Australia terbakar teruk, Perdana Menteri diorang relaks je baru balik dari melancong

F1a

Ketika kita tengah gembira bercuti dengan keluarga, atau tengah sibuk dengan kerja sambil nak fikir azam apa menjelang 2020, rakyat Australia pula dilanda kebakaran hutan yang lebih besar dan lebih dahsyat dari kebakaran hutan Amazon dulu. Setakat ni, lebih dari 20 orang dah terbunuh manakala lebih 400 juta haiwan mati terbakar kerana tak sempat diselamatkan.

Koala Terbakar
Kesian koala… Via Abc.net.au

Kenapa hutan Australia boleh terbakar, kasihan Koala sampai haus…

Kalau korang imbau semula peristiwa kebakaran kat Australia, boleh dikatakan selalu jugaklah benda ni berlaku bila negara mereka alami cuaca panas dan kering. Tak sama macam negara kita, suhu mereka boleh cecah sehingga 50 darjah celcius! Malaysia punya paling tinggi pun, dalam 40 darjah celcius dan ia direkodkan hanya berlaku sekali je iaitu pada 1998 di Perlis.

30 darjah celcius pun kita dah lencun berpeluh. Via Giphy

Biasanya kebakaran hutan kat Australia berlaku kerana faktor alam, ditambah lagi dengan keadaan hutan yang kering dan panas. Kadangkala boleh jadi ia disebabkan terkena guruh dan kilat, lalu buatkan daun-daun kering tu terbakar. Ditambah lagi dengan keadaan angin yang kuat, daun kecil yang terbakar pun boleh melarat dengan cepat hingga serata kawasan hutan berdekatan.

Sejak Julai 2019 lalu, memang teruk jugak keadaan panas kat sana. Pernah tular cerita seekor koala yang menagih air kat para penunggang basikal, sedangkan koala ni pemalu. Takut dan segan kat manusia. Tapi sebab terlalu haus, koala tu kena minta air jugak.

Bukan tu je, catuan air pun turut diadakan supaya bekalan air tak habis cepat ketika musim kering mereka ni. Beberapa kawasan di New South Wales dijangkakan akan kehabisan air jika taburan hujan masih lagi tak cukup untuk tampung keperluan air di sana. Sungai Macquarie, sungai utama yang mengairi keperluan domestik di tiga lagi kawasan iaitu Dubbo, Cobar, Nyngan dan Narromine pun turut dijangkakan kering dan tak berupaya membekalkan air secukupnya.

Sebab tu lah, kekurangan air ni pun salah satu masalah yang dilanda oleh rakyat Australia. Chris Hemsworth pun marah bila Daily Mail suka hati timbulkan gosip bahawa dia ada minta sebuah lori air di belakang rumah untuk siram kebun kat tepi rumahnya. Katanya, benda ni tak boleh dibuat main sebab semua orang merana dalam cuaca kering dan panas tu.

Chris Hemsworth Australia
Kan dah kena marah oleh Thor… Via Meme

Memang ada jugak orang salahkan manusia sebab mulakan kebakaran dulu. Pada November lalu, seorang pemuda sukarelawan yang sepatutnya bertugas padamkan kebakaran berumur 19 tahun pulak didakwa cetuskan kebakaran di Bega Valley. Manakala pada bulan yang sama, Gavin James Gardiner, 51 tahun, pula didakwa kerana mulakan kebakaran untuk guna semula tanah agar dapat tanam marijuana. Dahlah bakar, tak tau pula dia nak kawal kebakaran tu. Hmm…

New South Wales antara paling teruk, isytihar darurat…

Susah jugak sebenarnya kami nak tengok gambar-gambar menyayat hati mangsa kebakaran di Australia ni. Ramai kehilangan harta benda, rumah malah orang dan haiwan kesayangan. Paling takpun, bangkai-bangkai haiwan yang rentung di tepi rumah. Bayangkanlah kalau korang berada kat tempat mereka; mampu ke korang nak hilang semuanya sekelip mata?

Australia Mangsa Api
Seorang mangsa yang terselamat, Melinda Plesman tengah tengok sisa rumahnya yang terbakar. Via CNN

Pada Disember 2019, New South Wales isytiharkan darurat berikutan jerebu yang teruk dan dianggarkan lebih dari 100 kebakaran aktif yang perlu ditangani oleh pihak bomba. Bila dah diisytiharkan darurat ni, secara langsung kuasa pentadbiran New South Wales akan diberikan kepada Rural Fire Service termasuklah boleh tutup sebarang kawasan, laluan jalan atau kosongkan mana-mana kawasan di New South Wales.

Peta Kebakaran Australia
Banyak lagi sebenarnya kawasan yang terbakar. Via Global News

Darurat ni merupakan darurat kedua, darurat pertama dah diisytiharkan pada 11 November 2019. Kemudian baru-baru ni lagi, darurat ketiga diisytiharkan iaitu pada awal Januari tahun ni. Ramai pelancong luar diarahkan untuk keluar dari kawasan tersebut kerana keadaan sekeliling masih belum ‘selamat’ kerana faktor kekuatan angin dan suhu dah lebihi 40 darjah celcius. Beribu-ribu penduduk pula hanya boleh tunggu diselamatkan dari kawasan pantai je. Yang tinggal hanyalah para sukarelawan dan pihak bomba.

Setakat ni pihak berkuasa hanya mampu keluarkan arahan dan pastikan agar semua penduduk selamat keluar dari kawasan mereka. Tentera Laut Australia dah bersedia hantar beberapa kapal tentera yang boleh muatkan 500 hingga 1000 orang, tapi mereka kena panjat pulak guna tali untuk naik ke kapal tu. Satu lagi kekangan untuk para penduduk tua dan penduduk kurang upaya, jadi mereka akan naik kapal tentera udara pula.

Australia Api Kapal
Antara yang diselamatkan oleh tentera laut Australia. -Via BBC

Scott Morrison dimaki ‘bodoh’, rakyat marah dengan kerajaan…

Begitulah hati rakyat; jika sebuah komuniti penduduk lain sakit dicubit, yang lain pun marah jugak. Kejadian ni bukanlah kejadian pertama untuk Australia dan sepatutnya, kerajaan dah bersedia dengan lebih baik untuk tangani masalah yang akan berlaku ketika musim kebakaran bermula. Tapi ketika rakyat Australia tengah dahaga, kepanasan dan gusar dengan keselamatan mereka, Perdana Menterinya tengah seronok bercuti di Hawaii.

Kepulangannya di Australia nampak tak melegakan rakyat, sebaliknya lebih ramai yang tepis tangannya ketika dia cuba nak salam rakyat di kawasan pinggir bandar Corbago, New South Wales. Dua orang meninggal dunia akibat kebakaran di sana. Dah nama Perdana Menteri kan, takkanlah ada hati lagi nak bercuti bila dah tau negara tengah terbakar?

Scott Morisson ni sudah lama dikritik tentang bagaimana dia nak mengatasi masalah kebakaran di Australia. Menurut Sarah Maddison, seorang pensyarah politik di Universiti Melbourne:

“Krisis kebakaran dah berlangsung selama dua bulan, dan nampaknya dia baru bangun (pada Disember ini). Hal ini suatu peringkat ketidakcekapan yang baharu…” – seperti yang dilaporkan oleh Financial Times

The Guardian kemudiannya melaporkan sejak Mei 2019, sebuah kumpulan bukan kerajaan yang dipimpin oleh bekas ketua pesuruhjaya NSW Fire and Rescue, Greg Mullins beri amaran mengenai risiko kebakaran hutan serta nak cadangkan agar tambah lebih banyak jentera kepada bomba.

Pada 9 November 2019, Carol Sparks yang merupakan ketua bandar Glen Innes dah diejek sebagai “inner-city raving lunatics” oleh Timbalan Perdana Menteri Australia bila Sparks kaitkan perubahan cuaca, kemarau dan kekurangan air hujan dengan kebakaran hutan. Glen Innes pada waktu ni dah alami kebakaran hutan yang teruk hingga ada yang maut.

Api Tinggi
Bila dibandingkan saiznya, Australia betul-betul kena baiki cara mereka tangani isu alam sekitar Via Statista

Pada bulan Disember 2019, kerajaan Scott Morrison masih lagi menafikan masalah kebakaran hutan ni sebagai suatu masalah besar dan menolak banyak laporan alam sekitar sebagai ‘tak berasas’. Pada 16 Disember, dia didakwa tengah bercuti dan hanya pada 22 Disember, barulah dia kembali bekerja dan menyatakan bahawa polisi alam sekitar yang sekarang ni dah cukup. Hanya pada 4 Januari, dia kerahkan bantuan ketenteraan untuk bantu pihak sukarelawan dan bomba.

Patutlah ramai marahkan dia… nampak sangatlah kerajaan pentadbiran Morrison ni lambat buat kerja dan dilihat tak dengar kegusaran rakyat. Lebih menghairankan lagi bila mereka seolah merendahkan masalah perubahan cuaca sedunia terhadap Australia.

Krisis alam ni tanggungjawab semua, ramai berhati perut nak tolong…

Sekarang ni, dah ramai orang yang nak tolong Australia termasuklah rakyat kita. Andrew Goledzinowski, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia menulis ciapan kat Twitter mengenai respons kita terhadap situasi kebakaran di sana. Rata-rata orang Malaysia memang peduli pasal krisis antarabangsa, bukan setakat di dunia Islam je.

Selain tu, kita pun turut tawarkan bantuan pasukan bomba dan penyelamat kita kepada Australia. Timbalan Perdana Menteri kita, Dr. Wan Azizah kata jika Australia perlukan bantuan, kita boleh tawarkan pasukan kita dalam memperhebat usaha para bomba dan penyelamat serta sukarelawan nak padamkan api di sana.

Kat sana jugak, komuniti Islam pun lakukan solat hajat secara berjemaah agar hujan dapat turun untuk redakan kebakaran api yang dikhuatiri semakin teruk jika keadaan suhu yang panas, kering dan berangin masih lagi berlangsung. Penganut Kristian pun turut hadir untuk sokong acara umat Islam di sana. Macam kami katalah, krisis alam sekitar adalah tanggungjawab manusia tak kira agama, bangsa dan negara. Kita pun hanya mampu bertindak atas kemampuan kita sendiri.

Solat Islam Hujan
Solat hajat seramai lebih dari 50 orang Islam di Adelaide. -Via Daily Mail

Kalau korang mampu tolong dari segi kewangan, ni ada beberapa badan bukan kerajaan yang perlukan bantuan kewangan. Banyak jugak sebenarnya yang perlukan dana serta pakaian untuk mangsa yang terlibat. Takde duit? Takpe. Korang doakanlah kesejahteraan mereka yang ada kat sana. Dalam kesempatan ni, kami turut berdukacita dengan musibah ni dan turut mendoakan kesejahteraan buat rakyat Australia.

Science Alert melihat masalah ni tak macam masalah kebakaran hutan biasa-biasa je; ia sangat teruk sampaikan kebakaran tu ‘mencipta putaran cuaca’ tersendiri!

Australia Kebakaran Masalah
Daripada asap yang berkepul, akhirnya cipta kilat yang boleh cetuskan lagi kebakaran lain. Sebab tu ia susah sangat nak dipadamkan. Via Science Alert

Sebab tu kami nak angkat isu alam sekitar khususnya yang terjadi kat Australia ni. Skala kemusnahan dan kesan fauna tu amat besar sebenarnya. Ia harus jadi pengajaran untuk kita semua di Malaysia ni agar lebih aktif menjaga alam sekitar bukan kerana kita disuruh, tapi kerana kita mahu dan kita perlu buat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *