Filem Babi karya Namawee dikatakan menghina Malaysia, ini respons Namawee…

Fok

Namawee bukanlah nama asing di Malaysia ni. Dulu mencetuskan kontroversi, kini kembali lagi namanya disebut apabila filem di bawah arahannya tu menang banyak anugerah pencalonan kat negara asing tapi dicemuh dan dikutuk pulak di negara sendiri. Teruk sangat ke filem ni, sehinggakan ramai yang nak buat laporan polis ke atas Namawee?

Babi Namawee
Via The Rakyat Post

“Babi” didakwa boleh cetus konflik perkauman, ada pihak kata mesti dihalang untuk ditayangkan kat Malaysia

Filem yang kami sebutkan ni bertajuk “Babi”, merujuk pada konteks perkataan nak maki orang. Ia telah menang banyak anugerah luar negara seperti ARFF Berlin 2020, Taipei Film Festival 2020, International Thai Film Festival 2020 dan Open World Toronto Festival Film 2020. Setakat pengetahuan umum, filem ni disifatkan sebagai filem pasal kejadian yang berlaku kat sekolah.

728 X 90

Mengikut laporan Malay Mail, skrip filem tersebut sudahpun siap 7 tahun yang lalu. Akan tetapi kerana sifat filem tu yang dianggap sebagai kasar dan menyentuh isu sensitif, Namawee yakin mulanya mereka akan alami kesukaran untuk dapatkan dana kewangan. Filem tu dibikin dengan kekangan bajet yang sedikit dan dijadikan sebuah filem bebas. Malah, dia jugak dilaporkan tak mohon kelulusan tayangan filemnya di Malaysia dan hanya mohon daftar filem kat festival luar negara je.

Namawee Bts Babi
Via Juiceonline.com

Namun sesudah filem ni siap, dan poster filem ni disebarkan di laman maya… dari situlah ramai yang kecam dan maki Namawee. Kami pasti ketika pembikinan filem, takde orang peduli sangat pun pasal projek filem tersebut. Mengikut dakwaan Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi, poster tu boleh mencetuskan ketegangan kaum kerana ada perkataan yang menyebut kaum, diikuti gelar tak baik.

“Sudah banyak kali dah dia buat hal. Kenapa perkataan Melayu letak di tengah-tengah poster dan bangsa lain di tepi-tepi saja? Adakah dia nak membuat provokasi terhadap orang Melayu?

“Di dalam poster tersebut juga tertera ayat hinaan ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’ yang saya risau boleh menimbulkan ketegangan kaum dan bangsa di Malaysia,”- Seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Pn Pemuda Babi Filem Namawee
Via Malaysiakini

Selain tu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pun turut buat laporan polis serta digesa oleh SKMM untuk kemukakan aduan bagi meneliti sekiranya filem tu melanggar undang-undang. Seniman kata SKMM jugak haruslah meminta Youtube padam filem tersebut kerana filem tu dilihat mampu memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sehingga artikel ni ditulis, Youtube belum lagi memberi respon berhubungan permintaan SKMM.

Di sebalik tabir “Babi”, Namawee pertahankan filem tersebut dan musuh sebenar adalah ekstremis yang suka menghasut demi tujuan politik

Mengikut laporan Gempak.com, Namawee mempertahankan filem tersebut dan membela niat pembikinan filem tu tak berlandaskan pada hasrat tak baik dan memalukan negara. Bahkan filem tu dikatakan dibikin untuk tujuan mempromosikan perpaduan dan harus dilihat sebagai usaha kesedaran untuk melihat masalah sebenar dalam isu perkauman.

“Filem [BABI] telah diiktiraf dan menerima pencalonan di festival filem antarabangsa di empat negara berbeza. Bagaimanapun, filem ini tidak akan dikeluarkan di Malaysia, dan kami tidak akan memohon pada mana-mana badan atau pertubuhan di Malaysia. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai terlalu ramai EKSTREMIS yang tak tahu malu, suka menghasut dan sering menggunakan isu perkauman untuk mencapai tujuan politik mereka masing-masing. Namun, hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara unik yang berbilang kaum dan majmuk, di mana rakyat saling menghormati dan menerima satu sama lain,” – Namawee, seperti yang dipetik Gempak.com

Tambah lagi, semua pihak yang terus buat laporan polis ni tak menonton isi kandungan dan meneliti pengajaran yang cuba disampaikan. Isu yang diadukan hanyalah kerana reka bentuk poster tu yang dikatakan oleh orang politik sebagai suatu yang dapat mencetus perkauman. Jelas Namawee lagi, pihak penggambaran filem tersebut jugak terdiri daripada berbagai kaum dan dapat bekerja dengan baik.

Kami turut menonton sedikit sedutan daripada video yang menayangkan di sebalik tabir filem “Babi”, di mana ia turut menampilkan ramai bakat muda yang diasah potensi mereka untuk bergiat dalam dunia seni. Tetapi yang lebih menarik perhatian kami adalah idea di sebalik filem tersebut. Namawee kata filem ni merupakan adaptasi dari kisah sebenar… jadi apa kisah sebenar yang menginspirasikan filem ni?

Dikatakan pada tahun 2000, tercetusnya peristiwa rusuhan dan pergaduhan kaum kat sebuah sekolah di selatan Malaysia. Peristiwa tersebut dimarakkan dengan beberapa isu dalam talian, dan filem ni turut cuba menonjolkan masalah mengenai sistem pendidikan negara, masalah perkauman tu sendiri dan masalah sosial yang terjadi dalam kalangan pelajar sekolah tu. Namun disebabkan kawalan media oleh pihak kerajaan pada masa tu, maka perkara tu tidak diketahui oleh rakyat Malaysia.

Buat masa ni, kami belum mendapat sebarang maklumat yang mengesahkan seandainya peristiwa tersebut benar-benar berlaku. Walaupun begitu, apa yang kami pasti adalah isu perkauman bukanlah suatu perkara yang harus dipandang remeh, termasuklah buat orang politik yang cuba untuk gunakan isu perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat atau mengarah perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting untuk diperkatakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *