Pembinaan semula Highland Towers, menteri hanya utamakan pemaju?!

F1
Pembinaan semula Highland Towers, menteri hanya utamakan pemaju?!

Remaja hari ni mungkin mengenali Highland Tower sebagai sebuah kawasan yang ditinggalkan dan berhantu. Penduduk tempatan pulak mengenali Highland Tower kini sebagai kawasan sarang penagih dadah yang bahaya. Namun suatu ketika dahulu, Highland Tower merupakan salah sebuah bangunan 12 tingkat yang meriah, dengan penghuni lamanya rata-rata menetap berkeluarga di sana.

728 X 90

Kejadian pada 1993 mengubah segalanya, khususnya buat keluarga mangsa yang terkorban lepas tembok penahan tanah yang berada di kawasan tempat letak kereta Blok A runtuh akibat gelongsoran tanah dari bukit sekitarnya. Seperti namanya, Highland Tower ni dibina pada 1974 di kawasan lereng bukit. Lepas kejadian tanah runtuh tu, ia dah jadi sunyi sepi.

Highland Tower 1993
Runtuhan Blok A Highland Tower pada 1993.. -Via Astro Awani

Lepas 20 tahun lebih, Highland Tower jadi tempat ‘simpan’ kenangan hitam dan ‘hantu’ masyarakat

Macam kami kata awal tadi, nama Highland Tower sekarang ni cuma jadi salah satu nama popular dalam senarai bangunan berhantu di Malaysia. Kami tak taulah sejauh mana tahap aktiviti paranormal di sana, tetapi yang kami tau adalah dakwaan penduduk setempat yang yakin bahawa kawasan tersebut turut menjadi kawasan bertempatnya ‘hantu-hantu’ masyarakat di dua blok bangunan yang masih berdiri.

Beberapa tahun lalu, polis pernah menembak mati tiga daripada enam penjenayah dalam serbuan yang dilakukan di satu daripada blok kondominium tu. Penduduk setempat jugak kata dua blok yang ditinggalkan itu menjadi sarang penagih dadah selain penjenayah yang menjadikan tempat itu sebagai stor penyimpanan barangan curi mereka.

Seram Highland Tower
Highland Tower yang diambil semula oleh alam… Via TV3

Bagi mangsa yang terselamat, mereka masih lagi menyimpan kenangan hitam tu dalam sanubari mereka. Mengikut temubual Mstar bersama beberapa saksi dan ahli keluarga mangsa yang terkorban pada 2013, ia suatu kenangan yang perit. Misalnya dalam pengalaman Dr. P.G George yang kehilangan isteri dan dua anak perempuannya, tiga bulan pertama pemergian mereka ‘sangat menyakitkan’.

“Amat menyakitkan apabila kehilangan salah seorang ahli keluarga tetapi kehilangan seluruh keluarga… masih adakah semangat untuk meneruskan hidup?… Saya rasa (keluarga saya) bagaikan memanggil saya. Tiga bulan pertama amat menyakitkan… Setiap kali saya keluar, saya mengharapkan ada kenderaan yang melanggar saya. Namun, tanpa pengetahuan saya, adik lelaki saya sentiasa mengawasi gerak-geri saya,”- Seperti yang dilaporkan Mstar

Blok A Highland Tower
Gambar lama runtuhnya Blok A.. Via IAmLejen

Pembangunan semula Highland Tower tak selesai lagi, daripada banglo menjadi tugu dan projek indahkan semula kawasan

Bila masuk tahun 2023 kelak, dah 30 tahun kisah hitam Highland Tower ni. Desakan dan aduan penduduk setempat sebenarnya dah mendapat perhatian ahli Parlimennya, Zuraida Kamaruddin. Isu Highland Tower ditimbulkan kembali pada 2018, apabila Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Tower ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut putuskan untuk bangunkan semula kawasan tersebut sebagai kawasan rekreasi je.

Highlands Tower Rekreasi
Via Facebook

Setahun lepas tu, Zuraida pulak kata tapak Highland Tower tu nak dirobohkan dan dibangunkan semula sebagai kawasan banglo. Ternyata perkara ni agak berbeza dengan apa yang dikatakan hanya setahun sebelum tu, Zuraida lebih utamakan para pemaju yang nakkan kawasan tersebut. Baginya, projek pembinaan banglo tu bukanlah projek pembangunan berisiko tinggi sepertimana projek kondominium bertingkat.

“Setakat ini, maklumat terkini yang saya terima, jawatankuasa itu sedang meneliti punca kuasa pihak mana antara Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mempunyai kuasa untuk merobohkan bangunan berkenaan. Semua laporan sudah siap, cuma kini sedang meneliti pihak mana antara dua agensi itu yang mempunyai kuasa merobohkan. Selain itu, pihak pemaju juga sudah menyuarakan hasrat mereka untuk menyumbangkan dana kira-kira RM2 juta bagi kerja perobohan itu.”- Zuraida Kamaruddin, seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 8 Mac 2019

Seterusnya pada September tahun ni, Zuraida kata proses ambil alih tanah tu dah sampai ke peringkat akhir daripada milik kerajaan negeri menjadi milik hak kerajaan persekutuan. Bila dah selesai urusan tersebut, Highland Tower dapat dirobohkan dan dibangunkan semula mengikut pelan asal dimana ia merangkumi taman rekreasi. Kami tak pasti jika 50 buah banglo yang disebutkan tahun lalu tu termasuk dalam pelan yang dikatakannya.

Bernama melaporkan pada 10 Disember lalu, Zuraida selaku Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang nak bina tugu peringatan. Perkara ni disambut baik oleh Tun Musa Hitam, dimana anak lelaki dan menantunya Carlos Rashid dan Rosina Abu Bakar turut terkorban dalam tragedi tersebut.

“Bila saya sebut taman (seperti dilaporkan sebelum ini), mungkin orang salah faham ia bakal jadi kawasan lapang dengan kemudahan seperti taman permainan. Ia bukan pusat rekreasi sebaliknya apa yang kita ingin bangunkan ialah tugu peringatan dikelilingi taman kecil dan laluan pejalan kaki,”- seperti yang dilaporkan Bernama

Ampang Jaya Hillview Zuraida
Via MPAJ

Walau bagaimanapun, KPKT kemudiannya menjelaskan bahawa pelan pembangunan tu tak bermaksud nak buat tugu. Sebaliknya mereka hanya nak indahkan semula kawasan tragedi tu dan meletakkannya sebagai tapak bersejarah di Malaysia. Di mata rakyat, KPKT seolah tak konsisten dengan rancangan sebenar pembangunan di Highland Tower. Risiko pembangunan di kawasan tersebut perlulah diambil kira, termasuklah faktor keselamatan yang kena ditambah baik sekiranya ada pembangunan bakal dijalankan nanti.

Highland Tower layak diangkat sebagai tapak bersejarah, namun jangan dilupakan tapak sejarah lain di Malaysia

Dengan kesan tragedi Highland Tower yang meragut nyawa puluhan rakyat Malaysia dan penekanan semula terhadap kepentingan pembangunan yang lebih selamat, sudah tentu Highland Tower layak diangkat sebagai tapak sejarah. Tak kiralah sekadar nak bina tugu peringatan ataupun digazetkan jadi tapak bersejarah, nilai sejarah tapak tersebut memberi impak yang tinggi untuk negara.

Namun bila sebut pasal tapak bersejarah, kami yakin berita ni jugak membuatkan kita ingat kembali mengenai keadaan tapak bersejarah yang ada di Malaysia ni. Masih banyak yang belum diteroka, didokumentasikan, dipelihara dan dipulihara sebagaimana yang kita harapkan. Tapak warisan ketara memerlukan kewangan, komitmen, minat dan dedikasi yang tinggi untuk terus terpelihara.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top