Kurang dari 48 jam sebelum seorang pemberi maklumat dan dua Adun ditetapkan untuk didakwa kerana rasuah di Sabah, kita dikejutkan dengan enam lagi ahli politik yang dikatakan terlibat dalam skandal perlombongan. Mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – yang kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan, dua timbalannya Ellron Alfred Angin serta Robert Tawik, pemangku Presiden PBS Dr Joachim Gunsalam, pendahulunya Dr Maximus Ongkili, dan timbalan presiden parti itu, Jahid Jahim.
“Jumlah keseluruhan yang terlibat (untuk enam individu terbabit) ialah hampir RM4 juta – RM3.96 juta tepatnya”, dakwa sumber itu
Sebagai tambahan kepada bukti video, sumber terbabit mendakwa bahawa mesej WhatsApp dan dokumen lain wujud untuk menyokong transaksi tersebut. Satu tangkapan skrin yang dikaitkan dengan dakwaan terhadap Maximus – masih menjadi Presiden PBS pada masa rakaman pada Jan 2024 – menampilkan individu ketiga yang tidak dikenali, yang menurut sumber itu dikaitkan dengan ahli politik terbabit.
Pengerusi Bersih minta kerajaan serius dalam RUU Pendanaan Politik
Susulan pendedahan enam lagi nama ahli politik Sabah yang dikaitkan dengan skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan kegagalan kerajaan dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz juga mempertikaikan keikhlasan kepimpinan pentadbiran Madani dalam merealisasikan undang-undang yang telah lama dijanjikan itu.
“Kejutan demi kejutan tentang isu rasuah dan salah laku hanya bergema di kalangan rakyat marhaen. Tapi mereka di atas masih selesa seperti ‘business as usual’,” katanya
Muhammad Faisal berkata demikian mengulas pendedahan terbaru Malaysiakini berhubung dakwaan rasuah membabitkan kepimpinan kerajaan negeri Sabah. Akhbar semalam mendapatkan nama enam lagi ahli politik yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah lesen cari gali mineral daripada pemberi maklumat.

Mengulas lanjut pelaksanaan RUU Pendanaan Politik, Muhammad Faisal berkata perbincangan mengenai penggubalan akta tersebut hanya akan berakhir dengan janji manis dan tanpa sebarang pelaksanaan konkrit.
“Pemain politik hanya pandai bercakap tentang kajian Akta Pendanaan Politik untuk sedapkan hati rakyat tapi apa langkah pelaksanaannya?Tak perlu guna helah kajian tentang ‘modul’ apa yang nak digunakan untuk tak nak laksanakannya. Ia bukan rocket science kerana baseline jelas yang dituntut adalah ketelusan penerimaan dana politik dan perbelanjaan politik supaya tidak berlaku lagi amalan curang dan salah laku pemain politik melibatkan wang,” tegasnya.
Sehubungan itu, Muhammad Faisal berkata pihaknya turut menuntut agar sebarang perbincangan antara kerajaan dan parti-parti politik mengenai akta ini dibuat secara terbuka, agar rakyat dapat menilai sendiri siapa yang benar-benar komited, dan siapa yang cuba menghalang usaha reformasi ini.
“Kepada kerajaan Madani, kuasa di tangan anda. Akta ini hanya memerlulan majoriti mudah,” katanya.
Muhammad Faisal juga turut mengingatkan bahawa rakyat sedang menilai keseriusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menunaikan janji reformasi dan membanteras rasuah.
“Rakyat sedang lihat betulkah kerajaan pimpinan Anwar serius dengan politik keyakinan nak hapuskan rasuah. Kian hari rakyat kian bosan dengan slogan dan retorik politik kosong,” tambahnya.
Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dilaporkan berkata kerajaan mungkin tak dapat meluluskan undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik sebelum pilihan raya umum ke-16 yang dijangka menjelang Februari 2027.
Azalina, ketika berucap pada perbincangan dasar penggubalan Rang Undang-undang Pendanaan Politik, berkata ini berikutan keperluan kajian menyeluruh dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan, khususnya orang ramai. Gesaan Bersih itu juga susulan perhimpunan antirasuah pimpinan pelajar di Kota Kinabalu hujung minggu lalu, diikuti perhimpunan Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Kuala Lumpur semalam.
Pemuda PKR Sabah tuntut hal yang sama dengan BERSIH
Pemuda PKR Sabah menuntut proses gubal akta pendanaan politik dilakukan segera demi kekang kuasa dipusatkan di tangan pihak bersumber kewangan besar, sekali gus menjadikan medan politik ruang eksklusif golongan elit. Ketua Penerangan Mohd Nur Hilmie Milus, berkata Sabah sekian lama bergelut budaya politik wang dan ‘naungan’ yang mencengkam sistem pentadbiran serta keyakinan rakyat.
Justeru, Pemuda PKR Sabah menuntut proses penggubalan akta pendanaan politik segera dilaksanakan melalui suatu pendekatan terbuka dan inklusif.
“Tanpa undang-undang mengawal dan menyelia pendanaan politik secara adil dan telus, arena politik seperti di Sabah akan terus terperangkap dalam kitaran sama, iaitu politik yang kaya mengalahkan idealisme, kuasa menggantikan amanah, dan pengaruh politik mengatasi prinsip,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, hal itu secara langsung menafikan potensi sebenar dalam kalangan rakyat menawarkan kepimpinan alternatif yang lebih bersih dan tulen.

“Ketiadaan peraturan yang ketat dalam aspek dana politik turut menyebabkan medan ini menjadi tertutup kepada ramai anak muda, wanita, aktivis masyarakat, dan calon rakyat biasa yang memiliki kepimpinan dan wawasan, namun tidak memiliki sumber kewangan besar.”
Nur Hilmie berkata, pelaksanaan akta itu akan mewajibkan pendedahan sumber kewangan oleh semua parti dan calon secara telus dan bertanggungjawab.
“Komitmen ini perlu diteruskan dan direalisasikan dalam semangat Malaysia Madani yang menjunjung prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, dan integriti institusi,” katanya.
Menurutnya, Jerman, Kanada, dan United Kingdom telah lama mewajibkan pendedahan sumber dana politik, menghadkan sumbangan individu, dan melarang pembiayaan asing serta korporat yang tidak telus.
Demontrasi untuk sedarkan kerajaan beberapa hal yang tak betul
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 menggesa kerajaan memperkukuh integriti sistem perundangan serta memperkasa institusi pencegahan rasuah negara. Gesaan itu antara beberapa tuntutan utama yang dibuat sempena Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara.
Sekretariat itu turut menggesa agar pemisahan kuasa antara Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya disegerakan, menerusi pindaan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, bagi menjamin kebebasan fungsi pendakwaan tanpa pengaruh eksekutif.

Selain itu, sekretariat turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kedudukan sebagai institusi bebas di bawah Perlembagaan, serta diberi autonomi penuh dalam melaksanakan fungsi siasatan dan pendakwaan.
“Penambahbaikan dalaman turut disarankan, termasuk penetapan had penggal ketua pesuruhjaya SPRM, bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban jangka panjang,” kata sekretariat itu
Sekretariat itu juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA) berdasarkan saranan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) bagi memastikan pembiayaan politik lebih telus dan berakauntabiliti. Turut dibangkitkan permintaan agar kerajaan menjelaskan status kes kematian Teoh Beng Hock, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).
“Isu itu masih menjadi perhatian rakyat dan perlu diberikan keutamaan dalam usaha menegakkan keadilan serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya.
Menurut sekretariat itu, tuntutan-tuntutan berkenaan dianggap sebagai langkah minimum yang perlu dilaksanakan segera bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi dan integriti dalam pentadbiran.
Sekretariat itu menegaskan mereka akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dalam mengangkat isu ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam, selaras dengan aspirasi Malaysia yang bebas daripada rasuah.