Pemuda ni jawab tulisan Hadi Awang yang tak beri penekanan terhadap fungsi Parlimen

F1
Pemuda ni jawab tulisan Hadi Awang yang tak beri penekanan terhadap fungsi Parlimen

Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ni, kami banyak habiskan masa di rumah. Lebih-lebih lagi melihat jumlah kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat. Ketika lepak di rumah, sudah tentulah kita banyak habiskan masa di media sosial. Kami seronok tengok orang yang tak kenal di antara satu sama lain tapi bergaduh macam salah seorang daripada mereka kena kahwin paksa.

Apa-apa pun, tak semua pergaduhan yang berlaku di media sosial tu tak best. Ada perbahasan yang kami rasa menambahkan pengetahuan dan elok untuk dibaca. Salah satunya perbahasan yang kami kongsikan kat bawah ni. Kita mulakan dengan membaca ulasan TG Hadi Hawang dulu, berkenaan sidang Parlimen yang dilakukan sehari.

Hadi sifatkan mereka yang mahu bersidang panjang punya “nafsu serakah”

(Bahagian ini dan subtopik Hadi bawak contoh kisah nabi Adam dan Hawa untuk tunjukkan kelemahan manusia merujuk hantaran media sosial TG Hadi Awang yang bertajuk Minda Presiden PAS. Untuk tulisan penuh, boleh rujuk hantaran ini.) 

TG Hadi Awang tertarik dengan mereka yang beriman dengan demokrasi sehingga melampaui batas lebih daripada kepatuhan kepada rukun Islam.

Katanya lagi – Allah SWT tak memaksa hambaNya dalam melaksanakan perkara rukun agama yang menjadi perkara pertama dan utama dalam keperluan manusia mengikut petunjuk Allah SWT, namun dalam keadaan terpaksa untuk menyambung atau memanjangkan talian hayat hidup di dunia yang menjadi jambatan akhirat itu, Allah SWT memberi kelonggaran dan kemudahan dalam banyak perkara, yang dinamakan rukhsah.

Sehingga ibadat kepada Allah SWT boleh ditangguhkan atau diringankan sekiranya wujud keadaan yang mengganggu kehidupan atau mengancam keselamatan dan nyawa. Allah SWT mengurniakan rahmat dalam perkara yang jadi rukun Islam seperti ibadat solat, haji dan puasa Ramadhan yang boleh untuk ditangguh jika ada sebarang keuzuran.

Namun manusia tidak boleh bertangguh melaksanakan perintah rukun-rukun Islam disebabkan nafsu serakah yang berkehendak, sekalipun lidahnya menyebutkan konsep Rahmatan Lil ‘Aalamin. Khususnya apabila manusia itu bersifat rakus kepada kuasa sehingga melampaui batas kemanusiaan dan hukum nafsunya tidak mahu diubah.

Inilah sebabnya Allah SWT mentarbiah Nabi Adam AS, bapa bagi sekalian manusia yang dahulu berjaya digoda oleh Iblis yang dilaknat supaya kisah itu menjadi iktibar kepada zuriat Adam dan Hawa AS.

Budakraya
Korang masih ingat tak kisah Nabi Adam ni? Via Youtube

Hadi bawak contoh kisah nabi Adam dan Hawa untuk tunjukkan kelemahan manusia

Allah SWT mentarbiah Adam dan Hawa AS dengan mendedahkan sifat kelemahan manusia dengan ajakan nafsu sehingga mengalahkan akalnya, kerana terlalu bernafsu mahu hidup selama-lamanya dan mempunyai kuasa yang berkekalan.

Akhirnya dapat digoda oleh ketua syaitan, Iblis yang telah dikenali dan diberikan peringatan oleh Allah, serta ditunjukkan kejahatannya yang berbeza dengan malaikat yang sangat mulia. Selain itu, dipaparkan kepada Adam AS betapa para malaikat memberikan ketaatan kepada Allah secara mutlak.

Adam dan Hawa AS dihukum oleh Allah SWT sehingga dilucutkan pakaian di syurga dan dihalau ke bumi, tempat yang telah ditentukan oleh Allah kepada makhluk manusia. Namun Adam dan Hawa menyesal dan bertaubat sebagaimana dirakamkan melalui firman Allah:

Mereka berdua merayu; “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”(Surah al-A’raf: 23)

Adapun Iblis yang menjadi kepala syaitan itu tidak bertaubat kerana sifat takabbur (sombong) dan degil.

Dalam menghadapi bencana wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, sekalipun saya tidak mempunyai ilmu perubatan, tetapi saya percaya kepada pakar perubatan yang memberi amaran dalam menghadapi wabak ini menerusi beberapa arahan.

Via Giphy

TG Hadi Awang katanya tetap menerima arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan mereka, walaupun orang tuduh saya penakut dan tak yakin kepada qadha’ dan qadar Allah SWT.

Khalifah Umar bin al-Khattab RA juga pernah dituduh sebegitu apabila membatalkan lawatannya ke Syam ketika dilanda wabak taun amwas yang masyhur di dalam sejarah. Tindakan Saidina Umar RA menetapkan kuarantin bagi menjaga nyawa yang menjadi kewajipan. Bahkan menjadi dosa paling besar membunuh diri dan membunuh orang lain tanpa sebarang kesalahan yang wajar.

Budakraya
Hadi Awang. Via Astro Awani

Apa yang menarik perhatian saya kepada pihak berkenaan yang mendukung demokrasi yang berteraskan perjuangan Greek Purba apabila melaungkan slogan dalam Bahasa Latin iaitu vox populi, vox dei (suara rakyat suara tuhan) atau diubah suai pula kepada Bahasa Melayu dengan slogan “suara rakyat suara keramat”.

Tulisan ini dikritik Hazman Baharom, dia mengatakan Hadi sengaja tak tekankan fungsi Parlimen dalam tulisannya

(Bahagian ini merujuk kepada hantaran media sosial Hazman Baharom berkenaan kritikan terhadap tulisan TG Hadi Awang)

Keseluruhan artikel TG Hadi Awang berpusatkan satu fokus sahaja: wabak COVID-19 merupakan sesuatu yang bahaya, disebabkan itu sidang Parlimen perlu dipendekkan (dan seperti yang telah kita lihat, tanpa adanya perbahasan). Dari situ didatangkan banyak bukti dari sejarah, ayat Quran, dan hadis. Kemudian, andaian yang digunapakai beliau ialah “kerajaan lebih tahu, rakyat tidak berapa tahu.” Sebab itulah ada dipetik hadis tentang tebuk lantai kapal itu.

Artikel ini tidak meneliti langsung fungsi Parlimen dalam sistem kenegaraan kita. Saya fikir penulisnya sengaja tidak mahu sentuh bab itu. Fungsi Parlimen yang paling utama adalah untuk menjadi arena semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan, dan seperti yang kita semua tahu, belum ada satu pun perbahasan Parlimen sejak PN menjadi kerajaan baharu.

Tanpa semak dan imbang, terlalu banyak masalah yang boleh timbul, khususnya di pihak kerajaan. Segala dasar kerajaan tidak boleh dipersoalkan secara absah. Ada risiko besar untuk penyalahgunaan kuasa, pembaziran hasil-mahsul negara, dan kesilapan dalam tadbir urus.

Memang sistem kenegaraan berpaksikan Parlimen ini tidak wujud seperti yang kita ada kini sepanjang sejarah awal Islam, tetapi jangan kita lupa, semangat yang mendasari Parlimen telah lama dipraktikkan oleh tokoh-tokoh terdahulu seperti Umar dengan majlis enam orangnya.

A Dispute Between Taiwan And China Is Causing Problems For The Who E1585834999199
Via ATTN

Atas sebab itulah pemikir kontemporari seperti Louay Safi, al-Qaradawi, Jasser Auda, Kaled Abou El-Fadl, dan lain-lain melihat demokrasi berparlimen sebagai sesuatu yang mampu mencapai aspirasi konsep “syura” seperti yang diwajibkan Islam ke atas pemerintah.

Mereka yang mendesak untuk diadakan perbahasan Parlimen tak menolak pentingnya sikap berjaga-jaga ketika wabak. Artikel Abdul Hadi ini seolah-olah mahu meletakkan pertentangan bersifat Manichean, iaitu “kalau sokong ada perbahasan sekarang, maka tidak berwaspada dengan wabak” dan sebaliknya.

Hakikatnya bukan begitu. Ada banyak cara boleh dilakukan untuk memastikan proses perbahasan berlaku seperti yang telah banyak ditunjukkan oleh negara lain, seperti melalui konferens atas talian.

Jika mahu merujuk kaedah fiqh, bukankah ada kaedah “al-mashaqqah tajlib al-taysir” (kesukaran membuka jalan kepada cara yang mudah)? Dengan segala halangan untuk bersidang di Parlimen tetapi aspirasi Parlimen dan konsep syura perlu juga dijalankan, maka kerajaan bertanggungjawab mencari jalan untuk sidang perbahasan dijalankan juga, walaupun bukan secara bersemuka.

Memang banyak perkara ditangguhkan oleh para sahabat Nabi dan tokoh Islam sepanjang wabak berlangsung, seperti contoh Umar yang disebut dalam artikel. Apabila kita melihat sejarah, kita harus melihat konteksnya juga. Zaman mereka, ilmu perubatan belum semaju hari ini, bahkan ilmu penyakit berjangkit juga masih belum difahami dengan jelas sehinggalah zaman Ibn Sina.

Pada masa itu juga, mereka tidak punyai sarana lain untuk melakukan perkara-perkara yang ditangguhkan itu. Pada masa kini, kita punyai terlalu banyak cara untuk bersidang, dan wabak tidak boleh lagi menjadi alasan. Apa sudah jadi kepada hadis “antum a’lamu bi umur dunyakum” (kamu lebih mengetahui urusan duniamu)?

Wang negara ialah wang rakyat. Kita semua faham hakikat itu. Sepanjang wabak COVID-19 menular, tidak ada satu pun lagi peluang untuk kerajaan baharu dipertanggungjawabkan atas segala tindakannya sepanjang wabak. Dengan pernyataan ini, saya tidak memaksudkan tindakan kerajaan sebagai tidak betul (malah sebenarnya, Malaysia memiliki respons terhadap COVID-19 antara yang terbaik di dunia), namun sikap tanggungjawab di pihak kerajaan di depan rakyat itulah yang menjadi pertikaian saya.

Dalam sistem kenegaraan kita, Parlimen adalah satu-satunya ruang yang absah untuk segala dasar dan tindakan kerajaan dipersoalkan, diperhalusi, dikritik, dan diperbaiki. Jika kerajaan menjadikan wabak sebagai alasan walaupun terdapat banyak sarana lain yang boleh digunapakai, kerajaan seolah-olah sedang bersikap sambil lewa dengan tanggung jawabnya kepada rakyat.

A Dispute Between Taiwan And China Is Causing Problems For The Who E1585834999199
Hazman Baharom. Via FB

Tiada siapa yang beriman dengan demokrasi dan berkiblatkan White House. Demokrasi bukan agama. Dan kita semua tahu, ada banyak masalah besar dengan sistem pentadbiran Amerika. Kita juga tahu, sistem kita berbeza dengan mereka.

Barangkali Hadi tak mengetahui kewujudan instrumen untuk mengadakan sidang Parlimen penuh…

Bagi pengikut ORANGKATA, sudah tentu mereka tahu yang kami sentiasa menyokong perbahasan Parlimen secara penuh. Tak kiralah bagaimana sidang Parlimen tu dilakukan, apa yang penting berlaku perbahasan. Sehingga hari ini, bantuan baharu untuk rakyat belum lagi diumumkan, sedangkan kita semua sedar yang Jun telah tiba (bantuan hanya untuk April dan Mei sahaja).

Selain fungsi Parlimen yang telah disebutkan Hazman, kelihatan TG Hadi Awang tak melihat “instrumen” lain untuk bersidang – seperti persidangan di atas talian. Barangkali dia tidak memiliki ilmu yang jelas tentang kewujudan instrumen seperti ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top