Kes kematian kanak-kanak tertinggal di kereta, teknologi ini mungkin selesaikan isu itu

F1

Apa-apa saja kisah malang membabitkan kanak-kanak, ia adalah suatu yang harus kita pandang serius, lagi-lagi apabila ia dapat menyebabkan kematian kanak-kanak kerana kecuaian ibu bapa tu sendiri. Kita pun tak boleh salahkan ibu bapa sepenuhnya, lantaran manusia ni memang tak sempurna dan sentiasa terlupa serta mudah terleka.

Baru-baru ni, hangat diperkatakan kisah budak berumur 4 tahun yang maut lepas ditinggalkan dalam kereta selama 10 jam. Kemudian beberapa bulan lalu pulak, bayi 9 bulan maut kerana sebab yang sama.

Budak Terperangkap
Via Pandu Laju

Kena ambil langkah sewajarnya, pesanan dan peringatan kepada ibu bapa je masih tak cukup

Tentunya insiden ni sudah berkali-kali berlaku pada masa lalu, dan mungkin akan berlaku sekali lagi jika kita gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang punca kecuaian ni daripada terus berlaku. Terutamanya dalam kes kematian anak kerana “terlupa”, ia adalah satu tamparan maha hebat buat ibu bapa.

Kami percaya takde ibu bapa yang sengaja tinggalkan anaknya dalam kereta, pertama sekali kerana kereta tu pun bukanlah tempat yang selesa untuk berehat dan diketahui berbahaya jugak. Kalau korang masih ingat, kes dua orang lelaki yang mulanya nak tidur dalam kereta rupanya akhirnya ‘tidur selamanya’ akibat karbon monoksida yang terkumpul dalam kereta mereka.

Remaja Tidur Mati Kereta
Kes tersebut berlaku pada 2018.. Via Astro Awani

Tu lelaki dewasa tau… bayangkan macam mana pulak dengan kanak-kanak kecil? Malah banyak jugak insiden haiwan peliharaan yang ditinggalkan dalam kereta turut mati, dipercayai kerana suhu dalam kereta yang tinggi. Jika kanak-kanak kecil ni ‘tertinggal’ dalam kereta; mereka bukan je boleh meninggal dunia kerana karbon monoksida, tapi jugak kerana suhu panas dalam kereta yang terkunci.

Untuk membendung perkara ni, kami rasa peringatan dan pesanan je tak cukup. Boleh je kalau nak kuatkuasakan lebih banyak akta untuk cegah insiden seperti ni berlaku, tapi ia masih lagi tak cukup melihatkan kesemua ni masih lagi bergantung pada manusia.

Budak Mati
Suatu bayangan yang menyayat hati ibu bapa.. Via penmurah.blogspot

Oleh demikian, kami terfikir jugak… kenapa tak gunakan teknologi je? Buat masa ni, beberapa penambahbaikan yang kita dah boleh manfaatkan adalah fungsi child lock dan pengesan untuk penumpang serta haiwan. Yang pelik adalah kenapa takde pengesan yang berfungsi nak maklumkan pengguna kereta jika kanak-kanak tertinggal dalam kereta?

Tesla cadang perkenal pengesan kanak-kanak elak insiden kematian kanak-kanak, rupanya ia tak semudah yang dijangkakan

Cadangan nak bina pengesan kanak-kanak ni memang mudah, dan kami rasa, dah sangat jelas diperlukan dalam semua jenis dan model kereta. Lebih kuranglah macam tali pinggang keselamatan, lampu isyarat dan cermin sisi… kalau korang tengok model kereta dulu-dulu, memang ketiga-tiga benda ni jarang ada. Satu fungsi yang mewah kalaupun ada serta selalunya dijual lebih mahal.

Namun bila zaman semakin berubah dan kini hampir semua orang dah berkemampuan beli kereta, ia menjadi satu fungsi yang amat penting untuk memastikan keselamatan pemandu serta penumpang. Jadi bila kita nak perkenalkan penggunaan pengesan tambahan, mesti takde masalah kan?

Kereta Antik
Mungkin harta yang berharga untuk pengumpul, tapi berbahaya untuk digunakan di jalan raya.. Via Pinterest

Tesla antara satu lagi pembina automotif yang nak letak pengesan kanak-kanak tu dalam binaan keretanya. Haa… rupanya cadangan nak letak pengesan kanak-kanak ni pun tak mudah. Setiap rekaan model kereta tu haruslah lulus piawaian badan-badan keselamatan, dan dalam hal Tesla ni pulak, mereka bercadang nak manfaatkan teknologi pengesan mereka supaya dapat berfungsi lebih dari gelombang yang lebih kuat.

Hal ni bertujuan agar pengesan pergerakan tu boleh membezakan antara objek ataupun manusia, jadi meskipun kanak-kanak tu ‘tersembunyi’ dalam selimut ke, pengesan tersebut dapat kenalpasti serta maklumkan kat tuan punya kereta. Syarikat automotif lain seperti Hyundai, Nissan dan GM pulak menggunakan pendekatan sistem door logic, di mana ia akan kesan jika ada penumpang kat belakang.

Kalau dilihat semula, kami rasa pendekatan Tesla iaitu sistem pengesan tu lebih sesuai dan lebih tepat. Tesla jugak sebelum ni, siap-siap dah letak fungsi dog mode untuk mana-mana pengguna yang biasa tinggalkan anjing atau haiwan peliharaannya sebentar kat kereta sebab nak beli barang. Apabila dog mode diaktifkan, sistem kereta akan sesuaikan suhu supaya suhu dalaman kereta tu tak terlalu panas untuk haiwan tersebut.

Tapi macam kami cakaplah awal tadi; tak mudah untuk melaksanakan apa-apa penambahan ni sebab ia memerlukan kerjasama dan perhatian dari pihak kerajaan jugak. Teknologi pengesan penumpang termasuklah yang digagaskan Tesla tu pun sebenarnya adalah tindak balas daripada pelbagai organisasi termasuklah KidsAndCars.org. Mereka cadangkan wujudkan Hot Cars Act 2019 yang diharap dapat turunkan insiden kanak-kanak maut akibat terkurung dalam kereta berlaku lagi.

Dog Mode Tesla
Sistem dog mode antara sebab ramai minat kereta Tesla.. -Via AsiaTimes.com

Kita masih jauh lagi nak gunakan teknologi pengesan dalam kereta, tengah usaha tambah baik guna perundangan

Sedikit berbeza dengan Amerika, kita kat sini masih lagi merangka tindakan yang sesuai untuk mengurangkan insiden kematian kanak-kanak dalam kereta. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat telah meminda Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 pada 2016 sebagai langkah-langkah pencegahan, advokasi dan intervensi dalam usaha menangani kes kematian kanak-kanak akibat tertinggal di dalam kereta oleh ibu bapa mahupun penjaga.

Selain tu, kita masih lagi guna pendekatan yang lebih bersifat kesedaran dan pendedahan kepada ibu bapa. Dalam satu sidang Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Haji Wang:

“Oleh yang demikian, Kementerian mengambil langkah advokasi dengan melaksanakan kerjasama bersama agensi-agensi yang lain yang berkaitan untuk menjalankan program-program kesedaran awam mengenai isu ini.

Antaranya melalui Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA), kursus pra-perkahwinan, program kekeluargaan (parenting) dan kursus ilmu kekeluargaan,”- Seperti yang dilaporkan TvSarawak.com pada 3 Ogos 2020

Sidang Parlimen
Via Tvsarawak.com

Permasalahan moden memerlukan penyelesaian moden jugak. Pendekatan bersifat kesedaran awam ni sememangnya penting, tetapi kita tak harus ketepikan penyelesaian moden dengan penggunaan teknologi seperti teknologi pengesan tu. Malah, ia bukanlah teknologi yang asing lagi sebab ada jugak alat pengesan yang korang boleh pasang sendiri. Kita dah wajibkan guna kerusi keselamatan bayi dalam kereta, jadi mungkin satu hari nanti pengesan jugak boleh diwajibkan untuk dipasang kat setiap kereta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *