Kes Covid-19 semakin menggila, badan kajian kata PRN Sabah adalah puncanya

f1

Hampir setahun lalu, kita menyaksikan pertukaran kerajaan negeri berlaku di beberapa negeri. Salah satunya, menandakan detik kelam dalam kisah peperangan kita menentang Covid-19. Untuk kita imbau semula, pilihan raya negeri Sabah berlangsung lepas Musa Aman mencabar kerajaan pimpinan Shafie Apdal. Dia kemudiannya membubarkan dewan undangan negeri, lalu pilihan raya kena dilangsungkan. Masa tu, kita baru je nak habis kluster terbesar kita iaitu kluster tabligh. Kes pun dah semakin turun, termasuklah Sabah. Dah boleh rentas daerah dan negeri… sekatan pergerakan kita dilonggarkan.

728 X 90

Namun ketika PRN16 tu, kita jugak menyaksikan bagaimana kerajaan persekutuan waktu tu gagal mengambil tindakan yang perlu untuk elakkan jangkitan menular semula. Semasa berlangsungnya tempoh pilihan raya, kes dicatatkan meningkat kembali. Dah ramai yang minta sekatan semula, namun kerajaan menangguhnya sehingga pilihan raya tamat. Lepas tu barulah Sabah mengetatkan seluruh prosedurnya termasuklah sekatan rentas daerah dan negeri. Walaupun ia dah terlambat… Semenanjung Malaysia pun terkena tempiasnya. Perkara ni diyakini ramai, dan sekarang ni, kajian membuktikan bahawa ia bukanlah setakat perasaan; ia adalah fakta.

Prn Sabah
Via Johorkini

Kajian dari jurnal terkemuka membuktikan PRN Sabah cetus gelombang ketiga, 64.4% kes adalah kesan limpahan ke serata negara

Baru-baru ni, terdapat sebuah kajian saintifik dah membuktikan bahawa PRN Sabah memang jadi punca kebanyakan lonjakan kes yang kita hadapi lepas September tahun lalu. Kajian ni mula mendapat perhatian lepas Malaysiakini buat rumusan pendek tentang dapatan kajian tu, dan secara amnya, ia mengesahkan pandangan umum yang rata-ratanya percaya PRN Sabah jadi penyumbang utama kepada lonjakan kes ni. Sebelum ni, kerajaan khususnya parti-parti politik taknak terima dan akui hakikat tersebut. Namun bila dah ada kajian, takde alasan lagi untuk diorang berdolak-dalih lagi bahawa perhimpunan awam khususnya pilihan raya, adalah idea yang buruk sekarang ni.

prn sabah pesan dg hisham
Pesanan dari FB KP Dr Noorhisham pada tahun lalu.. -Via Facebook

Kajian tersebut ditulis oleh para pengkaji daripada lima institut kajian dan pendidikan antarabangsa, merangkumi Singapura, Malaysia dan Amerika Syarikat sendiri. Kaedah diorang kaji pun banyak gunakan data awam, dan diorang guna komputer untuk kenalpasti bagaimana kesan penularan jangkitan tu lepas PRN Sabah. Dengan data yang dikutip tu, diorang gunakan kaedah pemodelan komputer trend Covid-19 di Malaysia dari 22 Mac hingga 12 Oktober – iaitu ketika sehari sebelum bermulanya PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Mengikut kajian ni, ada dua jenis kesan yang dapat kita lihat iaitu kesan langsung dan kesan limpahan. Yang kena kat Semenanjung Malaysia tu adalah kesan limpahan, yakni yang takde kena mengena dengan PRN Sabah pun boleh terjangkit. Dalam Sabah je, 70% kes baharu adalah daripada kluster PRN. Manakala di luar Sabah, 64.4% daripada kes yang dilaporkan berpunca dari PRN.

peta sabah prn sabah jangkitan covid
(A) menunjukkan purata sebelum PRN. (B) adalah selepas PRN hingga 12 Oktober 2020.. -Via PLOS Computational Biology

Beberapa faktor yang digariskan menyebabkan penularan ni adalah perhimpunan awam yang tak dihadkan di ruang terbuka manakala hanya 250 orang dalam ruang tertutup. Ahli politik yang berkempen bersama kumpulan diorang turut gagal mematuhi penjarakkan fizikal dan pakai pelitup muka, serta kegagalan kerajaan nak tetapkan syarat kuarantin ke atas individu yang baru balik dari Sabah kecuali mana-mana yang ada simptom dan baru pulang dari daerah zon merah je seperti Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

“Kami menunjukkan yang anggaran kami ini bukan disebabkan tren sedia ada, usaha pemantauan dan/atau dasar pencegahan. Anggaran ini menunjukkan kemungkinan perhimpunan ramai di satu kawasan ‘melimpah’ kepada penularan di seluruh negara. Maka pelonggaran sekatan perhimpunan ramai perlu dipertimbang secara cermat, walaupun ketika jangkitan komuniti yang rendah dan penguatkuasaan garis panduan penjarakan yang selamat,”-seperti yang dilaporkan Malaysiakini

peta sabah prn sabah jangkitan spillover
Kesan limpahan dari PRN Sabah.. -Via PLOS Computational Biology

Jelas di sini, perhimpunan awam seperti aktiviti berkempen dan mengundi ni tak sesuai dijalankan semasa waktu pandemik. Lonjakan kes boleh je berlaku kerana pergerakan besar-besaran dan tak terkawal dah. Nak kawal diri sendiri tu boleh, tapi bagaimana dengan orang lain? Kadangkala diorang pun dah leka atau tak sedar bahawa diorang dah langgar tatacara norma baharu yang kita dah kerapkali sebut.

Tanda jeda untuk kerajaan pertimbangkan semula apa-apa tindakan pertukaran kerajaan, fokus polisi wajar di Parlimen

Dari satu sudut, kita boleh membayangkan perkara ni sebagai suatu tanda jeda kepada apa-apa retorik yang melibatkan pertukaran kerajaan. Kami rasa, pengalaman lalu seperti lonjakan kes selepas PRN menyedarkan kita bahawa kita belum bersedia untuk sebarang pertukaran kerajaan lagi. Ni bermaksud, pemimpin-pemimpin politik sepatutnya lebih giat membantu rakyat dan tak lagi memainkan isu seperti bilangan kerusi dan sebagainya.

prn sarawak tak sesuai diadakan
Tangkap layar dari tajuk berita Sinar Harian

Sejak tahun lalu, kita dah menangguhkan lebih dari tiga pilihan raya kecil, sementara pada tahun ni pulak, kita berhadapan dengan keperluan mengadakan PRN Sarawak. Setakat ni, kita hanya mampu main teka-teka mengenai bilakah pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan. Bayangan awal dari Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan mungkin PRN12 Sarawak akan diadakan lepas Aidilfitri.

Nak diikutkan, DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada Jun tahun ni. Jika takde sebarang pengisytiharan, maka ia akan terbubar dengan sendirinya mengikut peruntukan undang-undang. Oleh disebabkan darurat, maka PRN Sarawak belum dapat dijalankan lagi. Namun sehingga pada tarikh pembubaran DUN Sarawak, kerajaan persekutuan tak jugak nak buka parlimen dan lebih banyak ‘menguruskan’ krisis kesihatan di belakang pintu tanpa ada anggota pembangkang yang wujud sebagai ‘alat’ semak-dan-imbang.

buka puasa buka parlimen3
Via The Vibes

Di samping tu, Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras program PICK kata diorang akan cuba percepatkan lagi program vaksinasi di Sarawak agar dapat memberi laluan untuk PRN Sarawak diadakan sekiranya darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti. Walaupun ia suatu usaha yang baik, kami berharap program tersebut tak dijalankan dengan semberono pulak apabila kita benar-benar nak habiskan cepat program vaksinasi tu demi PRN Sarawak.

“Saya harap dengan jaminan yang saya beri hari ini kepada negeri Sarawak, kita akan dapat melihat negeri Sarawak mencapai sasarannya pada akhir bulan Ogos dan menjadi negeri pertama yang akan selesaikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick)…

Saya tidak tahu adakah anda ingat apa yang berlaku semasa pilihan raya negeri Sabah. Sekiranya negeri Sarawak tidak diberi vaksin sepenuhnya pada waktu mereka mengadakan pilihan raya negeri, maka bukan sahaja negeri Sarawak tetapi seluruh negara Malaysia juga berisiko mengalami gelombang lain. Dan kita tidak mampu. Jadi itu bukan isu politik atau keutamaan, (tetapi) merupakan syarat undang-undang bagi Sarawak untuk mengadakan pilihan raya 60 hari setelah darurat ditamatkan,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Dalam impian dan cita-cita ni, tentulah ia kena dijalankan dengan teliti… apatah lagi apabila ia dah diletakkan suatu tarikh akhir yang agak pendek. Kita pastinya akan gembira mendengarkan sebuah negeri di Malaysia ni dah habis terima vaksin dan membayangkan suatu masa kelak, kita dah tak payah pakai pelitup muka macam apa yang berlaku kat negara-negara maju sekarang.

Namun untuk sampai ke detik tersebut dengan langkah kanan, kerajaan wajib mempertimbangkan hal-hal politik ni dan menumpukan seluruh daya untuk memastikan rakyat terjaga. Parti-parti politik, terutamanya para pemimpinnya perlu berhenti bertelagah dan terus cuba nak ungkit hal-hal politik khususnya bab “sokongan politik” dan sebagainya. Sokonglah rakyat, bukan sokong parti semata-mata. Parti tak hidup relevan dan berkepentingan tanpa rakyat.

ikatan muslimin malaysia
Via Facebook

Selain tu, kita jugak harus mempertimbangkan kemungkinan baharu bahawa PRN Sarawak tak perlu diadakan buat masa terdekat, dan tempoh darurat mungkin harus dipanjangkan lagi demi menangani krisis pandemik kita. Boleh jadi, darurat akan terus berlangsung selagi kita belum mencapai sasaran 70% populasi yang dah ambil vaksin. Walau bagaimanapun, kita harus terus aktif bersuara menyatakan pendirian dan permintaan kita sebagai rakyat agar kerajaan dapat merangka tindakan terbaik khususnya apabila dah ada kajian sebegini untuk mengukuhkan pandangan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *