Bung kata UMNO akan bersama PH, DAP kata belum lagi

f1

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah akhir tahun lalu.

Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan ia akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin dekat.

“Dalam sambutan Hari Raya inipun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya UMNO Sabah bergabung dengan siapa. Saya kata kita memang bergabung tetapi kita belum maklum. Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan pemukiman pada satu ketika dan kita memutuskan bahawa akan bergabung dengan PH,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selain PH, BN juga terbuka kepada parti lain yang ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan dalam membentuk kerjasama. Katanya, BN tidak menutup pintu terhadap parti lain namun menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan parti tempatan kerana ada isu tertentu yang membuatkan pihaknya membuat keputusan itu.

20190121mh06
Bung. MalayMail

“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain dan saya melihat walaupun isu-isu dimainkan oleh pihak-pihak parti lain bahawa parti tempatan perlu diutamakan tetapi sebetulnya kitapun ada isu berhubung dengan parti tempatan ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut parti tempatan yang dimaksudkan dan enggan mengulas sama ada Parti Warisan juga bakal menjadi rakan kerjasama BN dan PH nanti.

Katanya, walaupun BN adalah parti nasional, Sabah tetap dipimpin oleh orang Sabah dan kini kebanyakan pemimpinnya adalah orang baharu kecuali Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang pernah terbabit dalam UMNO yang lalu. Ditanya mengenai agihan kerusi, beliau berkata UMNO-BN mahu mengekalkan 41 kerusi yang ditandingi pada PRN16 dan menegaskan parti yang mempunyai ramai penyokong bakal mendapat lebih banyak kerusi.

“Cuma keutamaan kita, parti yang rasa-rasanya mempunyai banyak penyokong, itu yang kita bagi peluang. Sebab pilihan raya ini perlu menang, bukan hanya perlu kuota. Kalau kuotanya kalah semua, lingkuplah,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN17 nanti.

Bung kata umno memiliki sifat jernih hati untuk berunding

UMNO Sabah menegaskan pihaknya sentiasa bersikap ‘jernih hati’ dalam hubungan politik, namun menyerahkan kepada pihak lain untuk menilai sejauh mana keikhlasan mereka dalam menjalin kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah tidak pernah menutup pintu terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan parti tempatan, namun ia bergantung kepada keikhlasan dan komitmen pihak berkenaan.

“Tetapi kita tidak buka seluas-luasnya. Kita tengok parti yang mana ada keikhlasan, ada kejujuran, ada komitmen. Parti yang tidak ada keikhlasan, selalu mengkhianati, kita tidak akan bekerjasama. Kami sentiasa jernih hati tapi kalau orang tidak jernih, apa mahu buat,” katanya ketika ditanya mengenai saranan agar BN memperbaiki hubungan dengan GRS,” katanya kepada pemberita ketika hadir dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah supaya UMNO Sabah jernihkan hubungan dengan GRS bagi mengelak Pakatan Harapan (PH) Sabah tersepit.

Ditanya mengenai sama ada terdapat pertemuan rasmi dengan PH Sabah susulan pengumuman kerjasama pada Ahad lalu, beliau sekali lagi menjelaskan setakat ini tiada mesyuarat rasmi diadakan.

3006690
PRN Sabah tahun ini. Via Sinar Harian

“Saya pun jelaskan pertemuan rasmi belum ada tetapi yang tidak rasmi kerap kali kita adakan dan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan menafikan, tetapi dia kata tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan, jadi itu jelas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perbincangan bersama GRS tidak berlaku setakat ini, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi. Meskipun begitu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku kerjasama antara mana-mana gabungan politik selepas pilihan raya nanti.

“Segala kemungkinan boleh berlaku, tetapi jika ditanya sama ada mustahil untuk berlaku, saya rasa tidak mustahil. Dalam politik, segala-galanya boleh berlaku, tetapi kita perlu lihat kepada hasil dan keadaan semasa. Mungkin amalan itu (gabungan selepas pilihan raya) juga akan berlaku di Sabah, kerana senario politik hari ini telah banyak berubah di seluruh dunia. Sudah tidak ada satu parti yang benar-benar dominan untuk mentadbir negara atau negeri.

“Dalam erti kata lain, setiap pemimpin parti perlu bijak melihat ke hadapan dan mencari jalan bagaimana untuk memastikan parti mereka kekal relevan kepada rakyat,” ujarnya.

DAP Sabah mengatakan belum ada apa-apa perbincangan di antara PH dan UMNO

DAP Sabah menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN7).

Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman yang dibuat oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN17.

screenshot 2025 05 01 093000
Datuk Phoong Jin Zhe. Via The Star

“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa. Bagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, yang telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” katanya

DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarangB kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

“Kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, Jin Zhe berkata, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.

“DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya. Pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *