Dr Maszlee undur diri, kami lihat EMPAT isu yang pernah dia hadapi…

F1

Semalam kita digemparkan dengan peletakkan jawatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan Malaysia (KPM). Ia adalah sesuatu yang tak dijangka, sebabnya kalau korang pengikut Dr Maszlee, dia baru je keluarkan video tentang kementeriannya. Kami yang masa tu tengah relaks, terkejut apabila baca berita – ada sumber yang kata Dr Maszlee nak letak jawatan, kami macam; biar betik??

Dengan perut yang menyanyi sebab tengah tunggu sidang media KPM, macam-macam soalan yang bermain kat dalam kepala. Apabila Dr Maszlee umumkan dia kena letak jawatan atas nasihat Tun Mahathir, kami pun cubalah cari sebab; kenapa jadi sampai lagu ni. Ada yang cuba bawak naratif – Tun Mahathir ni tengah dikawal DAP, atas sebab tekanan isu seperti Jawi dan UEC; Maszlee dikorbankan.

Kami yakin lepas ni banyak orang akan tulis pasal tu, jadi kami cuba tengok angle benda-benda lain yang memungkinkan dia letak jawatan. Perlu diingat, Maszlee ada lakukan perubahan yang baik, dan ia perlu diberikan kredit. Cuma, dalam artikel ni kami akan cuba cari faktor kelemahan Maszlee yang menyebabkan dia tak tahan lama.

1. Terpalit dengan isu terlalu ramai pegawai khas, ramai tertanya-tanya untuk apa?

Dr Maszlee memulakan kariernya sebagai Menteri Pendidikan dengan kontroversi. Dia dikatakan telah lantik terlalu banyak pegawai. Masa tu tular di media sosial mengenai satu paparan skrin dari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa Menterinya, Dr. Maszlee Malik ada 10 Pegawai Khas.

S1a
Gambar yang viral awal-awal dulu. Via MyNewsHub

Perkara tu timbulkan persoalan ramai, terutamanya keperluan untuk Maszlee ada jumlah Pegawai Khas seramai itu. Apa yang buat lebih ramai orang tak puas hati, bilangan kakitangan bagi jawatan tu tak termasuk Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Setiausaha Sulit (SUS) dan Setiausaha Akhbar (SUA) bagi menteri.

Via Giphy

Kami perasan, isu ni tak dijawab dengan tuntas. Jadi dari awal lagi kita boleh nampak pasukan Maszlee ada masalah untuk tangani isu hangat. Ia adalah hal biasa untuk pasukan menteri yang baru pada peringkat awal tak mahir lagi nak tangani isu. Malangnya, masalah ni berlarutan sampailah dia letak jawatan semalam.

2. Pelantikan Wan Saiful sebagai Pengerusi PTPTN, dan idea bayaran berjadualnya

Setelah setahun Wan Saiful dilantik jadi Pengerusi PTPTN, kita boleh tengok macam mana prestasinya. Eh, ayat tu salah. Kita sebenarnya tak tengok pun macam mana prestasi PTPTN dalam cuba menuju ke arah manifesto Pakatan Harapan. Dia macam inilah, kaki korang nak pergi kedai mamak tapi badan korang nak makan kat hotel lima bintang. Dia tak gerak sekali, jadi akhirnya korang tak gerak ke mana-mana.

S1
Via Johor Press

Mesti korang ingat Wan Saiful pernah datang dengan idea potongan gaji berjadual – yang dilihat akan beri bebanan kepada anak muda. Kita boleh nampak; filosofi ekonomi Wan Saiful ni tak sesuai untuk tabung pendidikan negara. Akhirnya benda-benda macam ni buatkan rakyat marah, dan akhirnya kerajaan buat U-turn.

Orang semua tahu yang Wan Saiful ni baik dengan Maszlee. Kalau korang tengok gambar kat atas dia jadi penasihat menteri kot, sebelum lepaskan jawatan tu untuk jadi Pengerusi PTPTN. Kalau PTPTN tak perform atau berusaha nak tunaikan manifesto PRU14, dah tentu-tentu rakyat akan marah dan tuding jari kat Maszlee.

3. Isu kasut hitam yang melekat dekat Maszlee, sampai digelar menteri kasut hitam

Salah satu benda yang paling melekat dengan Maszlee ni adalah topik kasut hitam, sampai ada orang ejek dia sebagai menteri kasut hitam. Sejak awal lagi pengumuman – semua murid sekolah dikehendaki memakai kasut hitam, ramai yang ambik dari sudut yang salah. Ideanya nak bantu murid lebih mudah jaga kasut, sebabnya kasut putih ni mudah kotor. Kalau hitam, senang sikitlah nak jaga.

S1
Kasut hitam. Via Air Times

Idea tu dah bagus, tapi keputusan tu diumumkan secara tiba-tiba. Lepas tu dia nak terus dilaksanakan pada tahun lepas. Hasilnya, ibu bapa dan peniaga terkejut dengan keputusan tu, dan ia kelihatan tak dibincangkan tapi hanya diumumkan secara tiba-tiba oleh menteri.

Via Giphy

Isu ni menimbulkan persoalan tentang prioriti Menteri Pendidikan Malaysia, pada masa tu banyak isu lebih penting lain termasuk beg berat masih tak dilesaikan. Lepas ramai bising, kementerian bagi kelonggaran untuk guna kasut putih dan tangguhkan keputusan nak perkenalkan kasut hitam sebagai benda yang wajib.

Cumanya, idea nak bantu murid supaya kasut tak mudah kotor tu sekali lagi tak menonjol. Jadi benda tu jadi lawaklah, bila ada menteri yang terlalu banyak kena troll, alamat dia tak lama lagi lah tu.

4. Ditegur oleh Kadir Jasin sebab jadi menteri papan iklan…

Wartawan veteran, A Kadir Jasin ada kritik tindakan 2 menteri yang menurutnya lakukan tindakan tak wajar apabila sebab pamerkan diri menerusi papan iklan. Ikutkan Kadir, lebih baik sekiranya menteri PH menonjolkan wajah individu terlibat dan mengambil bahagian secara langsung dalam agenda di bawah Putrajaya berbanding memaparkan wajah masing-masing.

Lebih baik promosikan agenda kerajaan daripada wajah menteri. Lebih baik memaparkan individu yang mengambil bahagian dalam agenda kerajaan berbanding gambar menteri yang bergaya.

β€œKerajaan adalah mengenai rakyatnya dan bukannya melibatkan menteri yang berusaha membina personaliti atau pegawai kerajaan yang memperolehi keuntungan daripada kedua-dua belah pihak,” – Kadir, melalui Facebooknya

Bagi Kadir, kerajaan seharusnya promosikan egalitarianisme, kemanusiaan dan merendah diri berbanding sikap birokrasi dan feudalisme.

S1q
Via FMT

Walaupun tak namakan mana-mana pemimpin PH, menerusi gambar disertakan, Kadir perlihatkan 2 kain rentang memaparkan wajah Menteri Pendidikan, Mazlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun.

Menteri lain kena jadikan kes Maszlee ni sebagai pengajaran

Secara umumnya kami boleh kata pasukan Maszlee, terutamanya pasukan medianya tak berfungsi dengan sebaiknya. Diorang gagal untuk tampilkan imej Maszlee sebagai seorang ahli politik yang tegas dan berkarisma. Kalau kami perhatikan kebanyakan poster atau hebahan yang dikeluarkan oleh pasukannya; lebih menonjolkan Maszlee sebagai orang baik-baik atau mendengar.

Benda tu okay untuk seorang ahli akademik, tapi bukan sebagai seorang menteri, lebih-lebih lagi Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab terhadap satu per empat perbelanjaan negara. Kami harap Maszlee akan terus berkhidmat untuk rakyat dan akan kembali dengan lebih gagah pada masa akan datang.

Ia bukan seputar isu perkauman atau agama je. Ada orang suka ulas isu ni dari sudut tu, sebab akan bangkitkan kemarahan orang. Tapi hakikatnya, bukan macam tu. Banyak elemen lain yang membawa kepada ‘pemecatan’ Maszlee ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *