Tutup Parlimen kes Covid-19 tetap tinggi? Mungkin sudah masanya Parlimen dibuka

f1
Tutup Parlimen kes Covid-19 tetap tinggi? Mungkin sudah masanya Parlimen dibuka

Isu berkaitan demokrasi merupakan salah satu topik yang paling mendapat perhatian kami di ORANGKATA. Kami percaya amalan demokrasi dan kebebasan bersuara merupakan elemen penting untuk menjadikan sesebuah negara itu bergerak ke hadapan. Kami faham, masih ramai rakyat Malaysia yang kurang mengerti tentang kepentingan Parlimen di negara kita. Kalau kita nak salahkan rakyat secara menyeluruh pun, tak boleh jugak; sebab sesetengah ahli politik gemar menjadikan Parlimen seperti zoo.

728 X 90

Kali ini, ketua pengarang kami berikan pandangannya tentang keadaan politik semasa. Menurutnya, menghilangkan fungsi Parlimen merupakan kesilapan, lebih-lebih lagi ketika kita mengharapkan Parlimen akan datang dengan dasar-dasar yang bernas.

Ahli politik yang buat hal, tapi rakyat yang selalu jadi mangsa

Saya terganggu dengan kenyataan beberapa pemimpin politik yang meletakkan sepenuhnya kesalahan peningkatan kes Covid-19 pada bahu rakyat. Barangkali rumah mereka tiada cermin, sehingga mereka tidak pernah meletakkan kegagalan mengawal pandemik Covid-19 – atau lebih tepat gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia – terjadi kerana kerakusan mereka untuk merampas kerajaan negeri Sabah.

Gelombang ketika ini terjadi kerana Pilihan Raya Negeri Sabah yang disertai dengan pelbagai ‘kelonggaran’ yang disediakan untuk golongan elitis. Malangnya, saya tidak pernah mendengar mana-mana ahli politik menyalahkan diri mereka kerana telah menghadiahkan rakyat Malaysia gelombang ketiga Covid-19. Pada akhirnya, rakyat juga yang dituduh tidak patuh SOP, tidak sayang negara, atau tidak taat kepada perintah Yang Di-Pertuan Agong.

Sistem demokrasi jauh daripada sempurna, tapi ia akan menjanjikan proses semak imbang dan perbincangan ketika pembinaan dasar-dasar negara. Saya percaya salah satu sebab kegagalan kita dalam membendung Covid-19 di Malaysia berlaku kerana kebanyakan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan hari ini separuh masak. Kemudian, dasar-dasar separuh masak ini tidak berpeluang untuk dikritik secara terbuka dan didokumentasikan melalui Parlimen.

2
Parlimen. Via PMO

Untuk memastikan dasar-dasar kita dimasak dengan betul, proses semak imbang harus berlaku di Parlimen. Malangnya, ramai yang beranggapan kerajaan takut untuk membuka Parlimen kerana akan kehilangan sokongan, lebih-lebih lagi selepas Umno mengambil keputusan untuk menceraikan Bersatu pada PRU15.

Parlimen diperlukan untuk membina dasar-dasar yang membantu menyelesaikan masalah

Pengumuman darurat ini tentunya akan memberi imej buruk kepada negara kita, lebih-lebih lagi ketika negara lain mengharapkan Parlimen datang dengan keputusan-keputusan penting untuk memerangi Covid-19. Status darurat ini boleh menjelaskan mengapa pelaburan langsung asing (FDI) di negara kita merosot – ia bukanlah kerana selective investment yang disebut Azmin Ali.

Bagaimana mungkin kita boleh menjanjikan 500,000 peluang pekerjaan dalam Belanjawan 2021 ketika kadar FDI kita susut, dan kemorosotan ekonomi akibat pelaksanaan PKP dan PKPB yang berulang-ulang sedang berlaku?

Sekiranya Mat Jenin mendengar ucapan sesetengah pemimpin politik kita pada hari ini, saya yakin dia akan ketawa. Pembinaan dasar negara yang baik bukanlah roket sains, ia boleh dilakukan dengan perbincangan di Parlimen. Untuk hal ini terjadi, kita wajib membuka Parlimen – dan saya percaya pihak pembangkang pun akan menunggu sehingga kes Covid-19 dalam keadaan terkawal, barulah mereka akan mendesak untuk diadakan PRU15.

Negara kita sedang ditadbir tanpa semak imbang, dan jika kita bertanya rakyat Malaysia secara rawak tentang nama-nama ahli Kabinet Malaysia, kebanyakan mereka akan gagal menjawab.

Bagi mereka yang telah lupa, kerajaan hari ini memiliki saiz Kabinet yang besar, mencecah lebih 60 orang, tapi kelihatan tidak berguna. Oleh kerana tidak ada proses semak imbang, kita sering melihat keputusan-keputusan yang kelakar atau double standard – golongan kayangan seperti bebas melakukan apa sahaja yang mereka suka, sedangkan rakyat biasa terus mematuhi SOP, walaupun pendapatan mereka terjejas teruk akibat pandemik.

2
Ramai gila. Via Berita Harian

Melalui Parlimen, kita juga dapat melihat keberjayaan atau kegagalan kerajaan dalam menguruskan pandemik. Ketika dalam tempoh darurat, kita tidak memiliki kayu ukur untuk melihat prestasi kerajaan – terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Pandangan-pandangan alternatif yang memiliki nilai saintifik boleh dibincangkan di Parlimen, kerana apa yang dicadangkan oleh KKM tentunya memiliki ruang untuk diperbaiki.

Kita akan melihat penentangan terbesar dalam sejarah jika hal ini tidak dilakukan

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita dapat melihat beberapa siri demonstrasi fizikal dilakukan kerana kekecewaan rakyat terhadap kerajaan. Jika anda pergi ke media sosial, dan melihat ruangan komen tokoh-tokoh utama kerajaan hari ini, anda akan melihat betapa hebatnya serangan netizen terhadap mereka.

Lebih-lebih lagi, darurat yang katanya diumumkan untuk meratakan lekuk jangkitan Covid-19 supaya rakyat boleh pulang ke kampung, telah gagal. Saya telah memberi amaran sejak beberapa bulan lepas, jika pengumuman-pengumuman yang tidak memiliki rasional atau hujah saintifik terus dilakukan oleh kerajaan, kita akan melihat satu penentangan terbesar rakyat dalam sejarah Malaysia akan terjadi.

 

Pandangan ini adalah pandangan meja editorial, dan tidak semestinya mewakili pendirian ORANGKATA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top