Kes 1MDB, Riza Aziz dibebaskan tanpa dilepaskan, ini sebenarnya yang berlaku

F1

Perbicaraan Najib-1MDB ni merupakan antara perbicaraan yang paling ditunggu-tunggu sejak PH menang PRU14 lagi. Bukan setakat kita je yang ikuti perkembangan kes berprofil tinggi ni; orang kat luar negara pun sama. Ye lah, kan dah sampai ada dokumentari kat Netflix dan buku-buku yang bercakap tentang 1MDB jadi mestilah liputan kes ni lebih besar hingga ke peringkat antarabangsa.

Dirty Money Netflix
Boleh cari kat Netflix.. Via Jalan Kami.com

Namun disebabkan COVID-19 dan PKP dulu, perkembangan tentang kes perbicaraan bersejarah terbantut seketika. Baru-baru ni pulak, Riza Aziz yang didakwa terlibat dalam kes 1MDB tu telah dilepaskan tanpa dibebaskan.

Riza Aziz dah jadi orang penting Hollywood, dan orang penting skandal 1MDB

Untuk pengetahuan korang, Riza Aziz adalah anak tiri Najib Razak yang kini berdepan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB. Dana tu dikatakan telah disalurkan untuk pembikinan sebuah filem Hollywood popular “The Wolf of Wall Street”.

Riza Joey Jho
Dari kiri ke kanan: Riza Aziz, Joey Macfarlane dan Jho Low… Via Says.com

Riza Aziz jugak adalah CEO Red Granite Pictures dan pengasas bersama syarikat tu dengan Joey MacFarlane. Syarikat penerbitan filem tu turut menerbitkan beberapa lagi filem terkenal seperti “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”. Oleh sebab kejayaan ini, tak hairan jika dia dah disenaraikan dalam senarai top 10 produser baharu yang patut diberi perhatian pada 2011.

Boleh dikatakanlah kehidupan Riza Aziz ni lebih banyak berada di luar Malaysia. Ye lah, dah kaya kan… bapa tiri pun Menteri Kewangan Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia, jadi nak peduli apa sangat pasal negara sendiri. Industri perfileman Malaysia pun perlukan dana yang besar, tapi Hollywood masih dianggap lebih lumayan dan gah.

Red Granite Wolf Of Wall Streets
Kisah filem yang dibintangi Leonardo DiCaprio ni pun berkisarkan skandal penipuan kewangan jugak.. Via LA Times

Pada Julai 2019, dia didakwa atas 5 pertuduhan pengubahan wang haram. Kesemua pertuduhan tersebut adalah berdasarkan pada peristiwa pemindahan dana 1MDB di luar negara ke dalam akaun syarikat dari April 2011 hingga 14 November 2012.

Kemudian, dia mengaku tak bersalah pada Julai tu dan meminta representasi ke Pejabat Peguam Negara agar tuduhan tersebut digugurkan atau dikurangkan pada November tahun yang sama melalui Tetuan Scivetti & Associate. Surat representasi ini cadangkan dia serahkan hak ke atas tiga rumah yang disita oleh pihak Amerika Syarikat.

Riza Aziz Peguam
Via Sinar Harian

Tiga rumah tersebut adalah satu unit banglo di Beverly Hills, California; satu unit pangsapuri di New York dan satu unit rumah bandar di London, United Kingdom.

Selain tu, Riza perlu memberi kerjasama perlu bersetuju agar wang yang dirampas daripadanya yang menjadi hal perkara dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia dan bayar sejumlah kompaun, selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Rumah Riza Aziz Amerika
Via pemimpinpendusta62.blogspot

Pada 11 Mac 2020, pihak Peguam Cara Riza hantar satu lagi surat representasi dengan aku janji bahawa Riza Aziz setuju dengan syarat yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan jika anak guamnya gagal mematuhi terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram dikenakan ke atasnya dikekalkan.

Dengan tu, sehingga Mei 2020 ni kita dah ambil hak milik harta miliknya termasuklah poster 3-helai berwarna litograf berbingkai ciptaan pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem bertajuk “Metropolis” yang telah diterbitkan pada tahun 1927. Benda langka ni mesti tinggi nilainya kat pasaran barangan lama… kan?

Metropolis Leo Riza Aziz
Leonardo DiCaprio kembalikan potret tu lepas dia ketahui asal usul wang tersebut..Via Twitter

Tommy Thomas nafikan dia setuju terima surat representasi, Idrus Harun kata Tommy memang dah setuju “secara prinsip”

Dengan pengembalian harta dan isu penerimaan surat representasi tu, permohonan Riza Aziz untuk dilepaskan tanpa dibebaskan dikatakan mendapat persetujuan dari mantan Peguam Negara, Tommy Thomas. Susulan tu, Tommy Thomas nafikan perkara tersebut dan menyatakan kenyataan SPRM tu tak benar.

Ia dijawab semula oleh Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara ketika ni, dia dah dapat nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk memberi pertimbangan atas representasi tersebut. Malah, dia dah dimaklumkan bahawa Tommy Thomas secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tu. Begitu jugak dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM masa tu, Latheefa Koya.

Tommy Thomas Peguam Negara
Via Todayonline

Pada 16 Mei tu, Tommy Thomas balas semula kenyataan SPRM dan Idrus Harun bahawa dia dah hantar surat representasi tu kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun takde apa-apa respon dari Timbalan tu walaupun lepas dia letak jawatan pada Februari lalu.

Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan lagi pada 17 Mei;

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Gopal setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM.

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut dan ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil serta diadakan,”-Tan Sri Idrus Harun, seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 17 Mei

Idrus Harun Tommy
Via Timur Daily

Seterusnya pada 18 Mei, Tommy menjawab kembali dakwaan ni dengan menyatakan syarat yang dicadangkan tu merugikan negara dan Riza Aziz tak bayar jumlah yang baharu pun melainkan apa yang bakal dipulangkan oleh kerajaan Amerika kepada Malaysia.

Muhyiddin jugak turut disebut sebagai antara ‘dalang’ dalam perubahan status Riza Aziz dalam kes ni, namun ni dinafikan oleh pihak kerajaan dan memetik Tommy Thomas yang dikatakan lebih awal menerima cadangan tu dulu.

Pejabat Perdana Menteri 1mdb Kenyataan Rasmi
Kenyataan rasmi menafikan penglibatan Muhyiddin Yassin… Via Berita Harian

Riza Aziz mungkin jadi saksi pendakwa raya, mungkin boleh buktikan Najib tak bersalah dalam kes 1MDB

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, beritahu Mahkamah Tinggi bahawa senarai saksi mungkin akan berubah dengan nama Riza Aziz dimasukkan bagi pihak pendakwaan. Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah diberitahu, Riza telah menunjukkan kesediaannya untuk menjadi saksi, serta membentangkan beberapa bukti berkaitan.

Riza Aziz Solo 1mdb
Via The Guardian

Ketua peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yakin Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai saksi pendakwaan terbaharu akan meningkatkan peluang anak guamnya untuk didapati tidak bersalah.

“Saya rasa kami (pasukan pembelaan) tidak ada masalah. Jika anda (pasukan pendakwaan) memanggil Riza Aziz, dia hanya akan memberitahu kebenaran. Dan kebenaran itu yang banyak membantu dalam kes beliau.

“Dan kebenaran dari keterangan Riza akan membantu kes anak guam saya. Ia tidak akan berubah. Riza telah beri banyak keterangan sebelum ini, dan beliau tidak akan buat keterangan berlainan. Keterangan beliau tidak menunjukkan beliau bersalah. Dan keterangan beliau tidak akan menunjukkan Datuk Seri Najib bersalah,” – Seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 19 Mei

Najib Solo 1mdb
Via Republic World

Jika telahan ni benar, apakah kita akan melihat Najib Razak tersenyum gembira setelah bertahun berwajah sugul tiap kali memasuki perkarangan Mahkamah? Kami harap perbicaraan kes ni dapat dilaksanakan seadil mungkin. Bertahun-tahun lamanya rakyat disogok mengenai ketirisan wang dari 1MDB tu sehinggakan reputasinya rosak teruk dalam pandangan awam.

Namun jikalau perbicaraan ni membuktikan bahawa Najib sememangnya tak bersalah walaupun dengan berbagai bukti telah disebarkan ke seluruh dunia, nampaknya “permainan media” itu memang wujud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *