Belum cukup seminggu kita semua masuk ke dekad baharu, tahun 2020, tapi dah macam-macam berita tersebar. Kalau di Malaysia, kita boleh nampak di media sosial seperti Twitter dan Facebook, netizen masih belum move on dengan perletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Tapi di Twitter, trending pula hashtag #WW3 .
Tapi banyaknya yang tweet pasal WW3 ni troll saja. Kami pun tak faham kenapa benda yang menakutkan macam perang ni rileks saja boleh jadi bahan troll… Apa yang jadi sebenarnya ni?
Trump cari pasal dengan Iran lagi, dia arah bunuh orang kanan Ayatollah Ali Khamenei
Ya, Trump viral sekali lagi. Kalau beberapa minggu yang lepas kita dikejutkan dengan khabar Trump bakal dilucutkan jawatan, kali ini dia cari pasal lagi. Sebenarnya memang US asyik bergaduh dengan Iran sejak kebelakangan ni. Kalau korang masih ingat, kami ada ulas pasal US sekat eksport minyak dari Iran.
Mula-mula perang dagang, sekarang dah gaya macam nak perang betul-betul pula. Sebabnya, Trump yang arahkan tentera US buat serangan udara di Lapangan Terbang Baghdad. Serangan itu telah mengorbankan Jeneral Qasem Solaimani, komander Kor Pengawal Revolusi Iran dan orang kanan Ayatollah Ali Khamenei. Turut terbunuh, Abu Mahdi al-Muhandis, pemimpin militia Iraq.
Iran bersumpah untuk membalas dendam, rakyat turun demonstrasi selepas Solat Jumaat
Seperti negara-negara lain juga, sudah tentu rakyat Iran marah dengan serangan ini. Jumaat lepas (3 Januari 2020), rakyat Iran telah berhimpun sebagai protes kepada serangan ni. Demonstrasi selepas Solat Jumaat itu telah berlangsung di Tehran dan beberapa buah bandar lain.
Demonstrasi itu turut disertai oleh golongan wanita dan kanak-kanak. Iran telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama 3 hari dan mengangkat Jeneral Qasem sebagai wira negara. Stesen-stesen TV di Iran juga turut membatalkan semua rancangan TV dan menayangkan bacaan Al-Quran serta gambar-gambar allahyarham sahaja.
Selain tu, stesen TV perdana mereka mengambil langkah menunjukkan jasa-jasanya sepanjang hayatnya seperti dalam perang Iran-Iraq dan penglibatannya dalam perang di Lubnan dan Syria.
Siapakah Jeneral Qasem Soleimeini di sisi rakyat Iran? Rakyat Iran eh, untuk kita – mungkin pandangan tu berbeza. Kenapa kematiannya boleh buat rakyat Iran nak balas dendam? Kalau anda nak tahu, pengaruh Jeneral Qasem ini sangat besar sebab dialah yang menggerakkan anggota militia bersenjata di seluruh rantau itu menentang AS dan sekutunya. Sepanjang khidmatnya, dia berjaya meluaskan pengaruh Iran di rantau tersebut.
Seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani,
Kematian Soleimani adalah tamparan besar ke seluruh rakyat Iran dan sekali gus membawa kepada hampir semua orang dari Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, bersumpah membalas dendam secara besar-besaran. – Astro Awani
Sementara itu, Israel dan Parti Republican di US bersorak gembira atas ‘keberanian’ Trump
Ketika rakyat Iran mengecam US atas serangan udara ini, tapi tidak bagi Israel. PM Israel, Netahanyu memuji tindakan Trump ini. Sememangnya kita sedia maklum, Israel memang mengganggap Iran sebagai ancaman.
Kata Netahanyu lagi, “Sepertimana Israel ada hak untuk membela diri, begitu juga dengan US”.
Begitu juga di Amerika Syarikat, kebanyakan pemimpin Parti Republican mempertahankan tindakan Trump. Antaranya, seperti Senator Ben Sasse, dia baru saja tweet pasal tindakan Trump ini memang wajar sebab selama ini Iran dah bunuh ramai orang Amerika Syarikat.
Apa pula reaksi pemimpin dunia yang lain? Adakah Perang Dunia ke-3 bakal berlaku?
Buat masa ini, ada beberapa buah negara dah memberi reaksi pada berita yang menggemparkan dunia ini. Secara ringkasnya dengan merujuk pada laporan dari Euronews;
- Syria menganggap US sengaja cari pasal sebab nak wujudkan ketegangan dan konflik di rantau ini.
- Rusia pula berpendapat serangan ini akan meningkatkan lagi ketegangan di Timur Tengah dan Iran akan percepatkan lagi pembikinan senjata nuklear…
- China sangat memberi tumpuan pada berita ini sebab Iran adalah rakan dagang paling rapat dengan mereka. Walaubagaimanapun, mereka menentang sebarang keganasan dalam Hubungan Antarabangsa.
- Negara-negara Eropah seperti Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman melihat perkembangan ini hanya akan membahayakan dunia justeru mereka tidak mahu konflik berpanjangan kerana situasi ini patut diselesaikan secara diplomatik.
Semoga Perang Dunia ke-3 tak berlaku, dunia tak perlukan apa-apa peperangan
Boleh meremang juga bila fikir kalau perang dunia betul-betul berlaku. Walaupun ramai menganggap tindakan Trump ini cuma nak raih balik sokongan US pada dirinya daripada dipecat… tapi ketegangan dan kemarahan di rantau Timur Tengah bukan benda yang boleh dibuat main-main.
Sepanjang tempoh sedekad ini, kita dah nampak macam-macam jadi di Timur Tengah dan pergaduhan US-Iran ini makin menjadi-jadi. Harapnya tidaklah sampai mencetuskan perang besar seperti Perang Dunia.