Ahli Bersatu yang beralih sokongan diminta kosongan kerusi

f1

Enam Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang berpaling tadah dengan mengisytiharkan sokongan terbuka masing-masing kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicabar melepaskan jawatan sebagai ahli parti itu sebelum dipecat.

Cabaran itu disuarakan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, selepas mendakwa enam Ahli Parlimen terbabit berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parti.

“Kita cabar mereka mengisytiharkan berhenti sebagai ahli parti dan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen sebelum diusir secara paksa melalui pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.

“Tiada agenda lain akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas BERSATU, melainkan hanya meminda perlembagaan Fasal 10 Perlembagaan parti iaitu terhentinya keahlian apabila tidak lagi menyokong perjuangan parti,” katanya.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU mengadakan program santai bersama peserta Payang Walk di Dataran Shah Bandar di sini.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu dibuat berikutan fenomena setia pada parti, tetapi dalam masa yang sama menyokong parti lawan seperti dilakukan enam ahli parlimen berkenaan.

Katanya, pindaan fasal 10 itu hanya terpakai kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) yang berpaling tadah menyokong parti lawan.

“Apabila pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu diluluskan, keahlian enam ahli Parlimen itu secara automatik tergugur sebagai ahli dan kerusi parlimen yang diwakilinya kosong bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

“Kita cabar enam Ahli Parlimen itu mengisytiharkan berhenti daripada keahlian secara terhormat, sebelum dipaksa melalui mesyuarat Perhimpunan Agung Khas parti,” katanya.

Katanya, selepas enam Ahli Parlimen itu dilucutkan keahlian mereka, surat pemakluman pemecatan akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Enam ahli parlimen itu bukan sahaja tergugur keahlian secara automatik, tetapi bakal dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Lompat Parti,” katanya.

Sokong Anwar? Anda perlu kosongan kerusi demi maruah

Enam kerusi Parlimen milik BERSATU perlu dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu hari ini, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Jika ia kosong, maka pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di semua enam kerusi terbabit.

Sehubungan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat terbabit untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Anwar.

“Jika mereka kekal dengan pendirian menyokong Perdana Menteri, maka selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa.

“Dengan itu, kerusi Parlimen yang disandang enam wakil rakyat terbabit akan dikosongkan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Khas itu, di sini.

Terdahulu, usul pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU itu dikemukakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebelum ia diluluskan selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir.

Pindaan itu dilakukan untuk menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ditanya mengenai isu retrospektif atau kesan terkebelakang dalam keputusan pindaan semalam, Muhyiddin berkata ia tidak menjadi isu kerana enam Ahli Parlimen itu menyatakan masih lagi ahli BERSATU dan mereka juga tidak disingkirkan parti sehingga sekarang.

“Bagaimanapun, selepas pindaan ini diluluskan, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan hantar surat untuk tanya balik (mengenai pendirian untuk menyokong Anwar).

“Jika dia kata ya (kekal menyokong Perdana Menteri), maka terkesanlah sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan dan kerusi itu mesti dikosongkan,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi secara sukarela, Muhyiddin berkata itu hak mereka.

“Soal dia nak kosongkan secara sukarela, itu soal dia tapi ikut peraturan yang sudah kita luluskan, keputusan itu selari dengan Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Sebelum ini tiga daripada enam Ahli Parlimen BERSATU iaitu Syed Abu Hussin, Mohd Azizi dan Suhaili dilapor menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi masing-masing sekiranya perlu susulan pindaan perlembagaan BERSATU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *