Watak Sergeant Hassan betul-betul wujud, pernah bunuh 11 anggota komunis

‘Sergeant Hassan’ yang diterbitkan pada 1958, bukanlah sebuah filem biasa-biasa. Garapan cemerlang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ni membabitkan plot yang berkisar kepada penjajahan Jepun di Tanah Melayu sewaktu era Perang Dunia Kedua. Karya hebat ni ditayangkan di pawagam pada Ogos 1958, iaitu sempena sambutan ulang tahun pertama kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kenal lagi mamat ni? Via My KMU

Filem yang dibaluti unsur patriotisme, sejarah, drama dan perjuangan ni adalah terbitan Malay Film Productions Ltd. Filem ini asalnya diarahkan oleh Lamberto Avellana dari Filipina, tetapi beliau tidak sempat menyiapkan filem ini sepenuhnya, akibat masalah dalaman dengan syarikat produksi dan para pelakon. Dengan tenang dan yakin, P. Ramlee yang asalnya adalah penolong pengarah kemudiannya bertindak untuk meneruskan pembikinan dengan jayanya.

Tanah Melayu memang terkenal dengan kekayaan hasil bumi

Filem yang menelan belanja 700,000 ringgit ini sangat dinanti-nantikan kerana menggabungkan tiga orang yang pernah memenangi Anugerah Pesta Filem Asia iaitu P. Ramlee, Avellana dan A. Bakar Ali (jurukamera). Dirakam di Port Dickson, filem ini menggunakan ratusan khidmat pelakon, yang terdiri daripada kebanyakannya daripada tentera. Antara yang membintangi Filem ‘Sergeant Hassan’ adalah: P. Ramlee (Sarjan Hassan), Saadiah (Salmah), Salleh Kamil (Buang), Daeng Idris (Pak Lebai), Aini Jasmin (Minah), Jins Shamsuddin (Aziz), dan Kapten John Gray (Kapten Holiday – RAMD, platun Singapura).

Lagu merdu dan lirik puitis daripada filem ini tidak lain, pastinya “Tunggu Sekejap”, nukilan P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

Seperti yang kita sedia maklum, Jepun mula melebarkan empayarnya dengan impian besar bagi menubuhkan ‘Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya’, selepas lumpuhnya Amerika Syarikat menerusi serangan mengejut di Pearl Harbour, Jepun pada 7 Disember 1941. Selain Indonesia, Singapura, Kepulauan Borneo, Filipina dan Hong Kong, pastilah Tanah Melayu atau Malaya, menjadi sasaran mereka.

Lumpuhnya armada laut Amerika Syarikat membolehkan Jepun menguasai kawasan di selatan Asia dengan lebih mudah. Selain faktor hasil bumi seperti bijih timah, bijih besi dan rempah ratus, lokasi yang strategik untuk pengkalan laut dan udara juga menjadi pertimbangan pihak Jepun. Tanah Melayu merupakan pengeluar 38% getah dunia dan 58% bijih timah dunia ketika di bawah British.

Via Tenor

Askar Jepun relaks je masuk Tanah Melayu guna basikal

Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu merupakan wilayah terkaya Empayar British. Justeru, ramai peniaga Jepun berniaga di Tanah Melayu selain terlibat dalam sektor perbankan dan perlombongan, di samping mengumpul modal untuk perang, serta menjalankan kerja-kerja perisikan.

Di Tanah Melayu, jauh sebelum 7 Disember 1941, pihak Jepun telah pun melakukan perisikan terhadap kekayaan hasil serta bentuk muka buminya. Penyelidikan serta pemerhatian semenjak sekian lama inilah yang menyebabkan mereka memilih basikal sebagai kenderaan ketika mula memasuki Tanah Melayu. Para pemimpin tentera British juga memandang rendah kepada keupayaan tentera Jepun, dengan menganggap hutan dan kawasan paya bakau di Tanah Melayu yang luas, pastinya sukar ditembusi. Dari Selatan Thailand, tentera Jepun mara ke Jitra dan Kota Bharu, sebelum maju ke Sungai Perak, Slim River, Kuala Lumpur, Sungai Muar dan Singapura.

Guna basikal ja bro. Via EHM

Kekalahan British di Singapura dan Tanah Melayu dianggap antara yang paling besar dalam sejarah mereka, melibatkan 9,000 kematian serta 130,000 orang lagi ditangkap oleh Jepun. Strategi yang digerakkan oleh ‘General Officer Commanding Malaya’, Leftenan Jeneral Arthur Ernest gagal menewaskan kelicikan Jeneral Yamashita.

Penting untuk dinyatakan di sini bahawa antara faktor kenapa Jepun mudah menewaskan British di Tanah Melayu, adalah kerana British memutuskan untuk menghantar kebanyakan pesawat perang mereka ke Eropah, bagi membantu Soviet Union yang menghadapi serangan mengejut pihak Nazi Jerman pada 22 Jun 1941, yang digelar ‘Operasi Barbarossa’.

Via Tenor

Lebih merumitkan situasi, Soviet dan Jerman asalnya bersekutu ketika perang menentang Poland, namun menghantar 3 juta orang tentera untuk menawan Soviet. Menjelang Disember 1941, tentera Jerman telah mara hampir 1,000 batu di sempadan Moscow. Jepun telah menguasai Tanah Melayu, dari 31 Januari 1942 hingga 4 September 1945, apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh Tentera Berikat.

Sebenarnya watak Hassan ni bukan rekaan semata-mata, tapi betul-betul wujud

Karya yang dianggap sebagai satu penghormatan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ini sebenarnya mengangkat watak sebenar yang wujud. Sarjan Hassan Othman, salah-seorang pejuang negara adalah wira yang tidak didendang itu. Namun, berbeza dengan filem, Sarjan Hassan yang sebenar berkhidmat ketika era serangan komunis, dan bukannya Jepun. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dikatakan membeli skrip yang ditulis sendiri oleh Has­san de­ngan harga RM10,000, selain imbuhan diberikan oleh penerbit kerana menggunakan namanya.

Lahir pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Beliau dikatakan menyertai tentera selepas isteri (Siti Zabedah Ali), ibu mertua dan anak saudaranya dibunuh oleh pihak Bintang Tiga.

Pada 1950 hingga 1953, beliau telah membunuh 11 orang anggota komunis ketika menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat RAMD. 10 hari sebelum pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Sarjan Hassan juga dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di WaterFall Estate, Rawang, Selangor yang didakwa cuba mensabotaj majlis tersebut.

Hassan yang sebenar. Via USM

Hassan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 1967 selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai kapten. Allahyarham Sarjan Hassan meninggal dunia pada 30 April 1991 ketika berusia 63 tahun, akibat sakit jantung di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan. Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) sendiri pernah mengadakan pameran “Sarjan Hassan: Pahlawan Terbilang”, di Muzium Negeri Sembilan, pada 16 hingga 31 Ogos 2016.

Lambang cinta askar Melayu terhadap tanah air

Sesungguhnya, Filem Sargeant Hassan menceritakan bagaimana seorang askar Melayu yang sangat mementingkan jati diri serta cintakan tanah air, melebihi dirinya. Hassan yang sering dicaci dan disindir saudara serta rakan-rakannya, tidak mudah mengalah dan tetap menyemai cita-cita untuk mempertahankan negaranya. Karya ini juga menyentuh tentang isu pengkhianatan, yang sentiasa relevan, kerana ada yang sanggup menjadi duri dalam daging, semata-mata demi kelangsungan hidup serta kepentingan diri. Sifat kepahlawanan dan kewibawaan watak utama filem ini, seharusnya menjadi inspirasi kepada kita semua.

Mengenang dialog Sarjan Hassan selepas menewaskan Buang:

“Dengarlah wahai kawan kawanku sekalian! Aku berharap tiada lagi manusia seperti ini dalam tanah air kita, kerana manusia yang seperti inilah yang akan merosakkan keturunan kita. Ya, memang bangsa kita masih muda dan masih lemah. Aku tak peduli itu semua! Harapanku hanyalah kita sesama bangsa bersatu padulah hendaknya!” Bangkit!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *