Malaysia nak kurung kanak-kanak? Ini kaedah di negara lain

Baru-baru ni, kita dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sedang mempertimbangkan untuk menguatkuasakan ‘curfew’ atau perintah berkurung untuk kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun, untuk mengekang gejala menghidu gam yang semakin menjadi-jadi.

Kali ini, kami cuba bongkar kedua-dua elemen kenyataan tersebut – pertama, adakah wujud gejala menghidu gam yang begitu serius dalam kalangan kanak-kanak bawah umur, dan negara lain ada buat tak polisi untuk kurung kanak-kanak ni.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia. DS Wan Azizah. Via Says

 

Kerajaan tengah cari jalan nak banteras masalah remaja

Kenyataan berhubung perintah berkurung tu merupakan satu aspek kecil sahaja daripada pengumuman TPM. Konteks Majlis itu merupakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet berhubung  Membanteras Gejala Dadah pada 17 Januari 2019 hari tu, mereka tengah cari penyelesaian untuk mengawal bahan-bahan yang pada asalnya bukan terlarang, tapi apabila dibancuh pada nisbah tertentu, boleh menyebabkan khayal.

Menghidu gam termasuklah dalam kategori ni. Tapi jangan terkejut pula dengan bahan-bahan seakan gam yang boleh saja mendatangkan ‘high’. Mengikut laman myhealth.gov.my, bahan seperti pelembut cat atau thinner, gas dapur, petrol, cat semburan aerosol dan tahi lembu – ya, tahi lembu – dikatakan boleh memberi kesan yang sama.

Tengah high. Via Giphy

Dalam kalangan kanak-kanak, kesan sampingannya termasuklah ‘ketidakmampuan untuk berfikir secara logik dan waras’, dan di dalam kes-kes tertentu, boleh menyebabkan mati mengejut kerana kesan toksik berterusan kepada jantung.

Namun itu, TPM tak pula berkongsi apa-apa statistik berhubung bilangan kanak-kanak bawah umur yang dikatakan ketagih menghidu gam ni, manakala kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh pihak media pula adalah berdasarkan tinjauan mereka sendiri.

“TV3 melalui segmen Aduan Rakyat telah terjumpa kanak-kanak semuda 8 tahun dalam keadaan khayal di Chow Kit, dan Berita Harian juga dalam tinjauan mereka di lokasi sama juga melihat kumpulan remaja bawah umur sedang khayal dengan menghidu gam, tanpa mempedulikan orang lain,”

Mari kita tengok dekat negara lain…

Bagi aspek yang kedua, mari kita tengok samada taktik perintah berkurung untuk kanak-kanak ini pernah dilakukan di tempat lain.

Dalam sidang media, TPM memetik contoh negara Iceland sebagai salah satu negara yang ada melaksanakan perintah berkurung untuk kanak-kanak. Sebenarnya, perintah berkurung tersebut hanya berkuatkuasa di bandar raya Reykjavik, iaitu ibu negara Iceland, dan mula dilaksanakan pada September 2018. Ia menetapkan bahawa kanak-kanak di bawah 12 tahun tak dibenarkan berada di luar melainkan dengan pengawasan orang dewasa selepas jam 8 malam, manakala kanak-kanak berumur 13-16 pula tidak dibenarkan di luar selepas jam 10 malam.

Sebenarnya, langkah ini datang dengan kontroversinya tersendiri.

Via HFN

Seawal tahun 1990, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui satu resolusi Perhimpunan Agungnya telah bersetuju untuk menggunapakai Garis Panduan PBB berkenaan Pencegahan Delinkuen Juvana (Garis Panduan Riyadh), khususnya untuk negara Ahli PBB di dalam membuat dasar serta undang-undang berkenaan pencegahan jenayah atau gejala sosial.

Kandungan Garis Panduan Riyadh tersebut, yang walaupun sebenarnya tidak mengikat Malaysia atau mana-mana negara lain, tetap menyebut dengan panjang lebar perkara-perkara yang wajar dipertimbangkan bagi memastikan kepentingan mencegah jenayah itu diimbangkan dengan hak-hak kanak-kanak.

Yang paling penting ialah Fasal 56 – sesuatu perbuatan itu tidak patut dianggap sebagai kesalahan apabila dilakukan oleh seorang kanak-kanak, sekiranya ianya tidak dianggap sebagai kesalahan apabila dilakukan oleh seorang dewasa. Ini lah juga yang digelar sebagai kesalahan status, di mana ianya hanya menjadi salah apabila dilakukan oleh golongan tertentu sahaja. Di dalam kes ini, golongan tersebut adalah kanak-kanak bawah umur.

Sebuah NGO yang berpengakalan di United Kingdom, Child Rights International Network, merupakan sebuah organisasi yang lantang menentang tindakan perintah berkurung secara total ini sebagai satu diskriminasi kepada hak kanak-kanak, kerana ia seolah-olah mengatakan bahawa sesuatu perbuatan itu adalah salah atau tidak boleh diterima hanya kerana pelakunya di bawah umur.

Namun, selain daripada bandaraya Reykjavik, beberapa kawasan lain pernah mencuba nasib dengan dasar perintah berkurung bagi kanak-kanak ini;

Perancis – Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau LOPPSI 2 yang diwartakan pada tahun 2011 membenarkan kerajaan tempatan untuk mengeluarkan perintah berkurung bagi kanak-kanak di bawah 13 tahun dari jam 11 malam hingga 6 pagi, sekiranya ‘kehadiran kanak-kanak itu di laluan awam semasa waktu malam akan mendedahkan mereka kepada satu risiko jelas terhadap kesihatan, keselamatan, pendidikan atau moral mereka’.

Russia – Beberapa wilayah di Russia, seperti St. Petersburg dan Samara, telah memperkenalkan undang-undang perintah berkurung untuk kanak-kanak bagi melindungi ‘kesihatan mental, fizikal dan moral’ mereka pada tahun 2009. Kalau ikut undang-undang tu, kanak-kanak boleh ditahan sehingga 3 jam untuk dikenalpasti, dan untuk tempoh maksima 24 jam sekiranya disyaki melakukan jenayah. Ibu bapa kanak-kanak juga boleh didenda sekiranya anak-anak mereka ditangkap di tempat terlarang selepas waktu berkurung.

Ni kira jenayah tak? Via Giphy

Amerika Syarikat – Di Florida, Amerika Syarikat, seseorang yang berumur kurang 18 tahun tak dibenarkan berada di tempat awam di antara jam 11 malam sehingga 5 pagi, melainkan ia hari kelepasan am. Di samping itu juga, untuk kanak-kanak yang telah digantung atau dibuang sekolah, mereka tidak dibenarkan untuk berada di mana-mana tempat awam ataupun berhampiran sekolah mereka dari jam 9 pagi hingga 2 petang semasa hari persekolahan. Kanak-kanak yang gagal mematuhi perintah ini boleh didenda. Undang-undang serupa juga digunapakai di bandaraya besar seperti Washington DC, Philadelphia, Los Angeles dan Columbus.

Ohhhh. Via Giphy

United Kingdom – Polis tempatan diberikan kuasa untuk menghalang mana-mana kanak-kanak untuk berada di sesuatu kawasan awam di antara jam 9 malam hingga 6 pagi, melainkan ditemani oleh seorang dewasa. Ini digelar sebagai Perintah Berkurung Kanak-kanak Tempatan. Bagi kanak-kanak yang melanggar perintah tersebut, boleh dikenakan Arahan Keselamatan Kanak-kanak untuk satu tempoh tertentu, di mana Tim Pesalah Muda (Youth Offender Team) yang terdiri dari anggota polis dan perkhidmatan sosial, pihak sekolah. Akan memantau kanak-kanak tersebut dengan jauh lebih dekat.

Mampukah perintah berkurung ni tangani masalah remaja?

Kesimpulannya, perintah berkurung untuk kanak-kanak ini bukan satu perkara yang janggal, malahan ianya digunakan dengan agak meluas di beberapa negara Barat.

Persoalannya sekarang ialah adakah kita benar-benar percaya yang perintah berkurung ini akan menjadi pemangkin kepada penurunan jumlah penagih dadah di kalangan kanak-kanak, ataupun menjadi salah satu daripada contoh terbaru reaksi ‘knee jerk’ dari kerajaan?

Wajarkah kanak-kanak di negara ini dikurung selepas waktu tertentu?

View Results

Loading ... Loading ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *