Lepas ambik vaksin dah boleh bakar topeng muka? Ini jawapannya

F1

Sejak lewat tahun lalu, kita dah sedia maklum mengenai kedatangan vaksin di tanah air. Beberapa isu yang dah kami bangkitkan dalam artikel lepas, seperti perkembangan vaksin di seluruh dunia, bagaimana vaksin tu sebenarnya berfungsi dan macam mana nak tangani geng anti-vaksin ni. Jadi kali ni, kami nak membawakan korang perkembangan vaksin dalam negara pulak.

728 X 90

Apa yang kita boleh nantikan lepas vaksin fasa 1 bakal diedarkan? Bolehkah kita bakar je pelitup muka kita dan teruskan hidup macam dulu? Hah… soalan-soalan baik ni kami cuba rungkaikan jawapannya supaya korang mudah faham dan hadam,. Teruskan membaca!

Vaksin Jarum Suntik
Via Nature

Malaysia dah selesai buat ujian klinikal dengan sukarelawan, vaksin terbukti selamat untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas

Jika korang perasan, hanya beberapa minggu selepas rundingan vaksin dimeterai oleh MOSTI dan KKM dengan syarikat pengeluar vaksin ni; ada iklan dibuka untuk mencari sukarelawan yang nak ambil vaksin tersebut. Adakah ni bermakna vaksin tu sebenarnya tak diyakini oleh kerajaan? Salah tu… yang betul adalah tu merupakan prosedur wajib negara.

Terdapat beberapa peringkat ujian dalam pembuatan vaksin ni, iaitu praklinikal dan kajian klinikal. Praklinikal ni di peringkat makmal, manakala ujian klinikal yang kami sebut ni pulak kena libatkan sukarelawan. Walaupun dah banyak data kejayaan boleh dilihat daripada ujian sampel dari negara-negara maju yang lebih awal menerima vaksin tersebut, kerajaan Malaysia masih menetapkan agar vaksin ni kena lulus ujian klinikal jugak. Bila vaksin tu lulus ujian klinikal, maka barulah Bahagian Regulatori Negara akan luluskan pengedaran vaksin tersebut.

Proses Daftar Vaksin Malaysia
Via KKM

Peringkat paling atas yang kawal selia operasi pengedaran ni adalah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV). Jawatankuasa ni distrategikan oleh KKM dan MOSTI sendiri, dengan nama rasminya ‘Program Kebangsaan Imunisasi COVID-19 ‘. Lepas disahkan lulus oleh Bahagian Regulatori Negara, ia kemudiannya dinilai oleh kerajaan dengan spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (BMP). Kalau lulus, proses seterusnya adalah pendaftaran iaitu di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Dengan pelbagai agensi berada di hadapan rakyat untuk memastikan vaksin tu adalah yang terbaik untuk Malaysia, pastilah benda ni akan memakan masa yang lama. Ada jugak sebenarnya kami skrol komen-komen warganet, segelintir kecil tu macam merajuk je kenapa Malaysia tak bagi awal macam Singapura atau Indonesia. Boleh jadi Singapura tak setelus kita ataupun mereka jauh lebih awal berunding dengan Pfizer. Manakala untuk Indonesia, fasa awal pengedaran vaksin mereka bukanlah vaksin Pfizer.

Vaksin Pfizer Berkesan 95 Peratus
Via Jabatan Penerangan Malaysia

Memandangkan dah wujud program rasmi untuk edarkan vaksin, ni bermaksud vaksin Pfizer mencapai piawaian kita. Secara umumnya, vaksin akan diedarkan secara berperingkat dan mengikut peranan serta lingkungan umur. Fasa 3 iaitu fasa untuk golongan dewasa berumur 18 tahun dijangka akan selesai pada 2022. Kenapa pulak Malaysia tak bagi vaksin untuk budak-budak?

Ni kerana setakat ni, takde bukti klinikal yang gunakan kanak-kanak sebagai sukarelawan. Kalau dewasa, sistem imun kita agak kuat berbanding remaja dan kanak-kanak. Semua orang, termasuklah pekerja asing, layak dapat vaksin kecuali individu yang ada salah satu daripada 2 benda ni;

  • Mempunyai sejarah alahan/alergi serius (anafilaksis) terhadap ubat/makanan/vaksin yang perlukan rawatan di hospital
  • Mempunyai sistem imun/pertahanan badan yang lemah akibat penyakit atau rawatan ibu mengandung atau tengah susukan anak

Lepas dapat vaksin, jangan gopoh dan lalai tak amalkan norma baharu berkenduri sakan ke sana ke sini

Seperti yang dah diumumkan baru-baru ni, rakyat boleh mendaftar untuk vaksin COVID-19 menerusi Mysejahtera atau laman sesawang khas (www.vaksincovid.gov.my) bermula 1 Mac nanti. Selain tu, korang boleh daftar secara manual seperti terus hadir je ke fasiliti kesihatan awam dan swasta, ataupun melalui program bantuan khusus untuk penduduk luar bandar.

Kebanyakan vaksin COVID-19 ni akan memerlukan korang ambil 2 dos bagi memastikan perlindungan sepenuhnya dapat dicapai. Walaupun begitu, manalah tau kot-kot korang dapat vaksin yang lebih kuat sehingga hanya perlukan korang ambil 1 dos je. Selain Pfizer, kita turut berjaya mendapatkan bekalan vaksin dari kerjasama antarabangsa COVAX dan kerjasama dengan kerajaan negara lain.

Vaksin Procurement Suntikan Percuma
Vaksin percuma ye.. -Via Facebook

Bagi mencapai tahap imuniti, 70-80% populasi rakyat Malaysia perlu dapatkan vaksin untuk kawal jangkitan. Ni bermaksud bekas pesakit COVID-19 jugak boleh terima vaksin tersebut, sekaligus meningkatkan perlindungan komuniti sekelilingnya. Lain pulak kesnya untuk pesakit COVID-19; mereka kena tangguhkan dulu ambil vaksin sewaktu masih lagi disyaki positif.

Satu lagi info penting – korang hanya boleh ambil dos kedua ikut jenama yang sama dengan dos pertama tu. Maksudnya, korang kena ikut jadual imunisasi iaitu dos pertama berjarak 14 hari dengan dos kedua. Bila korang dah terima suntikan tu, ia tak bermakna korang dah sepenuhnya imun tau. Kita masih lagi perlu amalkan norma baharu termasuklah pemakaian pelitup muka dan prinsip penjarakan fizikal. Jangan jadi macam Israel – baru dos pertama, dah berpesta. Lepas tu hairan kenapa pulak positif…

Netyanhu Israel Vaksin
Via Business Insider

Ni jugak bermaksud korang tak semestinya dibenarkan untuk terbang ke luar negara terus ye walaupun dah ambil vaksin. Perkara ni tertakluk dengan budi bicara dan keputusan kerajaan, dengan penilaian semasa daripada laporan kes jangkitan. Cadangan gelembung perjalanan (travel bubble) dilihat relevan jugak untuk masa akan datang, dengan syarat negara lain pun dah edarkan vaksin kepada masyarakatnya.

Vaksin belum wajib, tapi ramai sokong sekiranya penerima vaksin dapat hak istimewa

Buat masa ni, KKM kata benda ni secara sukarela je. Geng anti-vaksin mesti tepuk tangan je dengar, sebab ramai jugak yang desak kerajaan untuk paksa mereka ni ambil vaksin. Ketika ni, nampaknya kerajaan belum ada ura-ura nak buat inisiatif untuk memujuk rakyat terima vaksin. Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba kata mereka yang tak setuju untuk terima vaksin masih lagi dibolehkan, dengan syarat mereka tak boleh kempen untuk tolak vaksin.

“Cuma saya nak ingatkan kepada mereka yang tidak bersetuju, jangan kempen tidak bersetuju kepada orang lain kerana ini menyalahi kaedah kerana bila anda kempen untuk tidak (bersetuju) kepada orang lain, ini akan menyebabkan macam-macam tohmahan atau perkara yang mungkin tak dapat (dilaksanakan) dan ia menyalahi Akta 342,”- Seperti yang dilaporkan Astro Awani

Yb Adham Baba
Kalau korang dah lupa wajah Menteri Kesihatan tu bagaimana… -Via MTPN

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun pulak mencadangkan kerajaan boleh ambil insiatif untuk memujuk rakyat yang masih ‘atas pagar’ ni terima vaksin. Misalnya, boleh bagi kod QR istimewa untuk mereka membabitkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam seperti kapal terbang, tren dan bas.

“Contohnya hanya rakyat yang diberi vaksin sahaja dibenarkan menaiki penerbangan sama ada untuk menunaikan haji, umrah atau untuk melancong,” – Seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Memandangkan kita boleh anggarkan sebahagian besar rakyat akan memohon vaksin menerusi Mysejahtera, dah siap satu kerja kerajaan untuk pantau siapa yang dah terima vaksin dan siapa yang belum terima lagi. Begitu jugak dengan permohonan rasmi penerimaan vaksin, yang mana turut memerlukan mereka isi data penting seperti nombor kad pengenalan. Pemantauan boleh dilakukan dengan lebih baik terutamanya apabila kita pun dah mewajibkan penggunaan Mysejahtera ni.

Oleh sebab kita tak boleh paksa mereka ni ambil vaksin, kita masih boleh halang mereka untuk memasuki premis atau berkeliaran di tempat awam. Macam orang merokok lah, kita benarkan mereka merokok sepuasnya di tempat-tempat tertentu je. Malah kalau difahami lebih teliti, Dr. Adham macam bagi hint bahawa sesiapa yang tak terima vaksin ni boleh didakwa di bawah Akta 342. Tu telahan kami je lah…

Sementara program imunisasi ni berjalan mengikut jadual yang telah dirancangkan, kerajaan pun tak harus alpa dan lupa kepada rakyat. Rakyat tetap memerhatikan gerak-geri kerajaan dan pak-mak menteri. Mendasari tanda pagar #KitaJagaKita, kita harus terus kuat dan bersungguh-sungguh cuba untuk bantu meringankan masalah rakyat khususnya golongan terpinggir. Geng anti-vaksin dan anti-sains akan terus cuba penuhkan otak rakyat dengan benda-benda pelik, mengarut dan luar biasa; satu lagi cabaran baharu Malaysia menjelang 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *