BN kembali tawan Melaka, tiada katak politik dipilih semula

bnmenang2
BN kembali tawan Melaka, tiada katak politik dipilih semula

Gelora Melaka kini dah berakhir. Setelah bubarnya kerajaan Melaka dan tercetusnya PRN Melaka, akhirnya rakyat Melaka memilih untuk bernaung di bawah BN. Sebelum ni, krisis politik Melaka terjadi apabila ada masalah kepimpinan. Ni seterusnya menyebabkan empat orang umum tak sokong kerajaan negeri pimpinan BN.

Di kala pandemik ni, dah tentunya bukan setakat keputusan undi je yang rakyat akan lihat. Kita jugak akan lihat bagaimana keadaannya dan impak pilihan raya pertama diadakan kembali selepas gelombang PRN Sabah tahun lalu.

undimelaka
Via Berita Harian

BN kembali jadi kerajaan negeri, PAS dan PKR tak dapat sebarang kerusi

Sepanjang kami mengikuti liputan PRN Melaka, kami lihat UMNO agak menguasai pentas media. Dapat kita perhatikan, percakaran kat media sosial dan laporan-laporan media banyak menerima perhatian rakyat khususnya para pengundi di Melaka. Idris Haron dan tiga yang lain nampaknya tak dapat justifikasikan percaturan diorang lompat parti hingga tumbangnya kerajaan BN-PN di sana.

Wujud jugak beberapa percubaan nak takutkan orang ramai sekiranya PAS pulak jadi pemerintah di Melaka. Ada orang dakwa, kalau PAS menang… nanti Melaka akan jadi Kedah. Dalam tempoh tu, kebetulan pulak MB Kedah umumkan akan haramkan pusat judi. Jadi ada jugak segelintir yang risau perkara tu boleh berlaku pulak kat Melaka.

haramjudikedah
Via FMT

Walau bagaimanapun, apa yang dilaporkan dan terpapar di media tak semestinya dapat diterjemahkan ke alam realiti pengundian. Yang pasti, SPR pada 20 November dah umumkan bahawa BN menang majoriti lebih 2/3 kerusi. PAS hilang wang deposit lepas menurunkan 8 calonnya.

Berdasarkan keputusan tak rasmi, BN dah mendahului. Pengkalan Batu jadi kerusi terakhir yang dimenangi BN. Selepas proses pengiraan panjang, BN berjaya tewaskan PH dengan majoriti hanya 131 undi. Kemudian pada 9.42 malam tu, barulah keputusan rasmi diumumkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh di Menara Persekutuan, Melaka.

“BN telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,”- seperti yang dipetik Malaysiakini dari Bernama

bnpolitikmelaka
Via Mstar

Sementara tu, Bersatu hanya dapat 2 kerusi manakala PH cuma dapat kekalkan 5 kerusinya. Tu pun disumbangkan oleh Amanah (1) dan DAP (4). PKR tak dapat sebarang kerusi, sama cerita macam PAS. Mengikut laporan terkini Malaysiakini, BN dapat 21 kerusi:  UMNO (18), MIC (1), MCA (2).

Sulaiman jadi KM Melaka yang baharu, katak politik tak dipilih langsung

Susulan kemenangan BN di Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selamat angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka

Sulaiman, 55, sebelum ni dinamakan sebagai calon KM Melaka sekiranya BN berjaya menang PRN Melaka. Ni adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai KM Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan tersebut pada tahun lepas.

Sementara tu, bekas KM PH Adly Zahari yang bertanding di Bukit Katil berjaya pertahankan kawasan dengan majoriti 1,057 undi dan dijangka jadi calon tunggal Amanah di sidang DUN kelak.

Bekas KM Idris Haron, salah sorang calon yang lompat parti ke PKR kalah besar di Asahan dengan 1,344 undi. Calon BN Fairul Nizam Roslan, muka baru menang dengan 4,816 undi. Noor Azman Hassan, bekas exco Melaka yang turut tarik sokongan dulu pun kalah di Pantai Kundor kepada calon BN, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim. Sorang lagi wakil rakyat yang tarik sokongan daripada BN-PN iaitu Noor Effandi Ahmad tak bertanding dalam PRN kali ni.

Noor Hisham Baktee turut gagal pertahankan kerusinya walaupun bertanding sebagai calon bebas. Dulu, dia dapat majoriti dengan kelebihan 2,756 undi. Semasa PRN Melaka kali ni, dia hanya meraih 1,218 undi.

katakpolitikmelaka
Empat yang menarik sokongan hingga tumbangnya kerajaan negeri Melaka…-Via Malaysiakini

Sorang lagi calon berprofil tinggi dari PN dan dipertaruhkan sebagai calon KM oleh PN, Mas Ermieyati kalah di kerusi Tanjung Bidara. Ia dimenangi oleh Ab Rauf Yusof, calon BN. Sebelum ni, Mas Ermieyati menang kerusi parlimen Masjid Tanah pada 2018 atas tiket BN. Lepas tu dia pun lompat jugak ke Bersatu tujuh bulan lepas BN kalah dalam PRU lalu.

Najib Razak berpandangan, kemenangan BN kali ni suatu isyarat jelas bahawa rakyat tolak katak-katak politik. Katanya,

“Katak-katak politik tidak diterima sama sekali. Rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran. Satu pilihan raya yang agak sukar juga bagi BN…. Kepada Adun-Adun BN dan kepimpinan kerajaan negeri Melaka, mandat telah diberikan oleh rakyat. Buat sehabis baik, tunaikan janji BN dan laksanakan urus tadbir yang cemerlang di Melaka.

Kita tiada masa untuk dibazirkan. Melaka telah banyak ketinggalan sejak PRU14 dan kita perlu kembalikan Melaka ke landasan pembangunan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

katakpolitikparti
Via Mykmu.net

Dalam masa yang sama, pemimpin PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Mohd Khairuddin Aman Razali ucapkan tahniah atas kemenangan BN. Mohd Khairuddin jugak sepakat dengan PH, menyebut peratus turun mengundi yang rendah sebagai salah satu punca prestasi yang merundum.

Setakat 11.30 malam pada hari kiraan undi, peratusan keluar mengundi hanya 65.85%. Menurut SPR, ni lebih rendah daripada kadar 66.61% pengundi yang keluar mengundi pada PRN Sabah tahun lepas.

Dengan kemenangan besar BN, pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi kata diorang nak perkenalkan enakmen antilompat parti. Ia merupakan salah satu daripada beberapa perkara yang akan dibawa ke sidang pertama DUN bagi wujudkan kestabilan politik.

“(Pertama) memperkenalkan enakmen antilompat parti dan pinda undang-undang berkaitan untuk tangani isu lompat dalam kalangan Adun,” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini

KM Melaka ke-13, Sulaiman Md Ali kata senarai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri akan diumumkan pada minggu depan. DIa kata dia akan teliti perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum bincangkannya dengan YDP Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

“Insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini juga selepas saya mengambil kira segala aspek, kebolehan, begitu juga pengalaman (Exco) bagi setiap portfolio yang akan saya lantik nanti berlandaskan kepada mereka yang telah memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan sudah pasti selepas itu, saya akan maklumkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk berbincang dengan beliau. Insya-Allah bagi saya sedikit masa lagi, dalam masa terdekat.. should be next week (minggu depan) kot,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Kami harap selepas PRN Melaka ni, takdelah berlaku gelombang kes baharu sebagaimana yang berlaku tahun lalu. Harapan kedua kami pulak, semoga kerajaan negeri Melaka yang dipegang oleh BN kali ni dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap politik negara serta mengembalikan semula kestabilan politik Malaysia. Tatkala kita bergaduh politik, kita banyak terlepas peluang dan masa untuk memajukan negara lagi-lagi saat pasca-pandemik ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top