari sepanjang tahun 2020 di Google Search!
1. Kempen #KitaJagaKita menyatukan semua, ramai jugak yang cuba berikan bantuan kepada yang memerlukan
Impak PKP membuatkan kita semakin sedar mengenai kewujudan ketidaksamarataan sosial di Malaysia. Ramai yang hilang punca pendapatan dan takde simpanan yang kukuh. Salah satu yang pernah kami kongsikan adalah bagaimana ketua isi rumah wanita dan OKU terpaksa bergelut untuk sesuap nasi. Begitu jugak dengan kelompok marginal yang amat merasakan impak ekonomi akibat PKP.
Kebaikan dan kerendahan hati rakyat Malaysia terserlah apabila trend paling popular tahun lalu adalah carian bertemakan kebajikan dan menderma kepada orang lain. 46.6% orang Malaysia percaya bahawa menyumbang kepada masyarakat adalah penting, jika dilihat dari kajian Global Web Index. Tak hairanlah carian beberapa istilah seperti “derma”, “darah” dan “zoo” muncul 5 kali ganda lebih tinggi berbanding tahun-tahun lalu.
Selain tu, carian istilah “SOP” melonjak 4 kali ganda lebih tinggi dalam musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Raya dan Deepavali. Carian tentang SME (small and medium enterprise) pun naik jugak, menunjukkan orang Malaysia tahun lalu lebih berminat untuk beli barangan buatan tempatan berbanding nak cari barangan import. Idea nak jaga alam sekitar agak popular, dimana carian tentang pelitup muka fabrik pun tinggi jugak.
2. Carian mengenai penjagaan diri turut meningkat, semakin ramai yang minat bersenam semasa PKP
Trend kedua popular tahun lepas adalah trend tentang penjagaan diri dan cara nak tingkatkan produktiviti di rumah. Dengan transisi ke alam digital khususnya dalam sektor pendidikan dan pekerjaan, ramai yang nampaknya dah fokus nak mencari alternatif supaya boleh buat kerja di rumah. Sebelum ni, rumah ni adalah tempat korang rehat lepas seharian bekerja atau pergi ke sekolah… tapi sekarang ni, rumahlah tempat korang bekerja dan bersekolah.
Menurut laporan Google, carian tentang produktiviti meningkat sebanyak 20%, manakala carian tentang servis perkhidmatan panggilan video naik ke 2 kali ganda. Agak relevan jugaklah; dulu Skype jelah platform yang kita kenal. Sekarang ni dah ada banyak seperti Zoom dan Google Meet.
Dari segi pembelajaran pulak, ada peningkatan sebanyak 70% untuk carian tentang cara buat laman sesawang. Sementara tu, ramai jugak turut berminat nak tau pasal contoh peta minda dan pembelajaran digital. Dapatan ni selari dengan inisiatif kerajaan tahun lalu yang memberikan akses percuma untuk rakyat Malaysia dengan kerjasama bersama Coursera.
Carian lain berkenaan sukan dan aktiviti senaman yang popular adalah senaman basikal dan helmet basikal. Beberapa lagi carian lain menyentuh penjagaan diri adalah ‘kebaikan bermeditasi’ dan ‘muzik meditasi’. Menarik jugak dapatan ni… kita seolah ada dua segmen masyarakat pulak; basikal sebagai pilihan utama untuk orang yang suka aktiviti luar, manakala meditasi sebagai aktiviti dalam rumah je. Tak kurang jugak, carian mengenai doa turut muncul seperti doa COVID, doa terang hati dan doa elak wabak.
3. Orang Malaysia suka berhibur sambil belajar, banyak pilihan hobi baharu untuk diteroka
Sejak PKP ni, ramai antara korang ni suka cuba bermacam-macam hobi baharu. Terdapat peningkatan carian mengenai kedai buku, audio siar (podcast) di Youtube, cara melukis dan muzik lo-fi. Selain tu, carian-carian lain berkaitan permainan video dan dalam talian turut meningkat. Carian untuk meme meningkat sehingga 86% berbanding tahun lalu. Boleh tahan jugak cara orang Malaysia berhibur ni…
Ada jugak yang malas hadap skrin seharian; diaorang cari pulak pasal cara nak tanam dan tips bagaimana nak tanam bermacam-macam jenis sayuran. Ada yang nak cuba masakan baru, dengan peningkatan carian sebanyak 73% untuk bakar kek dan pastri.
Bukan tu je, ada lebih suka nak buat projek buat sendiri (DIY) daripada cara nak bina rumah sendiri hinggalah cara nak buat website. Menariknya, terdapat peningkatan sebanyak 66% tentang carian pasal cat dinding. Kalau gitu… ramai jugak orang minat nak mengecat semasa PKP.
Carian nak ‘staycation’ pun melonjak jugak, dengan beberapa lokasi carian hangat seperti Kuala Lumpur, Georgetown, Melaka, Kuala Terengganu dan Langkawi. Hal ni suatu yang baik jugaklah kerana secara tak langsung, pelancongan domestik masih jadi pilihan kalbu masyarakat.
4. Ramai berminat nak belajar peluang untuk cari duit, serius nak rezeki dari rumah
Akibat PKP, jaminan dari segi kewangan dan masa depan semakin kabur. Ramai yang terpaksa dilepaskan oleh majikan, atau dicutikan tanpa gaji. Tak kurang ramai jugak yang berhutang sana sini. Demi mengurangkan beban kewangan tersebut, carian nak daftar SSM dan bagaimana nak mulakan bisnes online menjadi carian popular. Sebanyak 40% peningkatan dalam carian “kerja online dari rumah”, menunjukkan rakyat Malaysia gusar dengan masa depan pasaran kerja manual atau ‘kerja pejabat’ hingga sanggup nak kerja dari rumah je dulu.
Carian mengenai bantuan kerajaan termasuklah bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri sendiri pun popular jugak. Beberapa negeri yang ada bantuan khusus ni adalah seperti bantuan dari negeri Sabah dan Sarawak untuk rakyat negeri masing-masing. Misalnya, masa tontonan video-video berkaitan kewangan dicatat 4 kali ganda dari tempoh April hingga Jun 2020 jika dibandingkan dengan tempoh bulan yang sama daripada tahun 2019.
Selain dari carian tentang kewangan, ramai jugak yang turut berminat nak tau perkembangan vaksin dan cara nak tingkatkan sistem imun badan untuk elak jangkitan COVID-19. Carian tentang vitamin naik ke 30%, manakala terdapat peningkatan selama 6 kali ganda untuk platform e-kesihatan.
5. Kesedaran terhadap isu sosial semakin meningkat, termasuklah stigma terhadap kesihatan mental
Susulan perubahan politik yang besar tahun lalu, ramai jugak turut mengambil peluang ni untuk mencari tahu tentang demokrasi. Antara carian lain yang dicatatkan meningkat kadarnya adalah rasisme dan maksud rasis tu. Bagi kami, ni suatu yang menarik kerana kesedaran sosial masyarakat semakin tinggi. Usaha nak cari tahu membuktikan kita semakin terbuka nak kenal dan faham idea-idea baharu.
Isu kesihatan mental turut mendapat perhatian masyarakat. Dua topik yang menjadi antara carian utama dalam kesihatan mental adalah kemurungan dan resah, serta kaunseling rumah tangga. Isu kesihatan mental sememangnya suatu isu yang besar pada tahun lalu, apabila berita-berita mengenai percubaan nak bunuh diri atas bermacam sebab ni begitu kerap dilaporkan.
Sebelum ni kami dah sentuh jugak perihal kesihatan mental, dan talian kaunseling untuk rumah tangga. Untuk pengetahuan korang, kita ada talian khusus untuk korang nak bertanya atau minta bantuan sekiranya berlaku penderaan rumah tangga termasuklah kepada kanak-kanak. Talian Kasih ni beroperasi 24 jam, tol bebas dan ada di WhatsApp. Memang dah ramai orang gunakan talian ni sama ada nak meluah perasaan, nak mohon bantuan untuk diri sendiri atau orang lain, ataupun sekadar nak bertanya je pasal permohonan dan maklumbalas lain.
Mengikut statistik yang dilaporkan Sinar Harian dari bulan Januari sehingga 26 November 2020, Talian Kasih telah menerima hampir 90,000 panggilan berkaitan dengan KPWKM dan sebanyak 59,297 atau 70 peratus daripada panggilan tersebut berjaya diselesaikan pada peringkat Talian Kasih, manakala bakinya dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan.
Korang rasa apa carian hangat yang menarik minat orang Malaysia pulak pada tahun ni ye? Bermacam-macam jugak isu yang dah terjadi pada tahun 2021, padahal baru bulan Mac. Apapun yang penting, kita kena terus setia menjaga norma baharu dan terus cakna dengan hal-hal semasa. Carian-carian semasa kita memperlihat bagaimana tindakan dan reaksi kita terhadap situasi yang berlaku pada waktu tertentu, jadi ia boleh jadi suatu ‘dokumentasi’ jugak terhadap sejarah sosial masyarakat Malaysia.