Kes Covid-19 nampaknya naik mendadak, ini LIMA kluster baru yang perlu diketahui

F1

Di awal musim PKP dulu, kami dah cerita sikit pasal 3 kluster utama: kluster pelancong luar, pegawai kerajaan yang baru sampai dari luar negara dan kluster perhimpunan Sri Petaling. Beberapa minggu lepas tu, ada pulak kluster gereja dimana korban pertama kita adalah paderi dari Sarawak. Kemudian, ada lagi kluster petugas kesihatan di Sabah.

Petugas Kesihatan
Via Berita Harian

Pada akhir bulan Mei ni pulak, kita ada lebih dari 5 lagi kluster aktif. Ni antara kluster tersebut:

1. Warga asing terjangkit akibat penempatan yang bersesak, kini jadi kluster tahanan imigresen

Lebih popular dilaporkan sebagai ‘Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI)’, kluster ni datangnya dari kumpulan-kumpulan besar warga asing yang telah ditahan dan ditempatkan di beberapa depoh tahanan imigresen. Dulu heboh jugak kat media sosial mengenai warga asing ni, misalnya Rohingya yang terpaksa kita tolak dari memasuki sempadan kita.

Warga asing termasuklah segelintir pekerja migran biasanya tinggal di kawasan yang sempit dan terpaksa berkongsi dengan ramai orang. Ni yang buatkan penjarakan sosial menjadi suatu perkara sukar untuk dilakukan, maka takde sebab untuk kita benci warga asing pulak. Penyakit ni tak memilih rupa, bangsa atau warganegara pun.

Kluster DTI ni telah dikenal pasti di beberapa depoh seperti Bukit Jalil, Sepang dan Semenyih. Ketika artikel ni ditulis, seramai 227 orang warga asing positif COVID-19. Jumlah ni boleh berubah ikut keadaan semasa kerana kita masih tunggu keputusan lebih dari 2,000 sampel lagi dari ketiga-tiga depoh.

Walau bagaimanapun, 1,807 sampel dari warga asing adalah negatif daripada 4,702 sampel. Secara ringkasnya, 227 kes positif dalam kluster DTI ni melibatkan warga asing dari pelbagai negara.

Daripada 227 tu; 53 kes warganegara Bangladesh, 41 kes warganegara India, 38 kes warganegara Indonesia, 37 kes warganegara Myanmar, 28 kes warganegara Pakistan. 17 kes warganegara China, 4 kes warganegara Kemboja, 3 kes warganegara Nepal, 2 kes warganegara Sri Lanka, 1 kes warganegara Filipina, 1 kes warganegara Libya, 1 kes warganegara Mesir dan 1 kes warganegara Syria.

Kluster Dti Sepang
Via Malaysiakini

KKM dengan kerjasama agensi penguatkuasa tetap menguatkuasakan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan untuk warga asing yang ditahan dalam depoh tu. Sebab tulah, ada kemungkinan punca jangkitan tersebut datangnya dari pengendali makanan seperti dalam kes 5 mahasiswa UPSI yang positif COVID-19 baru-baru ni.

2. Peniaga dan pekerja pasar dijangkiti COVID-19, Pasar Kajang terpaksa tutup operasi

Pada 18 Mei lalu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dah buat program saringan yang bertempat di Dewan Seri Cempaka MPKj Saujana Impian untuk pastikan tahap kesihatan 216 orang peniaga dan pekerja pasar susulan beberapa kes positif kat beberapa pasar awam di Selangor.

Pasar Kajang
Via PropertyGuru

Untuk penduduk berdekatan Hulu Langat, Pasar Kajang merupakan antara pasar utama yang membekalkan sumber makanan mentah dan kekal dibuka sepanjang PKP pada bulan Mac lalu. Akibat ancaman wabak COVID-19 ni, Pasar Kajang terpaksa ditutup sehingga 26 Mei bagi proses sanitasi.

Keputusan saringan tersebut mendapati seramai lima orang disahkan dijangkiti Covid-19, tiga daripadanya merupakan peniaga tempatan dan dua daripada jumlah tu pulak adalah warga asing yang bekerja di sana.

https://www.youtube.com/watch?v=zXHdTBP-UR0

Walau bagaimanapun, PKPD takkan dilaksanakan susulan kluster Pasar Kajang tu. Pada Mac lalu, 7 buah kampung di Hulu Langat telah dikenakan sekatan PKPD dan telah ditamatkan pada bulan April.

3. Jangkitan dari Pesantren di Indonesia dibawa masuk ke dalam negara oleh para pelajar yang baru kembali

Satu lagi kluster dicatatkan sebagai ‘kluster Pesantren’ telah dikenal pasti apabila 72 orang pelajar Malaysia di Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro di Magetan, Jawa Timur yang kembali ke tanah air tu positif COVID-19. Sementara tu, 29 orang pelajar Malaysia tak dibenarkan pulang kerana telah dikenal pasti positif di Indonesia dalam pemeriksaan rapid test Covid-19.

Pondok Pesantren Temboro Covid Al Fatah
Via Pondon Pesantren

Boleh dikatakan kluster ni ‘dikongsi’ oleh dua negara, di mana ada antara para pelajar pesantren Al-Fatah ni jugak merupakan warganegara Indonesia yang turut didapati positif. Para pelajar Indonesia tu kemudiannya pulang ke kampung halaman masing-masing seperti Riau dan Aceh, menyukarkan pihak berkuasa di sana menjejaki pergerakan mereka.

Pada April lalu, Magetan antara daerah di Jawa Timur yang paling banyak kadar kes positif wabak tu dan disyaki berpunca dari sekolah pondok pesantren Al-Fatah. Dalam saringan yang dijalankan pada April lalu, pihak penguatkuasa Indonesia tumpukan pada penghuni kompleks penempatan 43 pelajar Malaysia.

Pesantren Al Fatah
Harapnya takdelah diskriminasi terhadap pelajar kita di sana. Via Seputar Riau.

Tak diketahui sama ada jangkitan kluster pesantren di Magetan ni ada kena mengena dengan kluster Sri Petaling di Malaysia. Tetapi Jakarta Post kata pesantren tersebut adalah pusat Jamaah Tabligh dan mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di Malaysia, India dan Sulawesi Selatan yang disyaki jadi punca penularan penyakit tu.

4. Hanya tahu positif lepas kematian mangsa, stigma terhadap kluster tahfiz di Sendayan semakin kuat

Tak banyak yang dilaporkan tentang kluster Sendayan, jadi apa yang kami dapat kumpulkan untuk korang adalah kluster Sendayan sebenarnya datang dari sebuah tahfiz di sana. Menurut laporan Malaysiakini, para penduduk di sana hanya maklum tentang status jangkitan COVID-19 di kampung mereka lepas salah seorang pemimpin berusia 54 tahun meninggal dunia.

Penduduk Nusari Aman
Via Berita Harian

Miqdam Bakhtiar, salah sorang ahli kumpulan yang urus tahfiz tu berkongsi dari pihaknya mengenai asal-usul kluster Sendayan tu. Katanya, mangsa sememangnya diketahui ramai telah menghidap beberapa penyakit kronik seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi serta ada komplikasi jantung.

“Beliau menderita penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi sejak beberapa lama. Selain itu, dia juga menghadapi komplikasi jantung.

“Oleh itu, kami sangka beliau hanya tak sihat kerana kadangkala memang keadaannya seperti itu. Dan bila dia sihat, kadang-kadang dia akan keluar untuk melawat pelajar tahfiz AFT dan bersolat bersama mereka.

“Jika tidak, dia akan menghabiskan masa berehat di rumah, terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP),” – Miqdam Bakhtiar

Miqdam sendiri hairan dari mana mangsa dapat jangkitan tersebut, kerana mangsa bukan peserta perhimpunan di Sri Petaling. Susulan status sampel positif tu, KKM segera saring kontak rapat dan mendapati 39 orang telahpun dijangkiti wabak tu. Ini termasuk 11 ahli keluarga mangsa dan 15 pelajar tahfiz lain. Seremban terus diisytiharkan sebagai zon merah.

Sebab tulah, Miqdam sebagai salah sorang ahli yang urus tahfiz tu menyedari bahawa dah mulai wujud stigma terhadap kumpulan tahfiz. Mereka ni pun terkenal jugak dengan aktiviti kemasyarakatan sekitar Sendayan, tetapi boleh jadi penularan wabak tu lebih buatkan orang jadi takut dan salahkan mereka pulak sebagai punca zon merah.

5. Khabar angin penularan jangkitan wabak tak redakan sibuknya Chow Kit, diarah PKPD sebagai kawalan penyakit

Sejak akhir April lalu, nama Pasar Chow Kit disebut-sebut sebagai satu lagi kawasan yang disyaki bahaya apabila ada khabar angin kata terdapat 3 peniaga pasar tu adalah positif COVID-19. Oleh demikian, KKM dah laksanakan ujian saringan ke atas sekurang-kurangnya 1,000 peniaga dan pekerja di pasar berkenaan.

Suasana Pasar Ramadhan Chow Kit
Via Malaysia Gazette

Malaysia Gazette yang turun buat tinjauan di pasar tersebut melaporkan bahawa aktiviti masyarakat masih lagi berjalan di Pasar Chow Kit ketika khabar angin tu diperkatakan dalam media sosial. Sejak jam 6 pagi lagi, sudah ramai beratur untuk beli keperluan bahan mentah serta makanan asas lain. Anggota penguatkuasa turut turun untuk kawal keadaan di pasar tu.

Kemudian pada 28 April lalu, Pasar Chow Kit telah ditutup selama 2 minggu untuk kerja basmi kuman serta supaya nak pastikan semua peniaga dan pekerja jalani saringan. Hasil saringan tersebut mendapati sebanyak 89 individu positif COVID-19, menyebabkan kawasan Chow Kit khususnya sekitar Jalan Raja Bot dikenakan PKPD awal Mei lalu.

Semoga situasi COVID-19 di negara kita akan semakin surut, jadi kita boleh kembali kepada normal

Melihat kepada peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa hari ni, kami bimbang keadaan selepas ni akan jadi lebih teruk. Apa yang lebih menakutkan, ramai daripada kita hilang “manusiawi” apabila gembira melihat warga asing dijangkiti COVID-19, padahal kluster ni boleh je jangkiti kita. Kumpulan orang ni mungkin lupa, benda ni mungkin terjadi kerana kaedah kita uruskan warga asing ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *