займ срочно

Ada yang suka buli orang di Internet, sampai ada yang bunuh diri kerana buli siber

F1
Ada yang suka buli orang di Internet, sampai ada yang bunuh diri kerana buli siber

Buli siber adalah fenomena yang dah jadi kebiasaan dalam masyarakat hari ni. Ramai lupa diri bila kat media sosial, kononnya nak acah hebat mengkritik, “menegur” dan kecam orang. Kerana nak kumpul tanda “suka” dan “kongsi” yang banyak hingga beribu-ribu jumlahnya setiap hantaran, maka segala aib buruk dicari dan diletakkan kat pandangan umum.

Hanya bila kesan tu dirasai diri sendiri atau kenalan terdekat, ataupun mangsa tu tertekan hingga berbuat sesuatu yang sangat besar impaknya kepada masyarakat… barulah masyarakat awam sedar diri. Kes bunuh diri kerana buli siber ni bukan lagi kes terpencil; ramai jadi korban sebab media sosial.

Buli Siber Malaysia Statistik
Buli siber di Malaysia semakin menjadi-jadi.. Via Soscili

Gadis 20 tahun tertekan dikecam tanpa bukti, akhirnya ditemui tergantung di biliknya

Baru-baru ni, seorang gadis berusia 20 tahun bernama Thivyaanayagi Rajendran mengambil keputusan untuk bunuh diri akibat tekanan perasaan selepas video TikToknya dimuat naik semula di sebuah laman Facebook, mengundang beratus-ratus komen buruk terhadapnya. Video tersebut memaparkan dia bersama seorang rakan kerja sedang melakonkan satu adegan dalam sebuah lagu berbahasa Hindi.

Tiktok Thiva Buli Siber
Via Youtube

Video yang pada mulanya hanya bertujuan untuk suka-suka je akhirnya bertukar menjadi bahan ejekan komuniti Facebook apabila ia yang dimuat naik rakan sekerja wanita tu dan seterusnya dimuat naik kembali oleh seorang pengguna Facebook bernama “Jocker Oruvan”. Turut dimuatkan kapsyen berbahasa Tamil:

“Bagaimana gadis ini jatuh cinta dengan seorang Bangla…semua orang tentu merestui anda.”

Pakcik Thivyaanayagi, K Sathyaseelan kata anak saudaranya sangat terganggu dengan komen-komen tersebut, di mana kebanyakannya mengejek gadis tersebut yang dikatakan ‘berjanji temu’ dengan rakan pekerja lelaki yang didakwa dari Bangladesh. Tu pun taktau betul ke tak, sebab tak semua kapsyen kat Facebook tu menerangkan perkara sebenar.

Gadis India Bunuh Diri Tiktok
Via Wee Thing Thong.org

Mereka dah buat laporan polis pada 19 Mei tu, dan telah diterima oleh polis di bahagian Jenayah Siber. Selain tu, mereka turut meminta laman tersebut untuk padam hantaran video tersebut namun tak dilayan. Malah, pentadbir laman tu suruh mereka pulak minta maaf.

Keluarga mangsa tak faham kenapa mereka pulak kena minta maaf, jadi konflik tersebut tak selesai lepas interaksi keluarga tu dengan pentadbir laman tersebut.

“Tapi laman tu masih wujud pada hari tu dan komen masih lagi tak berhenti. Kami maklumkan pada polis untuk hentikan (hantaran tersebut dari terus wujud di laman tu). Kami kemudiannya hantar mesej kepada pentadbir laman tu, minta mereka untuk padam video tu.

Pentadbir laman tu suruh kami rakam video memohon maaf jika dia (Thivyaanayagi) nak video tu dipadam. Kami tak tau nak minta maaf sebab apa. Mereka agak kasar bila kami minta mereka padam hantaran tersebut.”-Sathyaseelan, seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today pada 21 Mei

Pembuli siber tak peduli, hanya ketawa lepas tau mengenai berita pemergian Thivyaanayagi

Lepas pentadbir laman tersebut enggan padam hantaran tu, Thivyaanayagi masuk ke dalam biliknya kira-kira jam 8 malam. Selepas beberapa panggilan telefon dari keluarganya tak diangkat, abangnya Taran terpaksa pecahkan pintu biliknya dan menemui mayatnya tergantung pada jam 9.30 malam. Dia sempat tinggalkan nota selamat tinggal untuk keluarganya.

Surat Bunuh Diri Gadis Tik Tok India Buli Siber
Dia turut minta maaf sebab dia rasa dia dah malukan keluarganya. Via The Leaders Online

Kes ni mendapat perhatian awam setelah keluarganya berkongsi mengenai berita pemergiannya. Ramai meratapi kehilangannya, tetapi pentadbir laman tersebut dikatakan tak rasa sedih pun. Kakaknya, Logeshwari Rajendran akhirnya dapat hubungi akaun yang muat naik video tu dan memaklumkan padanya bahawa kerana tindakan buli siber tu, adiknya telah pergi buat selamanya.

Logeshwari kata orang tersebut hanya membalasnya dengan emoji ketawa dan masih tak percaya adiknya bunuh diri sebab buli siber. Sementara tu, pihak polis masih menyiasat kes tersebut. Menurut R Vikraman yang merupakan penasihat perundangan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), pentadbir laman Jocker Oruvan boleh didakwa di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes bunuh diri Thivyaanayagi Rajendran.

Thiva Buli Siber Gadis India
Pemergian Thivyaanayagi ditangisi ramai.. -Via Ohbulan

Bila diselidiki, Thivyaanayagi pun bakal melangsungkan perkhawinan dengan teman lelakinya selama tiga tahun pada Disember ni. Memandangkan kita tak tau pun banyak perkara tentang mereka selain dari skrin, pembuli siber pulak ‘tolong’ tuliskan cerita yang taktau sahih ke tak. Dah layak boleh dianggap fitnah ni lagi-lagi khususnya apabila mereka sebenarnya cuma teman tapi mesra.

Kerana populariti dan takde empati, pembuli siber jadi tak peduli dengan nasib mangsa buli tu

Perkara ni pun banyak terjadi sebenarnya di media sosial. Korang pun mungkin pernah terjumpa jugak kes-kes macam ni, iaitu di mana ada orang muat naik video atau gambar yang boleh mengundang kecaman. Ditambah lagi dengan kapsyen yang tentunya buatkan orang tambah beremosi, komen-komen buruk membanjiri hantaran tu.

Buli Siber
Via Axello

Jangan kerana nak populariti dan takde rasa empati, kita sebagai pengguna media sosial ni jadi sebahagian dari kelompok pembuli siber. Bila ada orang lain menerima kesan, jadi tak nak pula bertanggungjawab dengan tindakan sendiri di media sosial tu.

Kita sebagai orang awam ni boleh mengadu je dekat pihak berkuasa; tapi orang awamlah sebenarnya lebih berperanan besar dalam membendung buli siber ni. Oleh tu, kita semua kena hati-hati dengan apa yang kita tinggalkan kat media sosial tu. Tak pasal-pasal, ayat korang tu sebenarnya hanyalah fitnah yang tak berasas dan menjadi punca orang merana.

Buli Siber Statistik Malaysia 2018
Kita di tangga keenam pada 2018..-Via Siakap Keli

Kami harap kes ni dapat diselesaikan secepat mungkin dan seterusnya dapat memberi keadilan buat keluarga mangsa dan rakan sekerjanya. Pembuli siber tersebut harus didakwa dan dijatuhkan hukuman setimpalnya agar menjadi pengajaran kepada golongan kaki pembuli siber yang masih taknak bertaubat ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top