Chean Chung umumkan beberapa cadangan untuk RINGGIT

f1

Kerajaan Madani tak akan pandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Ketika menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga meminta semua pihak agar tak membandingkan perkembangan semasa dengan keadaan pada 1998 yang tidak hanya menyaksikan penyusutan nilai ringgit, tetapi turut terjejas dari segi pelaburan dan inflasi.

“(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.

“Sehubungan itu, bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah memastikan angka-angka pelaburan ini.

“Mereka sering membandingkan dengan keadaan pada 1998 tetapi (perlu diingat) pada tahun itu ringgit merosot, inflasi meningkat, pengangguran tinggi dan tiada pelaburan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia.

Mengulas sama ada prestasi ringgit menjejaskan keyakinan terhadap negara, Perdana Menteri berkata sekiranya benar, Malaysia tidak mungkin berupaya mencapai angka pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM329.5 bilion pada tahun lepas — peningkatan sebanyak 23.0 peratus berbanding 2022.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan turut memberi tumpuan dalam usaha membuat keputusan atau melaksanakan langkah wajar yang perlu diambil setiap hari.

Cadangan daripada PKR untuk kerajaan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan tiga cadangan yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi mengukuhkan semula nilai ringgit.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai Ekonomi dan Kewangan PKR, Lee Chean Chung berkata, antaranya ialah pemantauan pembelian dolar Amerika Syarikat (AS) lebih ketat oleh pengimport dan menyemak dokumen perdagangan asas serta bukti pengiriman wang yang sah.

“Langkah itu penting bagi mengekang trend berkenaan, selain Firma Tersenarai Luar Negara (FLA) tidak boleh menyimpan mata wang tersebut untuk keuntungan dagangan pada masa kritikal ini.

“Bank Negara Malaysia (BNM) mesti bertindak lebih efektif daripada menggunakan dolar AS yang kukuh sebagai alasan untuk membiarkan nilai ringgit terus jatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, nilai ringgit pada Selasa dilaporkan menghampiri paras terendah ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998 apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi ringgit sejak kebelakangan ini, sama seperti mata wang serantau lain telah dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran.

Menurut beliau, sebahagian daripada faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

Dalam pada itu, Chean Chung turut mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan proses kelulusan tempatan untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Adakah situasi kedudukan ringgit memberi kesan untuk anda buat keputusan melancong luar negara?

“Langkah itu penting untuk memudahkan mereka (FDI) menyediakan operasi dengan cepat di negara ini.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga tidak sepatutnya memfokuskan kepada pelaburan yang diluluskan tetapi termasuk keseluruhan perjalanan pelaburan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangkang dilihat menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai polemik politik.

“Sudah tiba masa untuk Kerajaan Perpaduan melakukan pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), MyDigital dan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) dengan lebih mendalam,” tambah beliau.

Keadaan ringgit semasa

Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS dalam dagangan awal pada Isnin berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot tetapi kekal disokong dengan jangkaan Rizab Persekutuan akan terus mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

Pada 9 pagi 27 Februari 2024, ringgit naik kepada 4.7725/7775 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit akan kekal stabil pada sekitar RM4.77 hari ini dengan sentimen masih lemah.

Beliau berkata beberapa pegawai Fed pada minggu lepas telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai penurunan awal berikutan kadar inflasi yang meningkat.
“Dolar AS dilihat berada pada kedudukan yang baik berdasarkan ekonomi AS yang kukuh walaupun perlu berdepan dengan kadar yang tinggi.

“Ini telah menjadikannya menyerlah daripada kumpulan G7 yang lain, menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap dolar AS. Ia agak rumit berikutan kesan daripada langkah dasar monetari yang lepas akan mengambil masa untuk memberi impak yang ketara,” katanya.

Dalam negara, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan naik berbanding pound kepada 6.0425/0488 daripada 6.0437/0494 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding euro kepada 5.1619/1673 daripada 5.1656/1705 sebelum ini, bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1736/1772 daripada 3.1677/1709.

Pada masa yang sama, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *